EdisiViral.Com Search Guest Post Login

Jangan perah kudrat Azeem

0 month ago, 11-Oct-2019

JANGAN beri tekanan tapi bentuklah mengikut perkembangan usia. Itu saranan Pengarah Teknikal Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) yang baharu, Dwayne Miller mengenai pentingnya pelari pecut remaja sensasi, Muhammad Azeem Mohd Fahmi diberi ruang tersendiri mencapai kemuncak karier mengikut secara berperingkat.

Menurut jurulatih kelahiran Amerika Syarikat berusia 55 tahun itu, sepanjang lebih 30 tahun menjadi jurulatih termasuk kepada jaguh Olimpik, risiko tinggi seperti kecederaan jika atlet muda diberi tekanan untuk mencapai kejayaan pantas melampaui usia.

Pandangan beliau senada dengan nasihat dilontar ketua jurulatih olahraga kebangsaan, Mohd Manshahar Abd Jalil sebelum ini, bahawa atlet kelahiran Perak berusia 15 tahun itu perlu dibimbing mengikut perkembangan usianya.

"Ya saya ada mendengar berita mengenainya (Azeem), tapi belum berjumpa dan mengenalinya secara peribadi. Dia sangat berbakat dan kita perlu membimbing sebaiknya. Jangan terlalu beri tekanan dan memaksa dia. Inilah kesilapan dilakukan ramai jurulatih baru.

"Usianya masih muda dengan pencapaian 10.60 saat (s), tapi diberi tekanan untuk capai 10.30s dengan pantas. (Sepatutnya) biar dia mencapainya secara berperingkat, mungkin dari 10.63s kepada 10.5s, 10.4s dan seterusnya," katanya.

Menurutnya, beliau yakin jika Azeem dibiarkan berkembang secara semula jadi dan bebas daripada kecederaan, tidak mustahil boleh melakukan larian di bawah 10s sekitar usia 21 tahun.

Azeem mempunyai catatan peribadi terbaik 10.63s bagi acara 100 meter (m) dan 21.24s (200m) Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM), Johor pada April. Dia membaiki catatan itu pada Kejohanan Sekolah-Sekolah Thailand (TSSG) di Khong Kaen, Thailand, Ogos lalu dengan 21.15s sekali gus meraih emas.

Sementara itu, Miller yang berkesempatan menemui dan melihat latihan jaguh lompat kijang negara, Muhammad Hakimi Ismail kelmarin yakin atlet terbabit mampu mengatasi catatan terbaik peribadi 16.77m yang juga rekod Sukan SEA dan kebangsaan. "Saya berjumpa dengan beliau semalam. Dia tinggi dan sangat berbakat, saya yakin dia boleh boleh melakukan lompatan melebihi 17m," katanya.


SUMBER : hmetro.com.my



Live Website Traffic


loading...