EdisiViral.Com Video Search Login
Loading...

Darurat Solusi Di Luar Amalan Biasa

0 month ago, 12-Jan-2021
save 2.0

oleh: Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi bin Wan Husain Profesor Madya
Fakulti Pengurusan Industri, UMP Pengasas Jurisprudens Watan

Darurat ialah suatu keadaan bahaya yang mengancam keselamatan, kesihatan ekonomi atau ketenteraman awam di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya sama ada ancaman besar tersebut sedang berlaku mahupun apabila Yang di-Pertuan Agong berpuashati itu akan berlaku. Yang di-Pertuan Agong diperuntukkan kuasa untuk membuat proklamasi darurat di bawah Perkara 150(1) Perlembagaan Persekutuan jika keadaan darurat sedang berlaku, atau di bawah Perkara 150(2) sekiranya darurat menghampiri, iaitu belum benar-benar berlaku. Persekutuan ialah merujuk kepada negara Malaysia yang terdiri daripada negeri- negeri di Semenanjung Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak, termasuklah Wilayah- wilayah Persekutuan.

Perkara 150 memperuntukkan seperti berikut:

(1)Jika Yang di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa suatu darurat besar sedang berlaku yang menyebabkan keselamatan, atau kehidupan ekonomi, atau ketenteraman awam di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya terancam, maka Yang di-Pertuan Agong boleh mengeluarkan suatu Proklamasi Darurat dengan membuat dalamnya suatu perisytiharan yang bermaksud sedemikian.

(2)Proklamasi Darurat di bawah Fasal (1) boleh dikeluarkan sebelum sebenarnya berlaku kejadian yang mengancam keselamatan, atau kehidupan ekonomi, atau ketenteraman awam di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya jika Yang di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa kejadian sedemikian hampir benar berlaku.

Semenjak sebelum Hari Merdeka, kuasa untuk mengisytiharkan darurat sudah wujud. Kuasa itu terletak pada Raja-Raja Melayu yang memerintah wilayah kekuasaan masing-masing di Tanah Melayu, malahan di mana jua bahagian dunia sekalipun kuasa tersebut sudah ada berserta dengan kewujudan sebuah kerajaan. Darurat berlaku akibat ancaman peperangan, rusuhan besar, huru-hara atau keadaan malapetaka, mahupun keadaan-keadaan yang membawa kepada situasi sedemikian.

Isu adakah Yang di-Pertuan Agong perlu bertindak di atas nasihat Jemaah Menteri, atau baginda tidak terikat dengan Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan iaitu untuk menerima dan bertindak di atas nasihat pihak-pihak tertentu pernah diputuskan di Mahkamah. Umum telah diketengahkan dua keputusan kes yang popular ialah Stephen Kalong Ningkan dan Tan Cheng Poh berhubung perbahasan keperluan Yang di-Pertuan Agong bertindak atas nasihat atau budibicara baginda. Dua keputusan kes tersebut diputuskan secara bertentangan.

Satu perkara yang tidak boleh diabaikan, bahawa kedudukan Yang di-Pertuan Agong dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan tidak boleh disamakan dengan Ratu England di Parlimen Britain. Malaysia ialah sebuah Persekutuan yang perlembagaannya diinstitusikan oleh Raja-Raja Melayu serta prinsip kedaulatan mereka masih terpelihara seperti termaktub dalam Perkara 181(1) Perlembagaan Persekutuan. Sebaliknya, kedaulatan Ratu England wujud kerana baginda berada dalam Parlimen, atau kedaulatannya dipopularkan sebagai Queen is Parliament.

Meskipun Perlembagaan Persekutuan merupakan undang-undang tertinggi namun begitu, Perlembagaan Persekutuan mengiktiraf kedaulatan serta prerogatif Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja. Tidak dinafikan bahawa prinsip kedaulatan Raja-Raja Melayu perlu dilaksanakan mengikut bentuk pemerintahan dan tatacara seperti termaktub dalam perlembagaan bertulis masing-masing, termasuklah kedudukan Yang di-Pertuan Agong di sisi Perlembagaan Persekutuan. Prerogatif Yang di-Pertuan Agong dilandaskan prinsipnya seperti termaktub dalam sumpah jawatan baginda di samping kedudukan baginda sebagai wakil Majlis Raja-Raja untuk memerintah Persekutuan. Selagi tidak dibataskan secara nyata oleh peruntukan Perlembagaan Persekutuan maka prerogatif Yang di-Pertuan Agong masih terpelihara.

