EdisiViral.Com Search Guest Post Login
Loading...

Individu masuk ke Malaysia perlu jalani kuarantin di pusat kuarantin - Ismail Sabri

0 month ago, 22-Jul-2020

Mana-mana warga asing atau rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara, perlu menjalani prosedur Kuarantin Wajib selama 14 hari di stesen kuarantin yang ditetapkan oleh kerajaan, bermula 24 Julai dan bukan lagi di rumah.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, mereka yang terlibat perlu menanggung sepenuhnya kos kuarantin di stesen kuarantin, sama ada di Institut Latihan Awam atau hotel, berdasarkan kos yang telah dipersetujui sebelum ini.


Keputusan ini dibuat semasa Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ini, katanya, pada sidang media perkembangan PKP Pemulihan (PKPP) di bangunan Parlimen di sini, hari ini.

Ismail Sabri berkata, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), akan mengenal pasti serta mewartakan ILA atau hotel yang bersesuaian, sebagai Stesen Kuarantin.




Susulan keputusan itu, rakyat Malaysia yang ingin pulang ke Malaysia juga tidak lagi diwajibkan menjalani ujian swab Covid-19 di negara asal, dalam tempoh tiga hari sebelum tarikh penerbangan kerana mereka akan terus di kuarantin.


Bagaimanapun, rakyat asing perlu jalani ujian swab Covid-19, di negara asal, katanya.


Beliau berkata keputusan kuarantin wajib itu dibuat, ekoran kerajaan mendapati masih terdapat individu yang melanggar SOP dan peraturan kuarantin wajib di rumah, dan sikap degil mereka mengundang risiko penularan tempatan.

Kerajaan memandang serius insiden-insiden ketidakpatuhan SOP kuarantin rumah, yang telah menyebabkan penularan jangkitan Covid-19 pada ahli keluarga dan juga masyarakat sekeliling.

Tindakan mereka ini adalah amat tidak bertanggungjawab dan pihak berkuasa akan mengambil tindakan yang tegas, termasuk mengenakan kompaun RM1,000 ataupun mendakwa di mahkamah dan boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi enam bulan, katanya.

Beliau berkata semalam, seramai 403 rakyat Malaysia telah pulang ke tanah air melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2 dari United Kingdom, Indonesia, Qatar, Singapura, Pakistan, Jepun, China dan Thailand, dan kesemua mereka diarah jalani kuarantin wajib di kediaman masing-masing.



Dari 10 Jun sehingga semalam, seramai 22,480 orang telah pulang ke tanah air melalui KLIA, dengan 22,402 individu telah diperintahkan untuk menjalani kuarantin rumah dan 78 orang lagi telah dibawa ke hospital.

Dalam pada itu Ismail Sabri berkata, Mesyuarat Khas pada dasarnya bersetuju supaya pelancong kesihatan dari negara Kategori Hijau iaitu Brunei, Singapura, Korea Selatan, Jepun, Australia dan New Zealand, dibenarkan memasuki Malaysia menggunakan pesawat komersial, bagi mendapatkan rawatan di Malaysia.

Mereka yang terlibat perlu menjalani ujian saringan Covid-19 sebelum berlepas dan daripada segi SOP, ia sama seperti mereka yang tiba melalui penerbangan disewa khas, apabila mereka sampai sahaja di KLIA, mereka akan diambil di pintu pesawat dan dibawa terus ke hospital, katanya.

Beliau berkata bagaimanapun, ia tertakluk kepada perbincangan bersama di antara pihak Kementerian Luar Negeri dan negara terbabit, berkenaan kebenaran pergerakan rentas sempadan negara masing-masing. Bernama

SUMBER : penangkini.com

Loading...

Loading...

Live Website Traffic


loading...