EdisiViral.Com Search Guest Post Login
Loading...

Dedikasi untuk keluarga

1 month ago, 11-Feb-2020

SEWAKTU lagu Sumpah nyanyian Naim Daniel mencetus fenomena, rata-ratanya mengakui karya berkenaan memiliki kualiti dan pesona luar biasa.

Tidak dinafikan, lagu itu antara yang terbaik dihasilkan beberapa tahun kebelakangan ini.

Segalanya membuahkan hasil apabila lagu ciptaan Naim bersama Omar K itu dinobatkan sebagai juara di Anugerah Juara Lagu ke 34 (AJL34) yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, malam kelmarin.

Selayaknya lagu itu tidak perlu dipertikaikan lagi kemenangannya. Walaupun bersaing dengan karya lain yang cukup kuat, Sumpah mendapat sokongan padu daripada ramai selain banyak ramalan meletakkan lagu itu sebagai juara.

Bagaimanapun, paling mencuri perhatian semestinya sewaktu Naim bersujud syukur sebaik dia diumumkan menang.

Babaknya memeluk anggota keluarga dan kerendahan hatinya mendapat pujian ramai membuatkan pengiktirafan itu lebih bermakna.

Paling diingati ramai tentu sekali ucapannya yang menusuk jiwa semua sebelum mendapat perkongsian meluas.

"Buruk niat kita, buruklah yang kita dapat, baik niat kita, baiklah yang kita dapat," itulah ungkapan Naim sewaktu menerima trofinya yang berjaya menyentuh hati peminat seluruh Malaysia.

NAIM Daniel dedikasi kemenangan buat keluarga. FOTO Aswadi Alias

Berkongsi lanjut, penyanyi terbabit tidak putus mendedikasikan kemenangan itu buat keluarganya.

Sebagai anak, saya sedar tidak banyak yang dapat saya berikan kepada keluarga saya jika dibandingkan dengan apa yang mereka berikan. Namun apabila Allah beri tanggungjawab serta bakat nyanyian dan lakonan, saya akan cuba sehabis baik untuk membalas jasa mereka.

Wang kemenangan yang diterima ini saya ingin dahulukan untuk keluarga dan ingin buat mereka gembira, katanya yang menerima wang tunai berjumlah RM50,000 bersama Omar.

LAGU Sumpah membawa tuah buat Naim dan Omar K.3. FOTO Aswadi Alias

Katanya, sebaik dia menyanyikan lagu itu, dia menangis di belakang pentas kerana seakan-akan tidak percaya sudah berada di tahap sekarang.

Saya seakan-akan tidak percaya apabila dapat berpeluang berdiri dengan barisan juara dan alumni AJL yang sudah banyak kali bertanding. Begini rasa seronoknya apabila sesuatu karya itu diangkat sebagai juara. Ia sekali gus memberi saya semangat untuk terus berkarya dan menampilkan lebih banyak material yang berkualiti, katanya.

Sementara itu, ketua juri Ajai berkata, kelebihan Sumpah terletak kepada melodi serta lirik yang memberi penghayatan mendalam.

KEJUTAN penampilan Siti Nurhaliza mengujakan semua. FOTO Aswadi Alias

Apa yang lebih utama adalah melodi lagu serta lirik dalam lagu itu yang akan membawa penghayatan kepada pendengar. Menerusi lagu Sumpah rakaman lagu ini sedap.

Bagaimanapun ketika dia menyanyikan lagu itu secara langsung, saya akui ada sedikit kekurangan. Namun markah diadili pada rakaman lagu ini, katanya.

Selain Naim, kemenangan lagu Bangun ciptaan Aman RA dan Navigator nyanyian Aman RA di tempat kedua dan lagu Anta Permana ciptaan Hael Husaini dan Ezra Kong dinyanyikan Bob Yusof dan lagu asal nyanyian Datuk Seri Siti Nurhaliza rata-rata dipersetujui.

ERNIE Zakri turut mempamerkan vokal mantap. FOTO Aswadi Alias

Aman RA dan Navigator membawa pulang hadiah wang tunai RM35,000 berserta trofi manakala Bob, Hael dan Ezra berkongsi hadiah wang tunai RM20,000 berserta trofi.

Apapun, sedikit mencetuskan pertikaian semestinya kategori Vokal Terbaik selepas Hafiz Suip menerusi lagu Kisah Cinta Kita dinobatkan pemenang.

Keputusan itu meranapkan ramalan ramai yang menjangka Ernie Zakri layak menang menerusi lagu Ku Bersuara.

Menjelaskan perkara itu, Ajai berkata, persaingan vokal memang ketat namun keputusan itu dibuat selepas meneliti kelebihan yang ada pada Hafiz berbanding peserta lain.

HAFIZ Suip menang Vokal Terbaik untuk kali keempat di AJL. FOTO Aswadi Alias

Ernie memang diakui sangat hebat vokalnya namun penilaian aspek itu sangat menyeluruh. Bagaimanapun, Hafiz memiliki kelebihan daripada segi konsistensi teknikal terutama bahagian apabila muzik terhenti.

Sebaik dia sambung nyanyiannya, dia berjaya kembali menyanyi nota lagu dengan begitu sempurna dan feel diberikan tidak tersasar langsung. Itulah antara kekuatan Hafiz untuk layak menang Vokal Terbaik itu, katanya.

Kemenangan itu melayakkan Hafiz membawa pulang hadiah wang tunai RM12,000 berserta trofi. Dia turut memenangi Persembahan Terbaik membawa pulang hadiah wang tunai RM12,000 dan trofi.

AJL34 cetus banyak pertikaian

Di sebalik kemeriahan kemuncak AJL34, tidak ketinggalan banyak drama dan kejutan turut menghiasi edisi tahun ini. Terutama daripada aspek persembahan yang nampaknya terpalit dengan pertikaian.

Tatkala ramai teruja dengan kejutan dibuat Datuk Seri Siti Nurhaliza muncul menyanyikan Anta Permana bersama Bob, insiden mikrofonnya tidak berfungsi lebih jadi tumpuan. Rata-rata warganet terutama peminat setia Siti tidak puas hati dengan insiden terbabit.

Menjelaskan perkara itu, Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Johan Ishak berkata kru tidak tahu gimik terbabit akan berlaku.

Ia gimik pada saat-saat akhir oleh Bob dan pasukannya dengan membawakan Siti. Jadi secara tidak langsung kru teknikal terpaksa membuat persiapan pada saat akhir kerana baru tahu mengenai kejutan itu.

Namun berlaku pula masalah teknikal apabila baris pertama nyanyian Siti tidak kedengaran namun ia berjaya diatasi selepas itu, katanya.

BARISAN pemenang AJL34. FOTO Aswadi Alias

AJL34 dihoskan Awal Ashaari, Sherry Al Hadad dan Haziq Hot FM.

Persembahan pembuka tirai AJL34 membariskan pemenang vokal terbaik AJL serta peserta separuh akhir Muzik-Muzik 34 yang lalu seperti Liza Hanim, Misha Omar, Adibah Noor, Jaclyn Victor, Lah Ahmad, Black, Hazami, Marsha Londoh, Salma Asis, Apex Tajudin, Muna Shahirah, Sarah Suhairi dan ramai lagi.

Persembahan interlude AJL 34 pula menampilkan karya balada Datuk M Nasir yang disampaikan oleh Ameng Spring, Fredo, Datuk Hattan, Datuk David Arumugam dan M Nasir sendiri.


SUMBER : hmetro.com.my

Loading...

Loading...

Live Website Traffic


loading...