Perlu dinyatakan bahawa nasihat Jemaah Menteri termasuklah Perdana Menteri mahupun pihak-pihak lain di bawah undang-undang negara adalah tidak mutlak tetapi tertakluk pada prinsip keluhuran perlembagaan. Suatu nasihat itu hendaklah selaras dengan prinsip kedaulatan undang-undang termasuklah sumpah Yang di-Pertuan Agong seperti Jadual Keempat Perlembagaan Persekutuan. Dalam konteks ini, prinsip keluhuran perlembagaan mengatasi ketinggian nasihat di bawah Perkara 40(1) dan Perkara 40(1A).

Pada sisi lain, Perkara 39 memperuntukkan bahawa kuasa eksekutif Persekutuan terletak pada Yang di-Pertuan Agong dan boleh dilaksanakan tertakluk pada peruntukan undang-undang Persekutuan dan Jadual Kedua oleh baginda atau Jemaah Menteri atau menteri yang diberi kuasa oleh Jemaah Menteri tetapi Parlimen boleh melalui undang-undang memberikan fungsi-fungsi kuasa eksekutif kepada pihak-pihak lain.

Tidak dinafikan bahawa secara umumnya seperti termaktub di bawah Perkara 40(1), Yang di-Pertuan Agong perlu bertindak di atas nasihat Jemaah Menteri atau menteri yang mewakilinya dalam melaksanakan fungsi kuasa baginda, namun begitu peruntukan yang sama menetapkan ada pengecualian terhadap pemakaian nasihat tersebut. Begitu juga, baginda berhak untuk memperolehi maklumat seperti yang dibekalkan kepada Jemaah Menteri. Hak untuk memperolehi maklumat seperti di atas menunjukkan bahawa Yang di-Pertuan Agong tidak hanya menurut apa jua nasihat, sebaliknya baginda juga boleh menyampaikan pandangan sebagai ketua negara dan ketua agama Islam di bawah bidang kuasa Persekutuan. Itulah keunikan doktrin nasihat di bawah Perlembagaan Persekutuan yang berevolusi daripada prinsip syura dalam sistem politik tradisional Melayu.

Seterusnya jika dilihat pada peruntukan Perkara 40(2), budi bicara Yang di- Pertuan Agong bukan setakat pelantikan Perdana Menteri, menangguhkan perkenan bagi pembubaran Parlimen atau meminta diadakan mesyuarat Majlis Raja-Raja yang semata-mata berkenaan dengan keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, dan apa-apa tindakan pada mesyuarat itu, malah dalam apa-apa hal lain yang disebut dalam Perlembagaan ini.

Perkara 150 memperuntukkan jika Yang di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa suatu darurat besar sedang berlaku yang menyebabkan keselamatan, atau kehidupan ekonomi, atau ketenteraman awam di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya terancam, atau sebelum sebenarnya berlaku kejadian sedemikian, maka Yang di-Pertuan Agong boleh mengeluarkan suatu Proklamasi Darurat dengan membuat di dalamnya suatu perisytiharan yang bermaksud sedemikian.

Syarat kepuasan hati Yang di-Pertuan Agong seperti peruntukan Perkara 150(1) tidak sama dengan susunan ayat misalnya dalam Perkara-perkara 42(1), 43A(1) dan 55(1) mahupun peruntukan-peruntukan lain Perlembagaan Persekutuan yang memerlukan baginda bertindak mengikut nasihat. Perkataan berpuas hati itu menunjukkan Yang di-Pertuan Agong berhak untuk membuat keputusan akhir setelah mendapat pandangan dan maklumat yang perlu. Apatah lagi kepuasan hati Yang di- Pertuan Agong tidak boleh dicabar oleh mahkamah atas apa jua alasan. Perkara 150(8) memperuntukkan:

(8)Walau apa pun apa-apa jua dalam Perlembagaan ini

(a)hal puas hati Yang di-Pertuan Agong yang disebut dalam Fasal (1) dan Fasal (2b) adalah muktamad dan konklusif dan tidaklah boleh dicabar atau dipersoalkan di dalam mana-mana mahkamah atas apa-apa alasan; dan

