www.edisiviral.com

Berita dan informasi edisi viral di Malaysia.


Harimau Malaya gugup, masih tercari-cari rentak

0 month ago, 09-Nov-2018


PENGENDALI Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe mengakui belum berpuas hati dengan kemenangan tipis 1-0 anak buahnya ke atas Kemboja dalam aksi sulung Kumpulan A Kejuaraan Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) Suzuki 2018.

Mengulas aksi di Stadium Olimpik, Phnom Penh kelmarin, pengendali berusia 50 tahun itu menganggap pemainnya sedikit gugup dan sukar mendapatkan rentak yang diinginkan di atas permukaan padang tiruan.

“Ya, dalam mana-mana kejohanan, perlawanan pertama agak sukar untuk pemain kerana mereka perlu mencari-cari momentum dan keserasian yang diperlukan di atas padang.

“Ditambah dengan aksi di padang tiruan, ia sedikit sebanyak menjejaskan hantaran-hantaran kita. Walau bagaimanapun saya melihat pemain masih berjaya menunjukkan satu komitmen yang tinggi untuk memberi tekanan dan meraih tiga mata berharga,” katanya.

Cheng Hoe berkata, walaupun tiga mata pertama itu cukup penting untuk pasukan, namun beliau berharap anak buahnya tidak leka kerana masih banyak yang perlu diperbaiki pada perlawanan akan datang jika melangkah jauh dalam kejohanan ini.

“Kita perlu mengekalkan momentum kemenangan ini dalam perlawanan berikutnya. Seperti yang saya katakan sebelum ini, kemenangan ke atas Kemboja dan Laos amat penting untuk kita mendapatkan keyakinan.

“Apa pun, saya berharap pemain dapat tingkatkan lagi prestasi dan persefahaman agar kita mampu meneruskan rentak kemenangan dalam kejohanan ini,” katanya lagi.

Pada aksi tersebut, Norshahrul Idlan Talaha muncul wira negara dengan menanduk masuk gol tunggal perlawanan menewaskan penjaga gol Kemboja, Um Vichet pada minit ke-30 hasil hantaran cantik Mohamad Zaquan Adha Abd Radzak ke dalam kotak penalti.

Selepas ini, Malaysia bakal melayan kunjungan Myanmar pada perlawanan kedua peringkat kumpulan A di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 13 November nanti.

Harimau Malaya gugup, masih tercari-cari rentak Sukan Sinar.


SUMBER : sukansinar.com


Tags

Travel New York London IKEA NORWAY DIY Ideas Baby Family News Clothing Shopping Sports Games

Popular Posts


Related Posts