EdisiViral.Com Video Search Login
Loading...

JABATAN HAL EHWAL AGAMA TERENGGANU PERJELAS ISU GAJI IMAM RAWATIB

0 month ago, 12-Jan-2022

KUALA LUMPUR: Masyarakat perlu faham skop tugasan imam rawatib terlebih dahulu sebelum membuat sebarang tohmahan berhubung bayaran elaun yang diberikan.

Itu yang ditegaskan Penolong Pesuruhjaya IV, Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu, Ahmad Ridhwan Md Radzi selepas melihat pelbagai kecaman berunsur menghina institusi Islam.

Jelasnya, orang awam perlu cakna tugas jawatan imam rawatib tersebut berbeza bagi setiap negeri dan tidak tertakluk di bawah jabatan agama negeri masing-masing, malah ia berada di bawah kuasa masjid yang terlibat.

Di Terengganu, imam rawatib dilantik di dalam ahli kariah dan gaji atau elaun dibayar sendiri oleh masjid tersebut.

Secara mudahnya, kita boleh menggelar imam rawatib ini sebagai imam separuh masa kerana tugasnya secara am hanya akan menampung kekurangan imam utama sekiranya tidak dapat hadir atas faktor kesihatan atau sedang mengerjakan ibadah umrah dan haji.

Sebagai contoh yang lebih mudah imam rawatib hanya akan bertugas sebanyak lima hingga sepuluh waktu sahaja dalam satu bulan, katanya semasa dihubungi AlHijrah Online, hari ini.

Justeru, beliau berpandangan bahawa isu kadar gaji yang diberi tidak perlu dibangkitkan susulan ianya adalah tugasan sambilan oleh individu tersebut.

Sementara itu, Ridhwan memaklumkan faktor berlakunya perbezaan tawaran gaji kepada jawatan imam rawatib adalah disebabkan oleh ia dibayar mengikut keadaan kewangan masjid.

Jelasnya, sekiranya masjid tersebut mempunyai nilai dapatan yang kukuh, berkemungkinan jawatan imam rawatib akan dibayar dengan gaji yang lebih besar.

Bercakap mengenai penindasan kepada pekerja, Ahmad Ridhwan tidak menafikan terdapat kes berlakunya imam rawatib terpaksa melakukan tugas seperti tugas imam utama meskipun dibayar dengan bayaran rendah.

Oleh itu, beliau mengingatkan agar pihak masjid tidak membebankan imam rawatib di luar tugas mereka demi menjaga nama baik institusi agama.

Terdahulu, tular di media sosial sekeping iklan tawaran jawatan imam rawatib oleh sebuah institusi Islam di Terengganu dengan kadar bayaran RM900 iaitu di bawah paras gaji minimum negara.AlHijrah Online / Hanisa Hasanuddin



SUMBER : alhijrahnews.com



Live Website Traffic


loading...