EdisiViral.Com Video Search Login
Loading...

Damaikanlah Ustaz Ebit Lew, Nadir al-Nuri, dan Firdaus Wong

4 month ago, 22-Jul-2021

Saya berani bersumpah Demi Allah betapa besarnya pengorbanan dan jasa ketiga-tiga insan ini untuk ummah. Nadir al-Nuri kehilangan anak sulung kerana isteri yang sarat mengandung terpaksa merangkak di terowong bawah tanah yang dibom rejim penjajah. Ustaz Ebit Lew yang kehilangan ayah ketika sibuk membantu orang susah. Firdaus Wong berkali-kali diugut bunuh kerana usaha dakwah dan mencegah kemungkaran. Pengorbanan ketiga-tiga insan ini hampir tiada taranya.

Allah tidak akan sekali-kali lupa bagaimana sayangnya Ustaz Ebit Lew kepada golongan gelandangan dan pinggiran. Allah tidak akan sekali-kali lupa bagaimana Nadir al-Nuri keras berusaha membangunkan ekosistem kebajikan, pendidikan, dan perniagaan saudara kita yang dijajah dan diperangi. Allah tidak akan sekali-kali lupa bagaimana Firdaus Wong membimbing ramai saudara baru untuk kembali ke agama fitrah demi keselamatan dunia akhirat sedang dalam masa yang sama mendepani golongan ekstremis. 

Sungguh, tiada siapa pun antara kita yang layak menghakimi ketiga-tiga insan ini. Kita selalu lupa betapa satu-satunya manusia yang sempurna dan bebas daripada dosa sudah pun wafat lebih seribu tahun yang lalu. Tiada lagi insan sehebat Rasulullah yang memimpin negara dalam rumah yang kecil hinggakan untuk sujud pun isteri baginda perlu mengalihkan kakinya. Tiada lagi insan sehebat Rasulullah yang mempimpin negara dalam keadaan kelaparan mengikat batu di perut baginda. Tiada lagi insan sesempurna Rasulullah yang bersegera mengagihkan harta-benda baginda hinggakan wafat tanpa mewariskan kekayaan luar biasa kepada ahli keluarga baginda.

Kita selalu meletakkan neraca kesempurnaan dalam menghakimi orang lain, hingga ke tahap segala jasa dan sumbangan insan lain diperkecil-kecilkan, sebaliknya segala kekurangan mereka diperbesar-besarkan dan diulang-ulang. Lebih parah, tanpa kita sedari api permusuhan dan kebencian ditiup dengan kencang hingga ke tahap melaga-lagakan insan-insan yang sedang sama-sama melakukan kebaikan.

Hakikatnya, Allah menuntut kita untuk sentiasa berusaha mendamaikan saudara kita yang saling bermusuhan bahkan hingga ke tahap kita dibenarkan berbohong dan menipu demi mendamaikan antara dua pihak yang bertelagah. 

Saya menyeru rakan-rakan untuk sama-sama kita menyeru usaha perdamaian secara baik antara Ustaz Ebit Lew dan Nadir al-Nuri ini. Sungguh ruginya kita berpecah dan berpihak sesama kita dalam keadaan penjajah terus berkuasa membantai saudara kita. Sungguh ruginya kita berpecah-belah dalam keadaan ramai antara kita yang terkesan dengan situasi hidup sekarang di kala masih ramai yang memerlukan perhatian dan sumbangan. Betapa ruginya kita berpecah dan bertelingkah dalam keadaan saat ini wilayah kita dituntut kuasa besar China dan Filipina di PBB.

Ingatlah sungguh-sungguh pesanan Rasulullah ini kepada kita semua:

Jauhilah sangka buruk, kerana bersangka buruk itulah ucapan yang paling dusta;
Janganlah mencari-cari isu;
Janganlah mencari-cari kesalahan;
Janganlah saling bersaing (dengan buruk);
Janganlah saling dengki-mendengki;
Janganlah saling memarahi; dan
Janganlah saling memusuhi!
Sebaliknya, jadilah kalian hamba-hamba Allah yang bersaudara
Hadis riwayat Muslim

Hamba Allah yang cintakan perdamaian dan persaudaraan



SUMBER : 1media.my



Live Website Traffic


loading...