(b)tiada mahkamah boleh mempunyai bidang kuasa untuk melayan atau memutuskan apa-apa permohonan, soal atau prosiding, dalam apa-apa jua bentuk, atas apa-apa alasan, mengenai kesahan

(i)sesuatu Proklamasi di bawah Fasal (1) atau sesuatu perisytiharan yang dibuat dalam Proklamasi itu yang bermaksud seperti yang dinyatakan dalam Fasal (1);

(ii)kuat kuasa berterusan Proklamasi itu;

(iii)mana-mana ordinan yang dimasyhurkan di bawah Fasal (2b); atau

(iv)penerusan kuat kuasa mana-mana ordinan itu.

Peruntukan di atas begitu tuntas menunjukkan Perkara 150 jatuh di bawah pengecualiaan Perkara 40(1) maka dengan sendirinya Perkara 40(1A) tidak terpakai ke atasnya. Pindaan Perkara 150(8) juga diluluskan oleh Parlimen selepas keputusan 

dua-dua kes tadi. Kepuasaan hati dari sisi maksud dan tujuan merupakan budi bicara Yang di-Pertuan Agong yang bertindak atas permintaan Jemaah Menteri, maka baginda boleh menangguh atau menolakkan jika syarat yang diperuntukkan di bawah Perkara 150 belum dipenuhi.

Hal ini kerana proklamasi darurat dan perisytiharan ordinan-ordinan semasa darurat merupakan situasi yang dibenarkan oleh Perlembagaan Persekutuan apabila berlaku keadaan mengakibatkan undang-undang dan mekanisme pemerintahan sedia ada tidak lagi mampu untuk mengawal keselamatan atau kesihatan ekonomi atau ketenteraman awam dalam Persekutuan.

Wabak COVID-19 yang melanda negara kita sejak Disember 2019 menyaksikan keselamatan rakyat dari aspek kesihatan tergugat. Setakat 25 Oktober 2020 sebanyak 26,565 kes dilaporkan dengan jumlah angka kematian seramai 229 orang dan jumlah kes masih aktif sebanyak 9,202. Kerajaan setakat ini terpaksa membuat suntikan keseluruhan sejumlah RM295 billion yang kesannya hanya dapat dilihat selepas Oktober 2020 apabila moratorium pembiayaan kewangan dan insentif kemudahan i-Lestari berakhir. Belanjawan Negara yang diumumkan pada November 2020 amat diharapkan dapat memulihkan kehidupan ekonomi negara dan rakyat jelata yang terjejas teruk akibat wabak ini.

Sebagai Yang di-Pertuan Agong, baginda mempunyai kewajipan untuk meletakkan keselamatan, kehidupan ekonomi dan ketenteraman awam sebagai keutamaan demi melindungi maslahah rakyat selaras dengan sumpah baginda untuk berdiri tetap di atas pemerintahan yang adil dan aman di dalam Negeri. Justeru, baginda mempunyai prerogatif untuk menasihati ahli Dewan Rakyat agar menguruskan pertikaian dalam kalangan mereka dengan mengambil kira kepentingan rakyat dan negara secara keseluruhannya.

Selaras dengan kewajipan Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua utama negara yang mempunyai prerogatif, kuasa dan bidang kuasa seperti diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan, baginda tidak dibataskan hanya solusi berlandaskan Perkara 43 untuk menguruskan kemelut yang melanda negara, iaitu memutuskan sama ada seorang Perdana Menteri masih mempunyai kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, membubarkan Parlimen atau melantik seorang Perdana Menteri baharu. Dalam suatu situasi yang melibatkan krisis kepimpinan negara berpotensi tinggi mencetuskan huru hara atau ancaman kepada keselamatan, atau kehidupan ekonomi mahupun ketenteraman awam dalam negara, Perlembagaan Persekutuan menyediakan solusi di luar amalan biasa iaitu mengisytiharkan darurat.

Semasa suatu proklamasi darurat sedang berkuat kuasa, Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa untuk memasyhurkan mana-mana ordinan yang dikehendaki oleh sebab darurat walaupun tidak selaras dengan mana-mana peruntukan Perlembagaan Persekutuan tertakluk pada kuasa itu tidak boleh memperluas kuasa Parlimen mengenai apa-apa perkara hukum Syarak atau adat Melayu atau mengenai apa-apa perkara undang-undang atau adat anak negeri di Negeri Sabah atau Sarawak; dan yang tidak selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan berhubungan dengan apa-apa perkara sedemikian atau berhubungan dengan agama, kewarganegaraan, atau bahasa.

