EdisiViral.Com Search Guest Post Login
Loading...

Gadis hilang ditemui tergantung di akar pokok

0 month ago, 21-May-2020

GADIS dilaporkan hilang sejak seminggu lalu ditemui tergantung di akar pokok di dalam sungai di kawasan bukit Felcra Kruak, Jertih, Terengganu, Selasa lalu.

Mangsa, Hanis Syamimi Yusoff, 20, ditemui penduduk kampung selepas usaha mencarinya dilakukan apabila menemui motosikal dinaikinya terlekat di dalam selut di kawasan bukit berkenaan.

Hanis dilaporkan hilang oleh ibunya, Nasarah Mohammad, 55, apabila dia tidak pulang ke rumah selepas keluar pada 8 pagi, 13 Mei lalu.

Keluarga kemudiannya menularkan kisah kehilangannya selepas gagal menjejaki Hanis di semua tempat termasuk sekitar bandar Pasir Puteh.

Sepupunya, Mohd Hafiz Zahari, 35 berkata, selepas tular kisah kehilangan Hanis, ada individu yang memberi maklumat terlihat motosikal ditunggang gadis itu tersadai di dalam selut di dalam bukit Felcra Kruak kira-kira 55 kilometer dari rumahnya.

Katanya, hasil laporan itu, dia dan ahli keluarga serta penduduk Felcra bersama anggota polis bekerjasama mencari Hanis di kawasan motosikal dia ditemui.

"Pada 3 petang Selasa lalu, saya keluar dari bukit itu untuk ke Balai Polis Pasir Akar bagi melaporkan kejadian memandangkan perlu mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Ketika itulah saya terima panggilan daripada polis menyatakan Hanis berjaya ditemui tergantung di akar pokok di tengah sungai dengan keadaan lemah dan tidak bermaya," katanya ketika ditemui di Kampung Guntong, Pasir Puteh, malam ini.

Hafiz berkata, Hanis memaklumkan sepanjang seminggu hilang, dia hanya makan sepinggan nasi goreng yang diberikan penduduk, namun enggan keluar dari sungai meskipun dipujuk penduduk kampung.

Menurutnya, polis mengambil masa untuk memujuk Hanis keluar dan menyeberang sungai.

"Dia beritahu keluarga, ada orang memanggil namanya untuk ke sungai itu walhal dia tidak pernah sampai ke sana dan keluarga percaya dia berada di situ selepas motosikalnya tersangkut di dalam selut.

"Sepupu saya mengalami kemurungan dan beberapa hari sebelum hilang dia dilihat sering bercakap seorang diri," katanya.

Menurutnya, Hanis adalah anak tunggal kepada Nasarah dan sedang belajar semester dua dalam pengajian Seni Digital di Politeknik Arau, Perlis.

Katanya, Hanis pulang ke kampung pada 30 April lalu selepas PKP akibat Covid-19 dan dia dipercayai mengalami tekanan perasaan.

Hanis yang tinggal berdua bersama ibunya juga adalah anak yatim yang kehilangan bapa sejak 2008 dan hanya mengharapkan wang pencen arwah bapa bagi menampung kehidupan mereka berdua.

"Saya berharap ada pihak seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) membantu Hanis daripada segi sokongan emosi dan kewangan kerana sebagai sepupu saya kasihan melihat mereka berdua," katanya.

Sementara itu, Nasarah berkata, Hanis mengalami masalah emosi sejak di Tingkatan Lima dan kurang bersosial kerana merasa rendah diri.

Menurutnya, dia banyak meluahkan perasaan di WhatsApp status dan gemar meluangkan masa dengan melukis.

"Saya bersyukur kerana dia berjaya ditemui dalam keadaan selamat sebelum sambutan Aidilfitri, Ahad ini.

"Dia anak yang baik cuma alami tekanan perasaan, kami orang susah, mungkin banyak sebab dia rasa tertekan," katanya.


SUMBER : hmetro.com.my

Loading...

Loading...

Live Website Traffic


loading...