www.edisiviral.com

Berita dan informasi edisi viral di Malaysia.


Farid Kamil rayu tangguh hukuman

0 month ago, 17-May-2019


PELAKON dan pengarah, Datuk Farid Kamil Zahari sudah memfailkan rayuan terhadap keputusan mahkamah yang mensabitkan beliau bersalah atas kesalahan menggunakan dadah ganja THC atau Tetra Hydrocannibol, Januari tahun lalu.

Perkara itu disahkan oleh peguam Megat Syazlee Mokhtarom yang mewakili Farid ketika dihubungi hari ini.

Pihak kami sudah memfailkan permohonan itu di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini. Kami kemuka rayuan terhadap keputusan dan bukan terhadap hukuman.

Selain itu kami turut memfailkan perakuan segera supaya permohonan untuk penangguhan pelaksanaan hukuman dapat didengar secepat mungkin.

Kami memohon supaya hukuman terhadap Farid ditangguhkan sehingga rayuan kes itu selesai, katanya.

Pada 15 Mei lalu, Farid, 38 dijatuhi hukuman penjara sembilan bulan oleh Mahkamah Majistret Shah Alam atas kesalahan menggunakan dadah jenis ganja THC atau Tetra Hydrocannibol.

Selain itu, mahkamah turut memerintah tertuduh berada di bawah pengawasan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) selama dua tahun.

Majistret Nor Ariffin Hisham tidak membenarkan permohonan pihak pembelaan untuk penangguhan pelaksanaan hukuman.

Berikutan itu, Farid tidak dapat menjalani ibadat puasa bersama keluarga dan menyambut Aidilfitri di Penjara Kajang.

Mahkamah membuat keputusan itu selepas Farid memilih untuk berdiam diri daripada membuat pembelaan.

Farid diperintahkan membela diri atas kesalahan itu selepas mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes di akhir kes pendakwaan.

Apabila diperintahkan membela diri setiap tertuduh akan diberi tiga pilihan iaitu memberi keterangan bersumpah, memberi keterangan dalam kandang tertuduh atau berdiam diri.

Jika memberi keterangan bersumpah, tertuduh boleh diperiksa balas oleh pendakwaan manakala bagi keterangan yang diberikan dalam kandang tertuduh, mereka tidak akan diperiksa balas oleh pendakwaan.

Sementara itu, jika tertuduh memilih berdiam diri, tertuduh akan disabitkan dan dihukum mengikut penalti yang ditetapkan dalam seksyen yang tertuduh didakwa.

Berdasarkan pertuduhan, Farid didakwa menggunakan THC yang juga dadah ditemui pada ganja di Pejabat Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, kira-kira 4.30 petang, 11 Januari 2018.

Berikutan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a), Akta Dadah Berbahaya yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan.

Seramai lima saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan yang bermula pada 18 Disember tahun lalu.




SUMBER : hmetro.com.my


Tags

Travel New York London IKEA NORWAY DIY Ideas Baby Family News Clothing Shopping Sports Games

Popular Posts


Related Posts