EdisiViral.Com Search Guest Post Login

'Hanan jaga mama'

0 month ago, 07-Nov-2019

HANAN, nanti Hanan besar, Hanan jaga mama tau, itu pesanan terakhir arwah Lans Koperal Saifullah Mohamad, 32, kepada bayi lelakinya, Muhammad Hanan Attaqi yang baru berusia 51 hari.

Pesanan itu masih segar dalam ingatan isterinya Lans Koperal Norina Bakri, 33, ketika kali terakhir bertemu dengan arwah suaminya.

Malah, dia tidak menyangka ungkapan dianggap gurauan itu adalah petanda suaminya akan meninggalkannya untuk selama-lamanya.

Anggota Balai Polis Johor Jaya, Pasir Gudang ini, berkata, arwah suaminya seorang yang kelakar dan menganggap apa yang diungkapkan kepada bayi mereka itu sebagai jenaka saja.

Arwah pesan kepada bayi kami supaya menjaga saya, dia juga sangat teruja untuk mengadakan majlis cukur jambul dan aqiqah anak sulung kami ini pada awal Disember namun semua itu tidak menjadi kenyataan.

Dia juga menghubungi saya setiap hari dan memberitahu yang dia rindukan anak kami serta rindukan saya, katanya yang ditemui di rumah keluarga mentuanya di Taman Jaya Delima, Tanjung Rambutan, di sini, semalam.

INFOGRAFIK

Norina yang masih dalam cuti bersalin berkata, arwah suaminya ada menghubunginya sebelum kejadian dan memberitahu akan mengikuti operasi sekatan jalan raya (SJR) selama empat jam.

Arwah beritahu saya yang dia akan ikut SJR empat jam saja, lepas balik nanti dia akan tidur untuk berehat, saya tidak sangka ungkapan itu penuh makna, dia pergi tinggalkan kami selama-lamanya.

Suami seorang yang sangat baik, dia disenangi ahli keluarga dan rakan-rakan, dia suka berjenaka serta membuat lawak, memang tak kering gusi bila bersama dengannya, katanya yang berpantang di rumah ibunya di Pantai Dalam, Kuala Lumpur.

Menceritakan kembali saat dimaklumkan mengenai pemergian arwah suaminya pagi semalam Norina berkata, dia dihubungi Timbalan Ketua Balai Polis Johor Jaya yang memintanya supaya kuat untuk menerima berita itu.

Kemudian saya terus menghubungi ibu mentua, meskipun terkejut dengan berita itu kami semua menerima ketentuan ketentuan Allah SWT, katanya.

Jenazah Saifullah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bakar Bata.


SUMBER : hmetro.com.my



Live Website Traffic


loading...