EdisiViral.Com Video Search Login
Loading...

Dipenjara kerana sepak dan ludah pembantu rumah

0 month ago, 19-Nov-2020

Singapura: Pembantu rumah Indonesia yang didera berulang kali termasuk disepak dan diludah sehingga mengambil keputusan melarikan diri dengan turun dari tingkat 15 melalui balkoni, kini mampu menarik nafas lega apabila pelakunya dijatuhi hukuman penjara.

Nuur Audadi Yusoff didakwa mendera Sulis Setyowati, 24, berkali-kali, termasuk menampar muka dan menarik rambutnya dalam kejadian antara Januari dan April 2018 serta dijatuhi hukuman penjara 10 bulan dua minggu.

Berita Harian Singapura melaporkan, ketika menjatuhkan hukuman, Hakim Daerah Ronald Gwee berkata, kekasaran fikizal dan mental yang dilakukan Nuur mencerminkan keadaan sebenar yang berlaku.

Hakim Gwee juga mendapati Sulis membahayakan nyawanya dengan melarikan diri daripada seksaan itu.

Hakim menegaskan bahawa hukuman berat adalah perlu untuk memberikan mesej bahawa sikap kejam seperti yang dilakukan Nuur tidak dapat diterima.

Mahkamah juga diberitahu bahawa Nuur memberi Sulis lebih SGD$7,000 sebagai pampasan beberapa hari lalu.

Warga Singapura berusia 31 tahun itu mengaku bersalah pada September lalu terhadap enam tuduhan mengasari pembantu rumah berkenaan.

Sembilan lagi dakwaan, yang serupa kesalahannya, telah diambil kira ketika hukuman dijatuhkan.

Sulis mula bekerja dengan keluarga Nuur di Yishun pada Disember 2017.

Berdasarkan keterangan, kira-kira sebulan selepas memulakan tugas, pada tengah malam, Nuur terjaga kerana terdengar tangisan anaknya dan dia mendapati Sulis lupa menyapu minyak ke perut kanak-kanak itu.

Nuur kemudian menyepak pembantu itu dan meludahnya sebanyak dua kali.

Penderaan itu berterusan pada Februari 2018 dengan tindakan seperti mengheret pembantu rumahnya itu dengan menarik rambutnya.

Apabila Sulis meminta dipindahkan ke majikan lain, Nuur berjanji untuk tidak memukulnya lagi.

Tetapi penderaan berterusan pada 21 April tahun sama selepas dia melihat gambar-gambar anaknya di telefon bimbit Sulis dan pembantu rumah itu telah memuat naik gambar anak-anaknya di Facebook.

"Tertuduh kesal melihat gambar-gambar itu. Dia marah dan menampar wajah mangsa dengan telefon dan tangannya beberapa kali sebelum melemparkan telefon ke lantai menyebabkannya retak.

"Mangsa mengalami pendarahan di mukanya dan ada tanda kemerahan," kata Timbalan Pendakwa Raya Chong Kee En.

Mahkamah mendengar bahawa Nuur merampas telefon bimbit itu dan menyerang pembantu itu hampir setiap hari selama kira-kira seminggu selepas kejadian itu.

Pada 29 April 2018, Sulis berjaya mengambil telefon bimbitnya dan menyembunyikannya ketika dia ingin menghubungi agensinya untuk memohon berpindah majikan.

Ketika Nuur menyedari bahawa telefon itu hilang, dia menyoal pembantu itu dan menggunakan sikat untuk mencucuk dahi Sulis dengan kuat, menampar wanita itu dan menarik rambutnya.

Pada malam itu, Nuur mengarahkan Sulis tidur di ruang tamu dan dia mengunci pintu bilik pembantu rumahnya serta pintu depan flat untuk menghalangnya daripada melarikan diri.

Keesokan harinya Nuur menarik rambut Sulis dan menendang kepalanya beberapa kali sebelum berangkat ke tempat kerja.

Ketika Nuur pulang ke rumah pada malam itu, dia memanggil Sulis sebagai 'pelacur'.

Nuur juga bertanya kepada pembantu rumah itu apakah dia ingin menggoda suaminya kemudian menjadi marah apabila Sulis, yang kebingungan, menjawab "Ya, Bu".

Nuur kemudian menggunakan penyapu untuk berulang kali memukul kepala dan belakang badan Sulis.

Sulis kemudian melarikan diri sekitar jam 2 pagi keesokan harinya, melalui balkoni kerana pintu depan terkunci dan turun sepanjang 15 tingkat.



SUMBER : hmetro.com.my



Live Website Traffic


loading...