EdisiViral.Com Search Guest Post Login
Loading...

Inteam memukau di Kanada

0 month ago, 09-Jan-2020

Ridzuan Abdul Rahman

[emailprotected]

Dua tahun lalu, kumpulan nasyid Inteam diundang mengadakan persembahan sempena Konvensyen Revival Islamic Spirit (RIS) ke-17 di Metro Toronto Convention Centre, Kanada.

Peluang itu dimanfaatkan oleh Mohd Syahril Abdul Khalid, Muhammad Hazamin Harun, Hisyam Ahmad dan Abdul Rahim Osman dengan memberikan persembahan menarik sehingga penonton terpukau dan memberikan pujian.

Bertitik tolak daripada kejayaan itu, Inteam sekali lagi dijemput menghiburkan pengunjung dalam program tahunan ke-18 yang berlangsung di lokasi sama, baru-baru ini.

Alhamdulillah, ini kali kedua kami diundang mengadakan persembahan di program berprestij ini selepas kali pertama melakukannya pada 2018.

Ketika itu kami berada di Kanada dari 18 sehingga 27 Disember, manakala baru-baru ini pula kami berada di sana dari 18 Disember sehingga 29 Disember lalu, kata Syahril yang juga ketua kumpulan Inteam.

Syahril berkata, sekali lagi persembahan mereka yang berlangsung di Metro Toronto Convention Centre iaitu di pusat bandar Toronto mendapat sambutan hangat apabila disaksikan hampir 10,000 penonton.

Tahun ini kami tetap mengekalkan konsep berpakaian busana Melayu di dalam persembahan kami seperti tahun lalu.

Cuma, bezanya kali ini kami memakai set lengkap busana Melayu yang lebih cantik dan sempurna kerana mendapat tajaan butik Zarif Tuah Couture.

Alhamdulillah, kami berbangga dapat bergaya menampilkan pakaian kebudayaan kita di pentas antarabangsa dan penonton di sana juga sangat menyukainya dan mereka ingin bergambar bersama kami, katanya.

Hazamin pula berkata, kali ini mereka diminta mengadakan persembahan di empat tempat berbeza iaitu di Pentas Utama konvensyen, di pentas 360 iaitu pentas bazar, dalam program bersama kanak-kanak serta di dalam program Knowledge Retreat yang diadakan penganjur konvensyen.

Lagu yang kami nyanyikan kebanyakannya adalah nasyid dan Qasidah berbahasa Arab seperti Ya Hanana, Solatun, Selawat Badar, Sifatullah, Qad Kafani, Qamarun dan banyak lagi.

Alhamdulillah perjalanan kami ke Kanada kali ini mendapat sokongan dan tajaan ramai pihak antaranya ialah MBI Selangor, Akademi Qasidah Aswaja Wilayah Persekutuan, Kembara Meals, GoSambal, Travel Reccommend, Zarif Tuah Couture dan Inteam Apparel.

Terima kasih diucapkan kepada semua penaja yang sudi memberi sokongan, katanya.

SEGAK dengan busana Melayu.

Program Reviving Islamic Spirit ini mula diadakan setiap tahun sejak 17 tahun yang lalu menghimpunkan ulama dan pendakwah Islam terkenal dan berpengaruh dari serata dunia khususnya dari sebelah Amerika Syarikat dan Eropah.

Ia berjaya mengumpulkan hampir 10,000 pengunjung dalam kalangan warga Kanada, Amerika Syarikat dan Eropah yang majoritinya beragama Islam dan sebahagiannya bukan Islam.

Sementara itu, Rahim berkata, kunjungan ke Kanada kali ini lebih bermakna apabila mereka dapat menyertai satu program amal yang diadakan di Brantford iaitu memberi pek makanan kepada gelandangan yang berlindung di rumah perlindungan dalam keadaan cuaca yang sangat sejuk.

Program amal ini dianjurkan bersama Komuniti Melayu dan Persatuan Muslim Brantford serta Masjid Brantford dan diadakan pada 25 Disember lalu yang juga hari Krismas.

Kami bersyukur dapat terbabit dalam program amal ini dengan memberikan mereka bantuan makanan tengah hari, di mana kebanyakannya beragama Kristian dan tak dapat menyambut perayaan terbabit pada hari itu kerana kesukaran hidup yang dihadapi.

Apa yang menarik, program ini diadakan oleh pihak masjid dan mereka memberi bantuan tidak kira kepada individu dan mana-mana pihak, katanya.


SUMBER : hmetro.com.my

Loading...

Loading...

Live Website Traffic


loading...