EdisiViral.Com Video Search Login
Loading...

Tiga PPS dibuka di daerah Jasin dan Alor Gajah

0 month ago, 19-Nov-2020

MERLIMAU 20 Nov Tiga pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di daerah Jasin dan Alor Gajah berikutan hujan lebat sejak jam 5 petang semalam menyebabkan beberapa kawasan di dua daerah berkenaan dinaiki air.

Dua PPS yang dibuka di daerah Jasin adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Tedong dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dang Anum.

Bagi daerah Alor Gajah, PPS yang dibuka untuk penempatan sementara keluarga terjejas adalah di SK Durian Tunggal.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Melaka, Leftenan Kolonel (PA) Effendy Ali berkata, kawasan terjejas di daerah Alor Gajah membabitkan Kampung Bukit Tambun dan Kampung Bukit Balai.

Berikutan itu katanya, Jalan Durian Tunggal Simpang ditutup sementara dan setakat jam 11 malam tadi, paras air Sungai Melaka di Durian Tunggal merekodkan kenaikan setinggi 3.03 iaitu belum melepasi paras amaran 3.83 meter.

PPS SK Durian Tunggal yang mula dibuka pada jam 12.30 tengah malam tadi kini menempatkan tiga keluarga membabitkan 14 mangsa, katanya ketika dihubungi di sini malam tadi.

Sementara itu Pengerusi Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Jasin, Datuk Anis Ali Hasan berkata, beberapa kawasan terjejas di daerah berkenaan termasuk Taman Merlimau Mekar; Taman Merlimau Megah; Kilang Berapi; pekan Tedong; Paya Lengkong dan pekan Lengkong.

Beliau yang juga Pegawai DaerahJasin berkata, setakat jam 11.25 malam tadi sebanyak 14 keluarga dipindahkan ke PPS SMK Dang Anum manakala 20 keluarga dipindahkan ke SK Tedong.

Empat belas keluarga yang dipindahkan ke SMK Dang Anum membabitkan 56 individu manakala 20 keluarga yang dipindahkan ke SK Tedong masih belum dikemas kini oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengenai jumlah sebenar mangsa yang terbabit.

Bagaimanapun, saya jangkakan jumlah mangsa akan bertambah berikutan dalam lawatan saya tadi keadaan air masih belum surut dan APM (Angkatan Pertahanan Awam Malaysia) sedang memindahkan mangsa yang terjejas, katanya ketika ditemui di PPS SMK Dang Anum.

Dalam perkembangan sama, Effendy memaklumkan paras air Sungai Chohong di daerah Jasin merekodkan kenaikan pada ketinggian 9.98 meter namun belum melepasi paras amaran iaitu 11.6 meter.

Tinjauan Melaka Hari Ini (MHI) pada jam 10 malam tadi di kawasan Merlimau mendapati hujan mulai reda namun beberapa rumah dinaiki air sehingga paras lutut dan keluarga terjejas mula berpindah ke PPS masing-masing.



SUMBER : melakahariini.my



Live Website Traffic


loading...