Selanjutnya, Yang di-Pertuan Agong boleh memasyhurkan apa-apa ordinan sebagaimana yang didapati perlu mengikut hal keadaan jika baginda berpuas hati bahawa ada hal-hal keadaan tertentu yang menyebabkan perlu baginya mengambil tindakan serta-merta. Sesuatu ordinan yang dimasyhurkan mempunyai kuat kuasa dan kesan yang sama sebagaimana Akta Parlimen, dan hendaklah terus berkuat kuasa dan berkesan sepenuhnya seolah-olah ordinan itu ialah Akta Parlimen sehingga ordinan itu dibatalkan atau diungkaikan di bawah Perkara 150(3) atau sehingga ordinan itu luput di bawah Fasal (7). Kuasa Agong untuk memasyhurkan ordinan semasa darurat boleh dijalankan berhubung dengan apa-apa perkara mengenainya Parlimen berkuasa membuat undang-undang, tanpa menghiraukan tatacara perundangan atau tatacara lain yang dikehendaki diikuti, atau perkadaran jumlah undi yang dikehendaki diperoleh di dalam mana-mana satu Majlis Parlimen.

Prerogatif Yang di-Pertuan Agong untuk membuat ordinan begitu luas selagi berada dalam batasan yang dibenarkan serta untuk mencapai maksud darurat itu diisytiharkan. Namun begitu, sebelum Yang di-Pertuan Agong mengambil sebarang keputusan seperti di atas, amat wajar baginda berunding dengan Majlis Raja-Raja begitu juga Keselamatan Negara terlebih dahulu. Tujuan dan polisi yang tersentuh 

dengan proklamasi darurat perlu dijelaskan sebaik-baiknya agar rakyat dan pelabur di negara kita tidak panik. Malah Yang di-Pertuan Agong juga berkuasa untuk mengekalkan Jemaah Menteri yang ada sebelum Parlimen dibubar atau darurat diisytiharkan untuk terus melaksanakan amanah bagi memulihkan keselamatan atau kehidupan ekonomi atau ketenteraman awam dalam negara demi kesejahteraan rakyat jelata.

Rakyat perlu diberi kefahaman bahawa proklamasi darurat tidak menghalang Parlimen untuk dipanggil bersidang semula dan Pilihanraya Umum dilaksanakan. Darurat bukanlah suatu yang baharu. Pada 20 Disember 2011 tiga proklamasi darurat dibatalkan di Dewan Negara, iaitu:

1.Proklamasi Darurat 1966 di Sarawak pada 14 September 1966 akibat pertikaian politik;

2.Proklamasi Darurat 1969 di Persekutuan pada 15 Mei 1969 akibat rusuhan kaum pada 13 Mei 1969; dan

3.Proklamasi Darurat 1977 di Kelantan pada 8 November 1977 akibat pertikaian politik .

Meskipun Persekutuan berada dalam tempoh darurat dari tahun 1969 hingga 2011, Malaysia terus membangun dan pernah digelar sebagai Harimau Asia dalam tempoh tersebut. Perlu dinyatakan sebelum tercetusnya Peristiwa 13 Mei 1969, Parlimen telah dibubarkan pada 30 Mac 1969 dan keputusan Pilihanraya Umum bagi Semenanjung Tanah Melayu diumumkan pada 10 Mei 1969. PRU di Sabah dan Sarawak terpaksa ditangguhkan, hanya pada 4 Julai 1969 selesai dilaksanakan. Parlimen hanya dipanggil bersidang pada 20 Februari 1971, iaitu hampir 2 tahun selepas tarikh pembubarannya.

Kesimpulannya, darurat merupakan salah satu solusi untuk mengatasi keadaan yang luar biasa yang tidak terhad apabila berlaku peperangan atau rusuhan besar. Darurat yang dibuat untuk menggantung PRU demi kesejahteraan rakyat perlu dilihat sebagai kedinamikan Perlembagaan Persekutuan.




SUMBER : 1media.my



Live Website Traffic


loading...