EdisiViral.Com Search Guest Post Login
Loading...

Didakwa sumbang mahram dengan anak tiri

0 month ago, 19-May-2020

KUALA KANGSAR: Seorang lelaki didakwa ke Mahkamah Majistret Kuala Kangsar hari ini atas tiga pertuduhan melakukan sumbang mahram dengan anak tirinya Februari lalu.

Tertuduh yang berusia 44 tahun dan bekerja kampung mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Asyifa Redzuan yang dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Hasyutantee Khalil.

Berdasarkan kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan sumbang mahram dengan anak perempuan tirinya yang ketika itu berusia 18 tahun 7 bulan.

Mengikut pertuduhan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di tepi sebuah rumah beralamat di Kampung Berala, Kati, Kuala Kangsar kira-kira jam 5.30 petang pada 2 Februari lalu.

Tertuduh kemudiannya mengulangi perbuatan itu pada 8 Februari kira-kira jam 11.50 pagi dalam sebuah kenderaan PROTON Wira di alamat sama.

Seterusnya, tertuduh sekali lagi melakukan kesalahan itu pada 16 Februari lalu di lokasi beralamat di Kampung Salak Stesyen, Sungai Siput (Utara) kira-kira jam 10 pagi.

Bagi semua pertuduhan, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376B (1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, Majistret menetapkan esok, 20 Mei 2020 sebagai tarikh sebutan kes yang akan disebut di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen.

Hasyutantee berkata, ia memandangkan kes itu berada di bawah bidang kuasa Hakim selain disebabkan Kompleks Mahkamah Kuala Kangsar yang mengamalkan penggiliran mengikut hari antara Hakim dan Majistret bagi mendengar dan membicarakan kes.

"Hari ini merupakan giliran Majistret bertugas, esok baru Hakim Mahkamah Sesyen ada (bertugas)," katanya.

Katanya lagi, tertuduh juga berkemungkinan menghadapi pertuduhan tambahan.

"Bagaimanapun setakat ini arahan (pertuduhan tambahan) masih belum diperoleh," katanya.

Difahamkan, pengaduan berhubung kesalahan dilakukan lelaki itu dibuat sendiri oleh anak perempuan tirinya itu pada 4 Mei lalu.

BHarian
Loading...

Loading...

Live Website Traffic


loading...