EdisiViral.Com Search Guest Post Login

Arak jahanamkan manusia

0 month ago, 01-Dec-2019


oleh: r Johari Yap

ARAK ialah minuman yang memabukkan dan menghilangkan kewarasan akal peminumnya. Bukan agama Islam sahaja yang mengharamkan arak, agama lain turut melarang penganutnya minum arak kerana ia memudaratkan kesihatan serta perlakuan mereka.

Pengambilan minuman beralkohol memberi kesan serta-merta kerana ia terus bertindak ke atas sel-sel otak dengan merangsang otak sebelum mengganggu fungsinya hingga menyebabkan gangguan kepada penglihatan, ingatan dan lain-lain peranan.

Pengambilan dua hingga tiga gelas alkohol dalam masa satu jam sudah cukup untuk menjadikan seseorang tidak stabil dan menyebabkan halusinasi.

Islam mengharamkan arak kerana ia boleh menjadikan manusia rosak akal dan hilang maruah diri. Saya tidak pernah dengar lagi orang melakukan kerja-kerja kebajikan seperti bersedekah atau membantu orang susah ketika mabuk.

Yang biasa kita dengar, pemandu mabuk mengakibatkan kemalangan jalan raya yang kerap membawa kepada kehilangan nyawa, sama ada dirinya sendiri mahupun orang lain.

Pemabuk biasanya akan mengeluarkan kata-kata yang sukar difahami, menyebut perkara yang bukan-bukan, berkelakuan kasar serta senang terlibat dalam pergaduhan.

Ada yang mengatakan pengambilan alkohol pada kadar sedikit atau sederhana baik untuk kesihatan? Benarkah dakwaan itu?

Dalam jurnal Lancet (Volum 392, Isu 10152, muka surat 987988, 2018), artikel No Level of Alcohol Consumption Improves Health membincangkan hasil kajian melibatkan 195 negara dari tahun 1990 sehingga 2016.

Dapatan daripada kajian yang dijalankan menunjukkan alkohol adalah penyumbang besar kepada masalah kesihatan sejagat, tidak kira besar atau kecil kadar pengambilannya.

Kajian itu melibatkan mereka yang berumur 15 hingga 95 tahun, ada yang minum satu gelas minuman beralkohol sehari dan ada pula yang langsung tidak minum alkohol.

Daripada 100,000 peserta kajian yang tidak mengambil alkohol, seramai 914 orang mempunyai masalah kesihatan seperti kanser dan ada yang mengalami kecederaan. Jumlah itu bertambah lima kali ganda bagi mereka yang minum satu gelas minuman beralkohol sehari.

Alkohol adalah penyebab kepada kematian, ketidakupayaan dan kecederaan.

Menurut kajian itu lagi, untuk mengurangkan risiko penyakit berkaitan alkohol seperti penyakit jantung, kencing manis dan kanser, kadar dibenarkan untuk diambil dalam masa seminggu adalah kosong gram bermakna alkohol tidak dibenarkan sama sekali!

Garis panduan Ketua Pegawai Perubatan United Kingdom pada tahun 2016 juga menyatakan tidak terdapat kadar selamat untuk pengambilan alkohol (no safe level of alcohol consumption).

Senario semasa di Malaysia menyokong kenyataan itu bahawa kemalangan maut yang diakibatkan oleh pemandu mabuk kian meningkat. Kehilangan nyawa orang yang mabuk itu adalah satu perkara.

Mudarat yang lebih besar adalah apabila ia melibatkan pihak-pihak lain yang tidak bersalah bukan sahaja kerugian yang terpaksa ditanggung akibat kehilangan atau kerosakan harta benda, sama ada bagi individu atau kerajaan tetapi lebih malang lagi ia melibatkan kehilangan nyawa insan-insan yang tidak bersalah dan pelbagai kesan negatif terutamanya ke atas ahli keluarga mereka yang tidak bersalah itu.

Negara-negara Barat sudah mula mengawal situasi rakyat pemabuk itu. Di Republik Ireland sebagai contoh, minum arak di tempat awam dilarang sama sekali kecuali di pub atau restoran berlesen.

Begitu juga Kanada (kecuali Quebec), di mana minum arak di tempat awam menjadi satu kesalahan.

Negara-negara lain yang melarang minum arak di tempat awam ialah Perancis, Norway, Lithuania dan Chile.

Jika negara-negara bukan Islam pun melarang rakyatnya mahupun pelancong minum arak di tempat awam, bagaimana pula negara kita yang mewartakan Islam sebagai agama Persekutuan?

Jika golongan yang minum arak mahu menuntut hak mereka untuk minum, rakyat Malaysia yang tidak minum arak juga menuntut hak untuk hidup selesa, selamat, dan bebas daripada mereka yang mabuk.

Sememangnya arak adalah sesuatu yang menjahanamkan tanpa sedikitpun kebaikan.

*Dr Johari Yap ialah Naib Presiden Macma Malaysia dan Pengerusi Macma Kelantan

SUMBER : 1media.my



Live Website Traffic


loading...