EdisiViral.Com Search Guest Post Login
Loading...

Dipenjara 2 tahun ugut adik tak dapat duit beli rokok

0 month ago, 20-Nov-2020


KUALA KANGSAR: Mahkamah Seksyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara dua tahun terhadap lelaki yang mengugut bunuh adik kandungnya setelah tidak diberikan wang membeli rokok.

 

Hakim Rohaida Ishak menjatuhkan hukuman tersebut selepas tertuduh, Wan Mohd. Hanif Wan Nik Azhar, 25, mengaku bersalah setelah pertuduhan terhadapnya dibacakan.

 

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan ugutan jenayah dengan mengacukan pisau kepada adik kandungnya, Wan Hazman Haikal di sebuah rumah tidak beralamat di Kampung Pulau, Padang Rengas dekat sini pada pukul 3 petang 16 November lalu.

 

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

 

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Hanida Abduk Kadir manakala tertuduh diwakili peguam bela, Hennie Soraya Hanafi daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

 

Sebelum menjatuhkan hukuman, Hakim Rohaida bertanyakan sebab tertuduh mengugut adiknya dan diberitahu adik tertuduh tidak memberikan wang untuk membeli rokok.

 

Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara dua tahun terhadap tertuduh bermula tarikh dia ditangkap pada 17 November lalu.

 

Sementara itu di mahkamah sama, Seorang pengawal keselamatan dituduh menyeludup lelaki warga India tahun lalu.

 

Tertuduh, Mohd. Basyaruddin Hassan, 42, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Rohaida.

 

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan penyeludupan migran seorang lelaki warganegara India, Jaswinder Singh di Kaunter Kawalan Pemeriksaan Keluar, Kompleks Imigresen Bukit Berapit, Pengkalan Hulu pada pukul 3.40 petang 20 Mei 2019.

 

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 yang boleh dihukum penjara sehingga lima tahun dan boleh dikenakan denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

 

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Imigresen Malaysia, Siti Rovinna Mohd. Rawi manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

 

Siti Rovinna kemudian memohon izin untuk membawa kes tersebut kepada Mahkamah Tinggi mengikut Seksyen 177A(1) Kanun Tatacara Jenayah untuk dibicarakan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan perkara tersebut dibenarkan mahkamah.

 

UTUSAN ONLINE



SUMBER : penangkini.com



Live Website Traffic


loading...