EdisiViral.Com Search Guest Post Login

Ada jadi dalang

0 month ago, 13-Jul-2019

KANGAR: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Kuala Perlis mengesan segelintir penduduk di perkampungan nelayan atau rumah laut di Kuala Perlis menjadi dalang dengan membocorkan maklumat berkaitan operasi rutin agensi itu kepada pengusaha bot nelayan asing.

Pengarah Maritim Zon Kuala Perlis, Komander (Maritim) Nurulazme Zakariah berkata, mereka ini mempunyai pengalaman di laut dan mengetahui selok belok aktiviti perikanan.

Beliau berkata, pihaknya akan bertindak dan memantau perairan berkenaan setiap kali menerima maklumat berkenaan aktiviti menangkap ikan oleh bot nelayan asing.

Namun apabila tiba di lokasi aktiviti itu tidak ada, bot dilaporkan sudah lepas. Mereka seakan-akan mengetahui kehadiran pihak berkuasa.

Kami tidak menolak kemungkinan pengusaha bot berkenaan mengupah penduduk di penempatan nelayan yang berdekatan untuk memantau jeti dan pergerakan kapal melakukan rondaan.

Berdasarkan risikan, mereka yang diupah sebagai tonto ini menerima bayaran ribuan sehingga ratusan ribu ringgit setahun, katanya ketika ditemui di pejabatnya di Kuala Perlis, semalam.

Mengulas lanjut, Nurulazme berkata, pihaknya turut menemui beberapa petunjuk mengenai dakwaan bahawa penduduk setempat di perkampungan nelayan yang terbabit menjadi tonto kepada bot asing.

Ini berdasarkan tingkah laku yang mencurigakan ditunjukkan penghuni di penempatan terapung berkenaan setiap kali melihat bot rondaan APMM keluar dari jeti.

Mereka memasang lampu pelbagai warna di balkoni yang bertentang dengan laut, seolah-olah sebagai satu isyarat setiap kali ada rondaan bot yang dibuat pihak kami, katanya.

Sebelum ini Harian Metro melaporkan lebih 200 nelayan sekitar daerah ini mengadu perairan pantai di Kuala Sungai Bahru sering kerap diceroboh bot pukat tunda nelayan asing.

Sebahagian nelayan terbabit mendakwa penguatkuasaan yang tidak sistematik dan lemah menjadi faktor pengusaha bot haram menceroboh perairan berkenaan.

MUNIR Mohd Nawi

DOF, SPRM sedia bekerjasama

KUALA LUMPUR: Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) sedia bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menangani salah laku membabitkan unsur penyelewengan termasuk membabitkan isu berkaitan pencerobohan nelayan Vietnam.

Ketua Pengarahnya Datuk Munir Mohd Nawi berkata, isu dibangkitkan lesen alibaba dan bot klon nelayan Vietnam dilaporkan Harian Metro banyak menjurus kepada aspek penguatkuasaan.

Namun kami perlu menyiasat perkara ini dengan lebih lanjut, berdasarkan aduan DOF akan siasat sama ada benar bot itu bot asing yang diklon daripada bot tempatan melalui semakan e-lesen atau Malaysian Fishing Vessel Record (MFVR) dan rekod Vessel Monitoring System (VMS).

Semakan fizikal melalui pejabat perikanan negeri di pangkalan vesel yang beroperasi juga akan dilakukan.

Boleh serah nombor bot yang didakwa bot asing klon itu kepada DOF untuk siasatan selanjutnya atau serah kepada SPRM untuk tujuan sama, katanya.

Beliau berkata, DOF mengulangi pendirian mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang bersekongkol dalam isu pencerobohan nelayan asing.

Sekali lagi kita ulangi, DOF akan mengambil tindakan tegas termasuk membatalkan lesen vesel penangkapan ikan nelayan tempatan yang bersekongkol dengan aktiviti ini.

Malah, kita telus dan sedia bekerjasama sepenuhnya dengan SPRM dalam menguatkuasakan undang-undang jika wujud sebarang ketirisan atau penyelewengan, katanya.

Katanya, semua prosedur operasi standard (SOP) diteliti semula selain penguatkuasaan dan naziran dipertingkatkan bagi menangani isu berkaitan pencerobohan nelayan asing.

SOP perolehan vesel luar negara dan SOP pengeluaran permit laut dalam diteliti semula. Malah, penyelarasan agensi penguatkuasaan dan naziran akan dipertingkatkan lagi, katanya.

Munir berkata, bermula 2011 sebanyak 172 daripada 353 lesen dikeluarkan sudah dibatalkan kerana tidak mematuhi syarat permohonan.

Menurutnya, DOF melaksanakan langkah pengurusan mampan dalam skop lebih meluas berdasarkan semua laporan aktiviti yang memberi kesan kemerosotan kepada sumber perikanan negara.


SUMBER : hmetro.com.my



Live Website Traffic





www.edisiviral.com