EdisiViral.Com Video Search Login
Loading...

Georgetown : Ramai cuba nasib rentas daerah..

1 month ago, 13-Jan-2021

  : Zuhainy Zulkiffli

Harian Metro



ANGGOTA keselamatan memulakan tugasan pada SJR berhampuran susur masuk Jambatan Pulau Pinang di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu di sini. FOTO Danial Saad

Georgetown: "Jangan ambil kesempatan terhadap kelonggaran selama tiga hari ini," demikian amaran Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap orang awam yang berhasrat merentas daerah dan negeri dengan alasan yang tidak munasabah.

Ia susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan bermula hari ini di enam negeri termasuk Pulau Pinang.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, tinjauan di sekatan jalan raya (SJR) di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu mendapati aliran trafik masih tinggi.

Menurutnya, keadaan itu berlaku kerana kebanyakan perniagaan dan industri masih dibenarkan operasi oleh kerajaan.

"Kesesakan lalu lintas tidak dapat dielakkan bagi mengimbangi aktiviti ekonomi dan kesihatan awam, malah ia perlu diterima semua pihak

"Kelonggaran selama tiga hari juga diberi kepada mereka yang mahu pulang ke kediaman asal, umpamanya pelancong domestik yang bercuti di Pulau Pinang ketika pengumuman PKP, namun orang ramai diminta supaya tidak mengambil kesempatan atas kelonggaran itu," katanya di sini, hari ini.

Dalam tinjauan itu, didapati kesesakan trafik berlaku sepanjang lima kilometer dari Jalan Tun Dr Lim Chong Eu ke susur masuk Jambatan Pulau Pinang.

Ada beberapa pemandu yang didapati tidak mempunyai surat kebenaran daripada majikan bagi merentas daerah untuk bekerja dan ada antaranya diarahkan supaya berpatah balik.

Soffian berkata, pihaknya tidak akan bertolak ansur dengan pengguna jalan raya sekiranya alasan yang diberikan bagi merentas daerah atau negeri adalah tidak munasabah.

"Ada yang cuba nasib merentas daerah tanpa surat kebenaran namun setakat ini, mereka diarahkan supaya berpatah balik.

"Kita akan lihat kesalahan dan jika (alasan) tidak munasabah, mereka akan diambil tindakan kompaun," katanya. 


2021 Harian Metro.

New Straits Times Press (M) Bhd.



SUMBER : penangkini.com



Live Website Traffic


loading...