EdisiViral.Com Video Search Login
Loading...

COVID-19: Seramai 1,778 PUS jalani kuarantin di Terengganu

0 month ago, 20-Nov-2020

KUALA TERENGGANU,. Seramai 1,778 individu bawah pengawasan (PUS) telah dimasukkan ke enam pusat kuarantin bagi tempoh 26 Sept hingga 18 Nov, iaitu ketika gelombang kedua penularan COVID-19 di Terengganu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu Dr Nor Azimi Yunus berkata daripada jumlah itu, seramai 1,602 PUS telah dibenarkan pulang, manakala 176 PUS masih dikuarantin bagi tujuan pengawasan dan pemerhatian.

Daripada 1,778 PUS yang dikenakan perintah kuarantin itu, seramai 1,509 PUS adalah individu yang dipercayai mempunyai kontak kepada pesakit COVID-19, 73 orang adalah mereka yang datang dari zon merah atau zon kuning.

Selain itu anggota kesihatan 66 orang, pelaut (12 orang) dan peneman kepada orang diperintah kuarantin seramai 118 orang, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sejak gelombang kedua penularan COVID-19 berlaku di Terengganu, enam pusat kuarantin telah dibuka iaitu Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri (BTPN) di Marang; Institut Pendidikan Guru (IPG) di Kuala Nerus; Akademi Bomba dan Penyelamat Wilayah Timur di Marang; Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) di Besut; Pusat Latihan dan Pembangunan Pengembangan (PLPP) Wilayah Timur di Besut; dan Pusat Latihan Darul Iman (DITC) di Kemaman.

Dr Nor Azimi berkata dua pusat kuarantin telah ditutup iaitu PLPP pada 14 Okt lepas manakala DITC ditutup pada Selasa lepas.

Untuk rekod, terdapat lapan kes aktif COVID-19 di Terengganu (setakat 12 tengah hari semalam) yang mana kes terakhir dilaporkan ialah pada 17 Nov lepas.

BERNAMA





Live Website Traffic


loading...