EdisiViral.Com Search Guest Post Login

12 Filem Bercorak Patriotik, Kemerdekaan Untuk Tontonan Bulan Kebangsaan

0 month ago, 15-Aug-2019

MENONTON filem-filem patriotik sedikit sebanyak dapat menaikkan semangat kenegaraan kita sebagai rakyat Malaysia. Pengisian filem patriotik tidak hanya berkisarkan tentang perperangan, malah semangat juang juga turut diangkat menjadi tema sesebuah filem.
Di sini kami senaraikan 12 filem patriotik  yang wajib ditonton bersempena Hari Kebangsaan!

1. Bukit Kepong
Filem Bukit Kepong yang menemui pawagam pada tahun 1981 ini berkisarkan mengenai perjuangan pihak polis menentang komunis. Diangkat dari kisah benar yang terjadi pada tahun 1950, filem arahan Tan Sri Jins Shamsudin ini dilakonkan oleh beliau sendiri bersama Allahyarham Hussein Abu Hassan, Datuk Yusof Haslam dan ramai lagi.

2. Leftenan Adnan
Filem arahan sutradara profilik Aziz M Osman ini telah diterbitkan pada tahun 2000. Menampilkan garapan kisah benar Leftenan Adnan Saidi yang terjadi semasa Perang Dunia Kedua, filem ini membariskan pelakon-pelakon hebat seperti Hairie Othman, Datin Paduka Umie Aida, Faizal Hussein, Rusdi Ramli dan ramai lagi.

3. Paloh
Menggarap kisah benar penduduk daerah Paloh yang terletak di Johor, filem arahan Adman Salleh ini ditayangkan pada tahun 2003. Mengangkat kisah penduduk Tanah Melayu yang terpaksa hidup dalam tekanan akibat berlakunya konfrontasi antara pihak tentera Jepun dengan Parti Komunis Malaya, Paloh dibintangi oleh Janet Khoo, Nam Ron, Ellie Suriaty dan ramai lagi.
4. 1957: Hati Malaya
Diterbitkan pada tahun 2007 sempena Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-50, filem hebat ini diarahkan oleh Datin Paduka Shuhaimi Baba. Berkisarkan mengenai golongan muda tempatan yang berusaha untuk menerbitkan sebuah buku bergambar yang bertajuk 1957 - Hati Malaya, filem ini turut menyelitkan kisah benar mengenai perjuangan untuk mencapai kebebasan.

5. Tanda Putera
Filem adaptasi kisah benar ini memaparkan hubungan persahabatan antara Tun Abdul Razak dan Tun Dr. Ismail sejak tercetusnya peristiwa 13 Mei 1969. Filem ini turut diarahkan oleh pengarah prolifik Datin Paduka Shuhaimi Baba. Tanda Putera dibintangi oleh Rusdi Ramli, Zizan Nin, Faezah Elai, Linda Hashim dan ramai lagi.

6. PULANG
Filem ini mungkin secara zahir berkisar kisah benar cinta antara Othman dan Che Thom yang terpisah 60 tahun tetapi elemen perjuangan kemerdekaan, babak aksi penjajahan

Jepun di Tanah Melayu dan usaha untuk mengubah kehidupan agar lebih selesa cukup kuat menjadikan ia antara naskhah patriotik terbaru.
7. LEGASI VAT 69
Dokudrama untuk tayangan TV1 ini adalah kisah benar semangat kepahlawanan lima anak muda kampung iaitu Hamzah Hashim, Apot a/k Saad, Zabri Abd Hamid, Hasyim Jaabar dan Ahmad WT.

Mereka menyahut cabaran untuk menyertai unit baharu dalam pertahanan negara pada 1969 yang dikenali dengan nama VAT 69.

8. LALANG
Mengangkat latar period drama berlaku sekitar 1942, era penaklukan Jepun di Tanah Melayu. Telefilem yang akan ditayangkan di TV1 ini membawa penonton melihat pengorbanan dan jiwa patriotik dalam perjuangan bangsa untuk menuntut kemerdekaan negara.

Biarpun penceritaan penjajahan Jepun sering diangkat ke filem atau drama, Lalang mengangkat jati diri yang perlu ada dalam rakyat Malaysia sampai bila-bila.

9. BRAVO 5 (BRAVO LIMA)
Filem aksi/patriotik ini berlatarkan tahun 1989, di mana lima anggota Komando Tentera Darat (Rejimen Gerak Khas) ditugaskan mengesan kedudukan gerila komunis yang merancang menguasai kedudukan strategik kawasan tengah Semenanjung Malaysia. Malangnya perhubungan terputus kerana set komunikasi rosak.

Tanpa bantuan pasukan tentera lain yang sepatutnya tiba, mereka terpaksa bertempur dengan hampir 200 anggota gerila komunis.

10. EMBUN
Filem arahan Erma Fatima ini yang panjangnya 135 minit ini dibintangi Umie Aida, Aqasha, Hani Mohsin dan Izi Yahya dan diterbit oleh Filem Negara Malaysia. Dialog filem Embun berbahasa Melayu dan Jepun kerana berlatarkan zaman penjajahan Jepun di Tanah Melayu.

11. SARJAN HASSAN
Sarjan Hassan (diiklankan dalam poster sebagai Sergeant Hassan dalam bahasa Inggeris) ialah sebuah filem peperangan zaman pendudukan Jepun di Tanah Melayu pada tahun 1958 yang dilakonkan oleh P. Ramlee.

12. OLA BOLA
Ola Bola mungkin bukan filem mengenai peperangan atau perjuangan menuntut kemerdekaan tetapi elemen patriotik serta kesatuan yang luhur demi menjaga maruah negara melalui perlawanan bola adalah sesuatu yang menyentuh hati.

Karya ini dianggap filem Malaysia paling berjaya kerana menyatukan semua bangsa untuk menontonnya dan pada masa sama meraikan kepelbagaian kaum di negara tercinta.

SUMBER : cikgushare.com



Live Website Traffic





www.edisiviral.com