EdisiViral.Com Search Guest Post Login

Gigih turun padang

0 month ago, 11-Sep-2019

SEJAK muncul dengan lagu Sebentar tahun ini, Dayang Nurfaizah tidak berehat panjang.

Sebaik konsert Dayang Dua Dekad di Istana Budaya, Kuala Lumpur Julai lalu, dia terus giat mempromosikan lagu ciptaan Faizal Tahir dan Mike Chan itu.

Hampir setiap hari, stesen radio mana yang tidak dijejaki penyanyi kelahiran Kuching, Sarawak ini dan program TV mana tak dikunjungi bagi memastikan lagu itu berkumandang.

Namun ada yang bertanya, mengapa dalam kedudukan yang begitu selesa, penyanyi yang bakal mengadakan konsert solonya di Singapura, Disember ini masih perlu bersusah payah?

Dalam industri muzik tempatan, Dayang nama besar dan kredibilitinya diiktiraf sebagai antara yang terbaik.

Menilai dari sudut itu, rasanya pemenang anugerah Vokal Terbaik sebanyak tiga kali pada Anugerah Juara Lagu ini tidak perlu terlalu gigih turun padang dan muncul di semua stesen radio dan TV.

Berbicara mengenai perkara ini, Dayang berkata, dia tidak pernah meletakkan dirinya setinggi seperti anggapan umum sebaliknya menegaskan kejayaan hanya akan tercapai apabila seseorang itu berusaha.

Bayangkan jika saya memilih stesen radio atau program TV tertentu untuk mempromosikan lagu Sebentar. Bukankah ia akan merugikan saya?

Apabila membuat kemunculan di stesen radio itu sekurang-kurangnya saya sudah dapat memperdengarkan lagu terbaharu kepada pendengar mereka, katanya.

Menurut Dayang, dia tetap turun padang ke stesen radio dan program TV yang dikatakan tidak ramai pendengar atau penonton bukan kerana mahu mempromosikan lagu, sebaliknya dia melihat situasi itu sebagai serampang dua mata.

Mungkin benar apa yang dikatakan, stesen radio itu atau program TV terbabit tidak popular, kurang pendengar atau penonton, tetapi orang tidak tahu apabila saya muncul saja dengan lagu terbaharu, mereka orang pertama memainkan dan mempromosikan lagu saya.

Mereka memain dan mempromosikan lagu saya tanpa ada birokrasi. Tidak perlu menunggu undian atau melihat lagu saya tular atau tidak baru hendak dimainkan. Sebaik saja mereka mendapat lagu saya, ia terus dimainkan, katanya.

Dayang berkata, situasi itu membuatkan hatinya tersentuh dan menunjukkan betapa mereka begitu menghargai apa yang dia lakukan demi kelangsungan kerjaya.

Bukan itu saja, ada juga dalam kalangan kakitangan stesen radio dan program TV menjadi sahabatnya.

Bayangkan saya sibuk dengan kerjaya begitu juga mereka. Jarang sekali saya dapat bertemu mereka.

Selalunya peluang untuk bertemu dengan mereka yang menjadi penyampai radio atau pengacara program TV itu apabila saya berkesempatan mempromosikan lagu terbaharu yang saya dendangkan, katanya.

Menurut Dayang, dia tidak pernah mengamalkan sikap pilih bulu dalam mempromosikan lagunya. Bagi Dayang, semua stesen radio dan TV mempunyai fungsi yang sama.

Lagipun, industri muzik kita kecil dan saling memerlukan. Hari ini mereka tolong saya, esok lusa saya pula membantu mereka, katanya.

Lega tiket laris

Dayang bersyukur apabila tiket Konsert Dayang Dua Dekad yang akan berlangsung di The Theatre, MediaCorp, Singapura pada 28 Disember ini sudah 50 peratus dijual secara dalam talian.

Dayang berkata, dia lega segala perancangan mereka berjalan lancar setakat ini.

Saya difahamkan, setakat ini tiket paling mahal sudah habis dijual dan kini tinggal tiket paling murah saja, katanya.

Bercerita mengenai persembahannya dalam konsert itu nanti, Dayang berkata, buat masa ini dia tidak bercadang mengubah keseluruhan konsep persembahan dan pemilihan lagu.

Seperti yang saya jelaskan sebelum ini, untuk menukar keseluruhan lagu ia akan memberikan masalah kerana saya tidak mempunyai masa yang cukup untuk melakukannya.

Bagaimanapun, ada beberapa perubahan kecil akan saya lakukan. Ini bagi memastikan apa yang dipersembahkan di Singapura nanti akan ada tarikannya.

Saya faham perkara ini perlu dilakukan kerana ada juga peminat yang sudah menonton konsert saya di Kuala Lumpur turut membeli tiket untuk menonton konsert di Singapura nanti. Perkara ini juga akan turut saya bincangkan dengan pengarah muzik iaitu Genervie Kam, katanya.


SUMBER : hmetro.com.my



Live Website Traffic





www.edisiviral.com