EdisiViral.Com Video Search Login
Loading...

DARURAT BERI KUASA AGONG AMBIL TINDAKAN SEGERA

0 month ago, 12-Jan-2021
save 2.0

KUALA LUMPUR: Pengisytiharan Proklamasi Darurat yang bermula 11 Januari 2021 hingga 1 Ogos 2021 akan memberi ruang kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Mustain Billah untuk memasyhurkan beberapa ordinan darurat untuk membendung wabak COVID-19.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kuasa itu akan merangkumi pengambilan milikan sementara tanah, bangunan atau harta alih hospital swasta atau membuat permintaan penggunaan sumber hospital swasta, bagi tujuan merawat pesakit Covid 19.

Kerajaan juga boleh mendapatkan penglibatan yang lebih inklusif daripada pihak swasta termasuk kemudahan penjagaan kesihatan swasta bagi membantu meringankan beban yang ditanggung oleh agensi Kerajaan terutamanya hospital awam.

Menerusi ordinan ini, bantuan yang boleh diperolehi daripada pihak swasta meliputi sumber manusia, kepakaran, fasiliti, aset, makmal ujian dan utility, katanya ketika pengumuman khas darurat hari ini.

Selain itu menurut beliau, kuasa-kuasa perlu di bawah Ordinan itu juga akan digunakan untuk memudahkan urusan dan mengatasi peraturan yang menyukarkan penyampaian perkhidmatan kesihatan awam secara pantas, cekap dan berkesan dalam masa pandemik ini.

Suatu ordinan juga kata Muhyiddin boleh dimasyhurkan untuk memperuntukkan kuasa penguatkuasaan kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selain kuasa yang sedia ada, mengikut kuasa-kuasa yang diperuntukkan kepada Polis Diraja Malaysia di bawah Kanun Tatacara Jenayah atau mana-mana undang-undang penguatkuasaan lain yang berkaitan.

ATM juga akan diperuntukkan kuasa untuk membantu melaksanakan fungsi-fungsi berhubung dengan kesihatan awam dan fungsi-fungsi yang dijalankan oleh pegawai awam yang berkaitan semasa pandemik ini.

Selaras dengan Proklamasi Darurat ini, aspek kawalan sempadan negara juga akan diperketatkan dengan memberi kuasa kepada anggota tentera selain polis dan imigresen untuk menangkap PATI dan sesiapa sahaja yang menceroboh sempadan negara, katanya.

Tambahnya, suatu ordinan juga boleh dimasyhurkan untuk meminda Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 untuk meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan akta ini dalam membendung penularan COVID-19.

Hal ini termasuk meningkatkan penalti atau hukuman ke atas sesiapa yang melanggar undang-undang dan peraturan berkaitan pengawalan wabak COVID-19.

Ordinan-ordinan yang bertujuan untuk memerangi sabotaj ekonomi, monopoli dan kenaikan harga barang secara keterlaluan dalam masa pandemik juga boleh dimasyhurkan oleh Seri Paduka Baginda.

Tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas dan hukuman yang lebih berat boleh dikenakan untuk tujuan ini, katanya.

Muhyiddin berkata semua ordinan yang dimasyhurkan oleh Al-Sultan Abdullah akan diwartakan dan boleh diketahui oleh rakyat. AlHijrah Online



SUMBER : alhijrahnews.com



Live Website Traffic


loading...