EdisiViral.Com Search Guest Post Login
Loading...

Covid-19 - Bukti Perlunya Sistem Ekonomi Berpaksikan Waqf.

0 month ago, 25-Mar-2020



Prof Dr. Mohd Nazari Ismail
Fakulti Perniagaan dan Perakaunan, Universiti Malaya

Kesan ekonomi akibat serangan Covid-19 semakin hari semakin serius. Pertubuhan Buruh Sedunia (International Labor Organization) meramalkan 25 juta pekerja akan kehilangan pekerjaan akibat daripada wabak ini. Kesan kepada kehidupan individu yang terlibat dan keluarga mereka sudah tentu sangat menyukarkan. Jutaan mungkin akan terpaksa keluar daripada rumah mereka kerana tidak mampu membayar pinjaman perumahan atau membayar sewa. Jutaan juga mungkin akan tidak mampu membeli makanan untuk anak dan isteri mereka.

Punca utama kepada situasi kemelesetan ini ialah kejatuhan menjunam daripada aspek permintaan dan juga penawaran dalam sistem ekonomi. Dalam aspek penawaran, akibat daripada wabak ini banyak organisasi tidak akan dapat menjalankan operasi, terutama sekali di negara-negara di mana pihak berkuasa melaksanakan langkah `Sekatan Pergerakan atau `Lockdown. Kejatuhan permintaan pula adalah akibat daripada kehilangan punca pendapatan di kalangan ramai ahli masyarakat. Mereka akan mengurangkan pembelian barangan daripada firma perniagaan sekaligus menyebabkan pendapatan firma perniagaan jatuh menjunam.

Oleh kerana dalam sistem ekonomi moden sektor-sektor adalah saling bergantungan, maka jika satu sektor mengalami masalah, ia akan memberi kesan kepada sektor-sektor lain. Dalam kes Covid-19, banyak sektor mengalami masalah pada masa yang sama. Sudah tentu terdapat sektor yang lebih teruk kesannya berbanding sektor yang lain. Contoh sektor yang teruk terkesan adalah sektor penerbangan dan perhotelan di mana beberapa syarikat penerbangan seperti SIA dan Qantas dilaporkan meminta ribuan kakitangan mereka mengambil cuti tanpa gaji.

Mungkin ada yang berpendapat bahawa sektor perubatan akan mendapat keuntungan yang banyak memandangkan ramai pesakit akan mengunjungi hospital. Namun hakikatnya hospital yang banyak menerima pesakit Covid-19 adalah hospital awam dan bukannya hospital swasta. Bahkan terdapat hospital swasta yang langsung tidak mahu menerima pesakit Covid-19, sebaliknya mengarahkan pesakit pergi ke hospital kerajaan. Faktor utama keengganan hospital swasta adalah untuk mengelakkan risiko jangkitan Covid-19 kepada staf mereka sendiri dan seterusnya menjejaskan operasi mereka.

Hakikat yang perlu disedari, hospital swasta sebenarnya adalah organisasi perniagaan yang bermotifkan keuntungan dan bukannya organisasi yang ingin memberi bantuan semata-mata. Mereka perlu memastikan prestasi keuntungannya adalah sentiasa baik. Jika prestasi menurun, pasukan pengurusan mungkin akan kehilangan pekerjaan. Tambahan pula banyak hospital swasta berhutang dengan institusi perbankan. Sebagai contoh jumlah hutang syarikat perubatan terbesar di Malaysia iaitu KPJ ialah hampir RM1.5 bilion. Oleh sebab itulah KPJ perlu memastikan pendapatan mereka tidak terjejas untuk memastikan kemampuan membayar hutangnya juga tidak terjejas.

Ramai yang mengharapkan kerajaan akan membantu syarikat dan individu yang dalam kesusahan. Jika kerajaan mempunyai dana yang banyak di dalam tabung simpanan, maka bantuan sememangnya boleh dilakukan. Namun hakikatnya kerajaan di seluruh dunia, termasuk di Malaysia kini dalam keadaan kewangan yang tenat. Hutang kerajaan Malaysia (jika dicampurkan dengan jaminan oleh kerajaan kepada hutang syarikat GLC) adalah lebih daripada RM1 trilion (atau RM1 ribu bilion). Oleh itu, kerajaan hanya boleh membantu rakyat dengan menambah lagi kepada hutang yang sedia ada. Namun, ini juga bermakna rakyat di masa akan datang akan terpaksa membayar cukai yang tinggi untuk membantu kerajaan membayar hutang terkumpul beserta bunganya sekali.

