www.edisiviral.com

Berita dan informasi edisi viral di Malaysia.


Human Rightism agama baru yang menternak LGBTIQ

3 month ago, 12-Jul-2018




BARU-BARU ini penulis menghadiri program latihan oleh Institut Kepimpinan Zaaba untuk mendapat pencerahan mengenai perkembangan semasa gerakan lesbian, gay, bisexual, transgender, intersex dan queer (LGBTIQ) yang menggunakan kerangka kerja hak asasi manusia untuk menuntut hak mereka mengamalkan orientasi seksual dan identiti gender mereka. 

Tambahan pula, di negara kita kini hangat dibincangkan mengenai kedudukan moral pengamal LGBTIQ ini.

Anthony Julius di dalam karya beliau 'The End of the Diaspora' (2010) menegaskan bahawa wacana hak asasi manusia kini mendominasi hal ehwal politik (sesebuah negara) melalui gerakan hak asasi manusia. Ia adalah sebuah agama sekular yang baru masa kini.

Antara agenda gerakan hak asasi manusia ini adalah melaksanakan kempen dan inisiatif untuk mengiktiraf LGBTIQ.

Di Malaysia, sebahagian pemimpin beragama Islam juga mula membincangkan topik LGBTIQ dengan lebih terbuka. Ada di kalangan mereka yang menyatakan bahawa LGBTIQ adalah sekadar dosa peribadi, dan bukan dosa awam. Jadi, ia bukanlah sesuatu yang perlu digusarkan.

Sepatutnya, pemimpin Islam perlu berwaspada dalam mengemukakan pandangan, termasuk menyaring dengan teliti prinsip yang terkandung di dalam ideologi hak asasi manusia (human rightism).

Human rightism berasaskan sekularisasi yang memisahkan agama dan autoriti, memberikan kebebasan kepada kehendak hati manusia tanpa batas. Apabila kita membahagi-bahagikan dosa sebagai dosa peribadi dan dosa awam, ianya hanya membuka langkah kepada sekularisasi Islam, sedangkan Islam adalah agama yang sempurna (syumul) merangkumi aspek peribadi dan pemerintahan.

Dosa peribadi LGBTIQ

Untuk kes yang mana pengamal LGBTIQ tidak meuar-uarkan perbuatan mereka secara umum, (mungkin ini yang dimaksudkan sebagai pengamal dosa LGBTIQ secara peribadi), kita boleh merujuk garis panduan yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam menyantuni golongan LGBTIQ melalui dokumen 'Memahami LGBT dari Perspektif Muslim'.

Bahkan pelbagai jabatan agama, institusi akademik dan pertubuhan bukan kerajaan berteraskan Islam giat melaksanakan program untuk menjemput pengamal LGBTIQ kembali kepada fitrah Islam. Namun, usaha sebegini dianggap pula oleh aktivis LGBTIQ berasas 'human rightism' sebagai melanggar hak asasi mereka.

Salah seorang aktivis tegar LGBTIQ, Nisha Ayub dari pertubuhan Justice for Sisters bahkan dengan terang-terangan membantah akademi kajian LGBTIQ di bawah Institut Pengurusan dan Penyelidikan Fatwa Sedunia (INFAD) di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan menyatakan ia melanggar hak asasi manusia.

Nisha menolak 'hak asasi' pengamal LGBTIQ yang memilih pendekatan membetulkan (corrective approach) melalui agama. Katanya, istilah "balik ke pangkal jalan" itu seperti menguatkan persepsi diskriminasi kepada pengamal LGBTIQ.

Dosa awam LGBTIQ

Pada hari ini, kita dapati bahawa LGBTIQ bukan sekadar dosa peribadi. Bahkan ia telah menunggang di atas agenda 'human rightism' untuk memaksakan semua orang mengiktiraf gaya hidup mereka bahkan diberikan ruang untuk mempromosi dan mengajak lebih ramai orang ke arah orientasi seksual dan identiti jantina LGBTIQ.

