EdisiViral.Com Search Guest Post Login
Loading...

Di mata Zaid Ibrahim, Melayu mundur, Islam salah?

0 month ago, 11-Feb-2020


oleh: Ustazah Dr Suriani Sudi

KITA tidak terkejut dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Zaid Ibrahim, apabila dia berkata bahawa minda orang Melayu yang terlalu bergantung kepada guru agama untuk ilmu pengetahuan, didakwa punca pembangunan minda mereka agak perlahan.

Seluruh rakyat Malaysia sedia maklum tentang pendiriannya, menerusi pelbagai penulisan dan status media sosial yang cenderung kepada gaya hidup liberal dan sekular (pisahkan agama daripada kehidupan).

Maka sudah pastilah, walau apa pun fakta yang sebenar, walau berapa banyak kejayaan yang dicapai, dimata Zaid Ibrahim, orang Melayu mundur dan semuanya salah Islam. Kita tidak hairan.

Corak pemikiran golongan liberal seperti Zaid Ibrahim ini dilihat agak konsisten. Mereka sangat gemar menyalahkan agama untuk setiap kemunduran yang melanda.

Sebelum ini, salah seorang ahli G25 mengulas tentang qiamulail yang diadakan disekolah.

Kebiasaan yang cuba ditanam untuk meningkatkan disiplin pelajar seperti bangun awal, bermunajat kepada Allah SWT dan memohon bantuanNya dalam doa dicemuh seolah-olah membebankan pelajar.

Usaha memisahkan agama daripada kehidupan harian, dengan menganggap agama membawa kemunduran adalah cara berfikir Barat di waktu era kebangkitan (renaissance).

Kepercayaan agama mereka dan gereja yang telah membelenggu mereka dan menghalang kemajuan masyarakat pada ketika itu.

Mereka akhirnya bangkit memisahkan kehidupan dunia daripada sudut pandang agama.

Jelas bahawa Zaid memperlihatkan pemikirannya yang sangat terpengaruh dengan cara pemikiran barat, selain menolak peranan agama dalam pembangunan kehidupan seseorang.

Kegemilangan Islam suatu ketika dahulu terbukti adalah tamadun yang memartabatkan manusia.

Tamadun Islam menggabungkan kehebatan akal berfikir dengan meletakkan Allah SWT sebagai Pencipta yang Maha Hebat dan sumber segala ilmu.

Ketika itu, para ilmuwan Sains juga pada masa sama adalah ilmuwan agama.

Setiap tindak tanduk yang diambil dalam mengembangkan ilmu Sains adalah berpandukan al-Quran dan Sunnah.

Ustazah Dr Suriani Sudi ialah Ketua Wanita ISMA

: https://www.ismaweb.net/2020/02/10/di-mata-zaid-ibrahim-melayu-mundur-islam-salah1/

SUMBER : 1media.my

Loading...

Loading...

Live Website Traffic


loading...