www.edisiviral.com

Berita dan informasi edisi viral di Malaysia.


Hadkan tempoh perkhidmatan presiden MHC

0 month ago, 13-Jan-2019


Azhar (berdiri, tengah) memegang piala bersama pengurus dan pasukan hoki Perak bawah 14 dan 16 tahun.

MOHAMAD HAFIZI MOHD SAID

PERSATUAN Hoki Perak mencadangkan tempoh jawatan Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) dipendekkan daripada empat tahun kepada tiga tahun.

Presidennya,, Datuk Dr Azhar Ahmad berkata, tempoh empat tahun diperuntukkan dalam Perlembagaan MHC sudah tidak relevan.

“Saya mengambil kesempatan untuk menyentuh beberapa perkara dalam Perlembagaan Konfederasi Hoki Malaysia yang dipinda 23 Mac 2015 dan diluluskan oleh Pesuruhjaya Sukan pada 5 Mei 2015.

“Dalam Fasal 1 menyatakan bahawa presiden seharusnya dipilih oleh Kongres bagi tempoh empat tahun, dan adalah dicadangkan supaya ia dikurangkan kepada tiga tahun,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas majlis meraikan skuad hoki Perak bawah umur 14 dan 16 tahun, Piala Razak dan Veteran di sini, hari ini.

Tambahnya, tempoh empat tahun yang diperuntukkan terlalu lama kerana kebanyakan persatuan sukan kebangsaan lain menetapkan tempoh jawatan presiden bagi satu penggal antara dua hingga tiga tahun.

“Kami juga mencadangkan dua lagi perkara kepada MHC iaitu individu yang dilantik Presiden MHC tidak dibenarkan memegang sebarang jawatan dalam mana-mana persatuan sukan kebangsaan lain.

“Kalau dia pegang banyak jawatan macam mana nak fokus pada persatuan dan juga sukan negara untuk bawa kejayaan. Begitu juga kalau dia pegang lama jawatan presiden dia tidak memberi komitmen sepenuhnya dan kami tidak mahu persatuan yang statik sebaliknya lebih dinamik,” katanya.

Menurut Azhar cadangan ketiga adalah agar MHC mengembalikan semula kuasa keputusan mesyuarat kepada jawatankuasa hoki kebangsaan dan bukannya kepada lembaga eksekutif yang dilantik presiden.

“Sekarang ini presiden melantik lembaga eksekutif dan mereka membuat keputusan lalu memaklumkannya hingga kita akur sahaja dengan keputusan itu. Kalau begitu apa gunanya ada pertandingan jawatankuasa kalau keputusan dilakukan lembaga eksekutif.

“Ia tidak efektif dan saya cadangkan supaya hak ini dikembalikan semula seperti dahulu,” katanya.

Sementara itu, Azhar turut berterima kasih kepada semua pihak termasuk pengurus dan pasukan hoki Perak yang berjaya menjadi johan dalam semua kejohanan yang dianjurkan MHC bagi tahun 2018 melibatkan bawah 14 tahun dan 16 tahun lelaki, Piala Tun Abdul Razak Edisi ke-56 dan Veteran.

“Sebagai penghargaan kepada pemenang Persatuan Hoki Perak dengan kerjasama Kerajaan Negeri Perak telah menyampaikan saguhati RM100 kepada pemain bawah umur 14 dan 16 tahun,” katanya.

Hadkan tempoh perkhidmatan presiden MHC Sukan Sinar.




SUMBER : sukansinar.com


Tags

Travel New York London IKEA NORWAY DIY Ideas Baby Family News Clothing Shopping Sports Games

Popular Posts


Related Posts