EdisiViral.Com Video Search Login
Loading...

Rugi hampir RM15,000 kerana nombor plat istimewa

0 month ago, 20-Nov-2020


KEPALA BATAS: Hasrat seorang lelaki mahu mendapatkan nombor pendaftaran kenderaan istimewa tidak kesampaian malah terpaksa menanggung rugi hampir RM15,000 selepas ditipu ejen syarikat.

 

Semuanya bermula apabila lelaki terbabit melayari Facebook dan melihat iklan penjualan nombor pendaftaran kenderaan dari sebuah syarikat yang menawarkan pelbagai nombor pendaftaran.

 

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, mangsa berusia 50 tahun itu berhasrat mahu memiliki nombor pendaftaran itu yang diiklankan dan terus menghubungi ejen syarikat terbabit.

 

Menurutnya, mereka hanya berurusan melalui telefon tanpa berjumpa dan mangsa diarahkan untuk membuat bayaran bagi mendapatkan nombor pendaftaran yang diinginkan itu.

 

"Mangsa yang percaya dengan kata-kata ejen tersebut kemudian membuat bayaran secara berperingkat sebanyak tiga kali ke dalam tiga akaun bank berbeza berjumlah keseluruhan RM14,800.

 

"Dia diberitahu, ketiga-tiga akaun bank tersebut adalah milik 'runner' syarikat yang akan uruskan pembelian nombor pendaftaran kenderaan tersebut," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

 

Noorzainy berkata, mangsa hanya sedar ditipu apabila ejen tersebut gagal dihubungi setelah bayaran penuh dibuat.

 

Kesal dengan apa yang berlaku, mangsa kemudiannya membuat laporan polis semalam.

 

Beliau berkata, semakan yang dibuat mendapati nombor pendaftaran yang diiklankan sebenarnya telah didaftarkan dan kepunyaan orang lain.

 

"Polis masih menjalankan siasatan bagi memperoleh maklumat akaun-akaun individu terbabit.

 

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan," katanya.

 

 

sinarharian



SUMBER : penangkini.com



Live Website Traffic


loading...