EdisiViral.Com Video Search Login
Loading...

Jadikan Sekolah Terpilih Sebagai PPV Khas Buat Murid Demi Keselamatan Mereka

1 month ago, 26-Aug-2021

'Sediakan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) khas untuk murid sekolah'.

Itu cadangan yang disuarakan oleh Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) agar Kerajaan menyediakan PPV khusus buat pelajar dan tidak dicampurkan dengan PPV kepada orang ramai bagi mengurangkan risiko murid sekolah daripada dijangkiti COVID-19.

Setiausaha Agung NUTP,  Wang Heng Suan merayu agar Kementerian Pelajaran (KPM) mencadangkan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) beberapa buah sekolah dijadikan sebagai PPV mengikut daerah atau zon bagi membolehkan murid sekolah mendapat vaksinasi.

"Langkah ini akan lebih memudahkan pengurusan murid sekolah mendapatkan vaksinasi masing-masing secara berperingkat dan boleh mengenal pasti murid yang tidak mendapat sebarang vaksinasi," katanya dalam satu kenyataan.

Selain itu, beliau turut berharap pihak berwajib dapat memastikan guru diberi keutamaan melengkapkan vaksinasi kerana mereka merupakan kumpulan barisan hadapan.

Beliau berkata NUTP turut menyarankan kerajaan memastikan pekerja di sekolah seperti petugas kantin, pembersihan sekolah dan pengawal keselamatan turut mendapat vaksinasi lengkap sebelum sekolah mula dibuka secara berperingkat pada 3 Oktober ini.

Mengenai pembukaan sekolah itu, Wang berharap KPM dapat mempertingkatkan prosedur operasi standard (SOP) bagi memastikan keselamatan murid, guru dan masyarakat setempat terjamin dan terhindar daripada jangkitan COVID-19.

Sebelum ini, bekas Menteri Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin memaklumkan bahawa tarikh pembukaan semula sekolah bagi negeri-negeri dalam Fasa Dua dan Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) ialah pada 3 Oktober iaitu dilewatkan berbanding 1 September seperti yang diumum sebelum ini.

Radzi berkata bagaimanapun, pembukaan sekolah tidak dibenarkan bagi negeri-negeri dalam Fasa Satu PPN dan bagi negeri-negeri Fasa Dua, pembukaan sekolah hanya untuk kelas peperiksaan manakala bagi Fasa Tiga, pembukaan penuh dibenarkan.

: BERNAMA



SUMBER : rileklah.com



Live Website Traffic


loading...