E. Elavarasan Letak Jawatan Ketua Jurulatih B-23
0 month ago, 18-Sep-2023
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini mengumumkan, pengendali skuad B23 tahun negara E. Elavarasan melepaskan jawatannya sebagai ketua jurulatih skuad b23 Malaysia.
Perkara itu diumumkan FAM dalam satu siaran media hari ini yang memaklumkan bahawa Elavarasan akan kembali menumpukan fokus kepada tugasan asal iaitu menjadi penolong jurulatih kepada pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon.
Menurut FAM, sejurus selesai tugasan skuad muda negara di pentas Kelayakan Piala Asia B23, Elavarasan dan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin telah berjumpa membincangkan hala tuju pasukan B-23 kebangsaan.
Dalam perbincangan tersebut, Datuk Hamidin dan Elavarasan mencapai kata sepakat dan persetujuan agar beliau kembali fokus kepada tanggungjawabnya sebagai penolong ketua jurulatih Harimau Malaya.
Ini bermakna akan ada jurulatih baharu yang dilantik bagi menggalas tugas selaku pengendali B-23 kebangsaan ke Piala Asia B-23 2024 di Qatar, April depan. Pengganti Elavarasan bakal diumum FAM selepas beberapa penelitian dan perbincangan serta kata putus yang akan dicapai kelak.
Untuk rekod, Elavarasan pada 1 September 2022 telah diumum sebagai ketua jurulatih B-23 kebangsaan yang baharu menggantikan Brad Maloney dan pada masa yang sama masih memegang jawatan sebagai pembantu ketua jurulatih Harimau Malaya.
Siaran Media: Elavarasan Lepas Jawatan Skuad B-23, Kembali Fokus Bantu Kim Pan Gon Dalam Skuad Senior
— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) September 18, 2023Baca penuh di https://t.co/f9CQr9h7sh#FAM #HarimauMalaya pic.twitter.com/JvLC0RyyP8
FAM mengambil keputusan melantik Elavarasan sebagai pengendali B-23 bagi memudahkan proses kesinambungan buat skuad senior dan skuad B-23 negara.
Setahun di bawah kendalian Elavarasan, skuad B-23 kebangsaan telah berjaya menjuarai Piala Merlion 2023 di Singapura pada Mac 2023 dan biarpun gagal di Sukan SEA 2023 di Kemboja pada Mei, mereka berjaya layak ke separuh akhir Kejuaraan B-23 AFF 2023 di Rayong, Thailand pada Ogos dan layak ke Piala Asia B-23 2024 selepas melepasi pusingan kelayakan di Chonburi, Thailand baru-baru ini.