EdisiViral.Com Video Search Login
Loading...

Bila lagi harimau naturalisasi mahu tunjuk belang sebenar?

0 month ago, 11-Jun-2021

Oleh SHAH RAFI

KEKALAHAN 10-0 kepada UAE pada tahun 2015 masih terasa di segenap jiwa raga penyokong Harimau Malaya.

Ketika parut kekalahan lalu yang semakin menghilang, Harimau Malaya ditampar realiti yang sebenarnya kita masih ketinggalan untuk berhadapan dengan pasukan seperti UAE selepas kalah 4-0 pada 3 Jun lalu.

Meruntun jiwa seorang penyokong bola sepak melihat tiga gol dilepaskan dalam 10 minit terakhir perlawanan.

Paling mengecewakan apabila dua gol terakhir dilepaskan dalam tempoh tidak sampai tiga minit.

Hancur harapan menggunung untuk satu pencapaian yang lebih baik daripada sebelum ini.

Di atas kertas, skuad kali ini dilihat mampu memberi sinar baharu kepada masa depan bola sepak negara selepas kali terakhir sinar yang berkilau sekitar tahun 2009-2010 hilang silaunya ditelan kenangan lalu.

Kemasukan pemain naturalisasi dalam skuad negara dilihat mampu memberi impak positif bagi membantu pasukan negara melangkah lebih jauh. Malangnya harapan bukan satu kepastian dalam mencapai kejayaan.

Seperti yang dikatakan Brendan Rogers, perlawanan bola sepak tidak dimenangi diatas kertas. Begitulah juga keadaannya dengan Harimau Malaya pada ketika ini yang semakin hilang taringnya walaupun telah diwakili pemain naturalisasi.

Nasi telah menjadi bubur. Begitulah umpamanya. Berbaki dua perlawanan menentang Vietnam dan Thailand, Harimau Malaya tidak diberi pilihan lain kecuali satu iaitu menang.

Kejayaan tidak datang sekelip mata. Begitulah alasan paling enak untuk ditelan dengan penuh kepedihan oleh penyokong Harimau Malaya setiap kali pasukan negara gagal melangkah ke pusing seterusnya.

Persoalannya sampai bila penantian yang tidak berkesudahan akan berterusan? Soalan yang hanya dijawab dengan pelbagai kenyataan media namun hasilnya sungguh mengecewakan. Sekurang-kurangnya hingga 3 Jun lalu.

naturalisasi

Terlalu ramai yang kecewa dengan persembahan pemain naturalisasi negara. Bukan calang-calang aksi dipamerkan pemain naturalisasi yang bermain dalam Liga Super negara.

Namun aksi yang dipamerkan pada 3 Jun lalu sungguh mengecewakan dan jauh daripada prestasi sebenar. Naturalisasi seharusnya dilihat sebagai satu anugerah kepada mereka dan sebagai balasan, kudrat dan kemahiran mereka diperlukan untuk meningkatkan prestasi skuad Harimau Malaya.

Alasan masih belum serasi dan perlu berikan masa adalah sesuatu yang sukar diterima pada masa ini. Berapa lamakah sebenarnya yang diperlukan untuk menjelmakan keputusan positif diakhir perlawanan?

Pengambilan pemain naturalisasi bukannya satu usaha pembangunan pemain tetapi adalah untuk membantu dalam memberikan impak segera kepada pasukan.

Disebabkan itu naturalisasi hanya diberikan kepada pemain bola sepak profesional bukannya seorang individu bukan warganegara yang pandai bermain bola sepak di kawasan kejiranannya.

Namun apabila aksi yang dipamerkan dilihat seakan-akan tidak mempunyai jiwa demi lencana di dada maka ia bukanlah sesuatu yang boleh dipejamkan mata. Alasan demi alasan dicipta untuk membalut luka yang semakin dalam.

Tergamak alasan berikan masa dijadikan benteng menepis kritikan. Adat perlawanan jika menang atau kalah. Namun, ia bukannya jalan keluar untuk menutup kegagalan.

Perlawanan bola sepak di peringkat antarabangsa memerlukan pengorbanan dan komitmen yang amat tinggi. Ia juga perlu disulami perasaan cinta dan patriotik yang tidak berbelah bahagi kepada negara.

Semua pemain perlu bangkit dan buktikan bahawa skuad ini mampu menjelmakan sesuatu. Sesungguhnya kejayaan tidak akan datang dengan mudah tanpa usaha, namun tanpa usaha bersungguh-sungguh juga akan menidakkan sesuatu kejayaan.

Semoga Harimau Malaya mampu menunjukkan aksi cemerlang dalam perlawanan pada malam ini. Kemenangan melawan Vietnam mampu memberikan impak positif kepada pasukan untuk mengharungi perlawanan pada masa hadapan.

Perjuangan tidak terhenti disini. Kata-kata klise yang sering diungkap. Sudah tiba masanya berpijak kepada realiti. Kekalahan bukanlah satu pilihan dalam mana-mana pertandingan sekalipun.

Penyokong tidak meminta aksi larian pantas ibarat Cristiano Ronaldo, menggelecek ala Messi mahupun mengejar bola ibarat Kante apatah lagi menjaringkan gol persis Salah.

Yang penyokong mahukan adalah jiwa raga yang bermain untuk negara Malaysia, demi lencana di dada, demi Jalur Gemilang yang berkibar megah diiringi Negaraku hari ini, bukannya untuk esok.

  • Penulis ialah seorang penyokong tegar Harimau Malaya. Tulisan dipetik dari laman Facebook beliau dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Edisi 9.


SUMBER : edisi9.com.my



Live Website Traffic


loading...