Dengan itu, gerakan LGBTIQ tanpa segan silu menyeru "..hendaklah dengan kadar segera memansuhkan segala undang-undang dan peraturan yang secara langsung atau tidak langsung yang mensabitkan LGBTIQ sebagai kesalahan atau jenayah, begitu juga kepada orang-orang yang mengamalkan identiti dan ekspresi gender yang pelbagai, termasuk individu interseks. [Kita perlu] mengharmonikan undang-undang negara dengan instrument, polisi dan pengamalan berkait hak asasi manusia."

Kita maklum bahawa di Malaysia, kita mempunyai enakmen-enakmen syariah yang meletakkan gaya hidup LGBTIQ sebagai suatu kesalahan. Contoh kesalahan di bawah enakmen itu adalah, lelaki berlagak seperti wanita, perhubungan jenis luar tabi'e, musahaqah dan liwat. Mengikut kerangka 'human rightism', enakmen syariah seperti ini perlu dimansuhkan. 

Pengaruh asing dalam gerakan LGBTIQ Malaysia

Sekiranya kita belajar daripada pengalaman LGBTIQ di Amerika Syarikat (AS), gerakan LGBTIQ mereka bermula seawal tahun 1924 untuk menormalisasi hak homoseksual. Saban tahun, gerakan LGBTIQ membina pengaruh dengan menubuhkan pelbagai jaringan masyarakat sivil (civil society).

Gerakan LGBTIQ juga mengenakan tekanan demi tekanan kepada pemimpin dan masyarakat di Amerika Syarikat dengan melakukan pemberontakan dan protes sehingga mengambil pendekatan radikal ala-militan dengan melakukan rusuhan, serangan dan vandalisme terhadap sebarang persidangan dan pertubuhan yang bermaksud mengekang gerakan LGBTIQ.
Kemudian, gerakan LGBTIQ ini juga menggunakan kuasa iaitu melalui pindaan undang-undang bagi mengiktiraf permintaan mereka seperti perkahwinan sejenis.

Gerakan LGBTIQ di Malaysia banyak mendapat sokongan dan naungan daripada gerakan LGBTIQ di AS. Bahkan sebuah bandar di AS, San Diego meraikan 5 April setiap tahun sebagai Hari Nisha Ayub. Aktivis LGBTIQ di Malaysia itu juga mendapat anugerah daripada Setiausaha Negara AS dalam kategori "Internatioanl Women of Courage Award".

Maka hendaklah kita cakna dan menginsafi perkembangan yang berlaku di sana, supaya tidak berlaku di negara kita.

COMANGO meggunakan 'human rightism'

Tidak lama lagi dalam bulan November 2018, COMANGO yang dianggotai 52 pertubuhan masyarakat sivil di Malaysia membawa tuntutan untuk memberi hak LGBTIQ. Mereka menggunakan platform Semakan Berkala Sejagat (Universal Periodical Review) yang dianjurkan Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nation Human Rights Council) untuk mengenakan tekanan ke atas negara kita bagi mengiktiraf kedudukan LGBTIQ.

Kita mengharapkan umat Islam di Malaysia dan pemimpin Islam menyedari bahawa tindakan sebegini bukan lagi boleh dikira sebagai dosa awam. Bahkan ia sebuah ancaman yang boleh merosakkan jati diri negara yang berteraskan Islam sebagai agama Persekutuan.

Wacana hak asasi manusia yang sepatutnya menjadi juara untuk hal-hal hak asasi sebenar seperti isu-isu kebuluran, peperangan, peluang pendidikan, peluang kesihatan, pembersihan etnik dan penjajahan; kini digunakan untuk membincang hal sebahagian orang yang tidak mampu mengawal nafsu syahwat mereka.

Semoga semua lapisan rakyat Malaysia, terutama umat Islam, dari rakyat biasa ke pimpinan tertinggi, bijak dalam menangani 'human rightism' yang kini menjadi ladang penternakan agenda LGBTIQ.

Norhidayah Ismail ialah Pengarah International Muslimah Empowerment Council,
Wanita ISMA


SUMBER : 1media.my


Tags

Travel New York London IKEA NORWAY DIY Ideas Baby Family News Clothing Shopping Sports Games

Popular Posts


Related Posts