EdisiViral.Com Search Guest Post Login

Haqiem puas hiburkan penonton

0 month ago, 10-Oct-2019

BUKAN keuntungan menjadi ukuran, tetapi kepuasan dan jumlah penonton yang datang pada malam mini konsert bersama Haqiem Rusli fokus utama penyanyi berusia 21 tahun ini.

Bagi anak muda yang turut berbakat menulis dan mencipta lagu ini, dia puas melihat penonton terhibur dengan persembahannya. Walaupun diadakan dalam keadaan santai di Forest Valley Hall, Cheras, sorakan peminat memeriahkan suasana.

Haqiem mengakui sedar ada segelintir individu mempertikai jualan tiket RM20 yang dikatakan terlalu rendah. Namun, jejaka berasal dari Hulu Langat ini tidak kisah dengan apa yang diperkatakan.

Konsert mini ini bukanlah anjuran pihak label tetapi usaha rakan karib dan kami sengaja letakkan harga tiket RM20, selain RM100 untuk pakej ramah mesra bersama saya.

Biar apa orang kata, yang penting saya puas dapat menghiburkan penonton yang datang pada malam itu. Kalau saya letak harga RM200, bimbang pula penonton tidak mampu seterusnya tidak dapat sambutan.

Sejak awal karier saya, peminat tidak berkira dan lokek mengeluarkan wang untuk menonton walau di mana persembahan saya. Jadi, kenapa saya perlu berkira dengan mereka? katanya.

KETIKA bersama peminat.

Kira-kira 1,000 penonton hadir menyaksikan persembahan itu, mereka bukan hanya dalam kalangan remaja bahkan ada kanak-kanak dan golongan lebih berusia. Ia sekali gus membuktikan rangkaian lagu nyanyian Haqiem digemari semua peringkat umur.

Mempersembahkan lagu hit iaitu Tergantung Sepi, Lembah Kesepian, Selamat Tinggal Sayang dan Jatuh Bangun, Haqiem turut memberikan ruang kepada rakannya untuk menunjukkan bakat mereka.

Pemenang kategori Artis Sensasi Popular dan Lagu Paling Boom Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-32 menjelaskan, konsert mini itu bermula dengan sembang kosong dan tidak sangka ia berjaya direalisasikan.

Mulanya, ia hanyalah cerita kosong berkongsi idea mengenai konsert mini berkenaan. Hasil kerja keras, tidak sangka acara ini berjaya dilaksanakan. Saya bangga melihat usaha mereka akhirnya menjadi kenyataan.

Melihat sambutan pada malam itu, ia tanda rakyat Malaysia masih menyokong penyanyi tanah air. Tiga tahun dalam industri, saya pernah jatuh tetapi mereka (peminat) masih tetap ada dengan saya, katanya.

Walau hanya sekadar konsert mini, rakan artis turut hadir iaitu Hael Husaini, Aman Aziz, Dottie, Misham Othman, Fieza Hanis, Sheryl Shazwanie, Kucaimars serta Fizi Ali sekeluarga.

Pernah dihambat kontroversi tahun lalu, kejadian itu mengajar dia lebih berhati-hati dan tekad kekal bersih pada tahun ini. Dia tidak mahu isu panas mengganggu kerjayanya.

Cukuplah dengan apa yang terjadi tahun lalu. Saya tidak mahu cerita panas lebih banyak diperkatakan berbanding kerjaya. Oleh itu, saya nekad menjadikan 2019 sebagai permulaan untuk bersih kontroversi.

Adalah juga sikit-sikit jadi kecaman netizen, tetapi cuma isu kecil. Alhamdulillah, saya berjaya menepis kontroversi pada tahun ini dan harapnya terus kekal begini, katanya.


SUMBER : hmetro.com.my



Live Website Traffic


loading...