Ada yang terkeliru dan menyangka bahawa kerajaan Malaysia mempunyai rezab sebanyak lebih daripada RM400 bilion yang boleh digunakan untuk membantu rakyat. Sebenarnya itu adalah rezab Bank Negara Malaysia (BNM) dalam bentuk dolar Amerika (lebih kurang USD103 bilion) yang diperlukan oleh BNM untuk membeli Ringgit jika nilainya jatuh di dalam pasaran wang asing. Jika rezab itu tidak mencukupi, BNM tidak akan dapat menyekat kejatuhan nilai Ringgit di masa akan datang dan sekaligus akan mengakibatkan kenaikan harga barangan import (termasuk makanan) dan menjejaskan keupayaan firma Malaysia menjelaskan hutang mereka kepada institusi kewangan asing. Itulah yang telah berlaku kepada firma Turki pada tahun lepas yang menjejaskan ekonomi Turki dengan teruk sehingga kini. Sudah tentu kita tidak mahu kesan yang sama berlaku di Malaysia.

Sebenarnya apa yang sepatutnya kita usahakan ialah mewujudkan sistem ekonomi yang pernah diamalkan oleh peradaban Islam terutama sekali di Zaman Abbasiah. Ia adalah sistem di mana tahap hutang adalah sangat minimum (kerana amalan Riba diharamkan) sementara institusi Waqf mendominasi ekonomi. Sebagai contoh hospital percuma wujud di merata-merata tempat di zaman itu dan mereka berebut-rebut untuk memberi perkhidmatan yang terbaik kerana dengan cara ini akan dapat menarik penyumbang dan penderma kepada institusi Waqf yang mereka uruskan. Bahkan hospital haiwan (Veterinary hospital) juga pernah wujud di Damsyik yang mampu memberi perkhidmatan secara percuma. Ini sangat berbeza dengan keadaan di dalam negara kita sekarang di mana kos perubatan daripada hospital swasta teramat mahal.

Masalah yang bakal kita hadapi akibat Covid-19 sepatutnya dapat menyedarkan kita bahawa model ekonomi kita selama ini adalah salah dan sangat bertentangan dengan ajaran Islam. Ia adalah model ekonomi berasaskan hutang di mana hampir semua aktiviti ekonomi adalah dibiayai oleh hutang. Di dalam Islam, modal untuk perniagaan sepatutnya diperolehi daripada pelabur secara perkongsian iaitu melalui kaedah Mudarabah atau Musyarakah. Itulah yang diajar oleh Rasulullah SAW kepada kita. Sebaliknya sekarang, kebanyakan perniagaan termasuk hospital dan institusi pendidikan memilih untuk berhutang daripada industri perbankan untuk mendapatkan dana. Akibatnya mereka tidak mampu memberikan perkhidmatan percuma kepada masyarakat.

Di dalam sistem ekonomi Islam, rakyat dididik untuk mengelak daripada berhutang serta mengelak daripada membazir. Mereka juga digalakkan menginfaqkan atau mendermakan wang yang lebih daripada apa yang diperlukan, sama ada secara langsung atau melalui Waqf. Sebaliknya sekarang ramai ahli masyarakat kita bukan sahaja tidak mempunyai simpanan, bahkan mempunyai hutang keliling pinggang. Adalah tidak menghairankan jika seseorang individu mempunyai hutang berjumlah ratusan ribu ringgit kerana jumlah hutang isi rumah di Malaysia kini ialah lebih daripada RM1.1 trilion.

Akibatnya pendapatan bulanan ahli masyarakat banyak disalurkan kepada industri perbankan dan tidak kepada institusi Waqf. Oleh kerana itulah jumlah aset institusi Waqf di Malaysia adalah sangat kecil iaitu kurang daripada RM10 bilion, berbanding dengan aset industri perbankan yang berjumlah lebih daripada RM3 ribu bilion (atau lebih dari RM3 trilion) dan semakin berkembang dengan cepat.

Sedarkah kita bahawa industri perbankan mencipta wang baharu setiap kali ia memberi pinjaman kepada peminjam iaitu sebanyak RM7 bilion sebulan? Akibatnya jumlah wang di dalam sistem kewangan negara adalah sangat tinggi sekaligus menurunkan nilai mata wang tersebut dan mengakibatkan berlakunya inflasi. Dalam keadaan di mana kadar kenaikan gaji dan upah tidak dapat menandingi kadar kenaikan inflasi, maka kos sara hidup akan meningkat dan ramai akan merasakan pendapatan mereka tidak mencukupi.

Malangnya ramai ahli masyarakat yang masih mahu membeli kereta mewah atau baru, pergi ke luar negara untuk bercuti walaupun dengan cara berhutang. Ini semua dilakukan dengan sewenang-wenangnya kerana hutang senang diperolehi daripada pihak bank yang ingin menambahkan keuntungan mereka. Menurut satu laporan Bank Dunia iaitu `The World Banks Malaysia Economic Monitor (MEM), lebih daripada 40% peminjam yang mempunyai pendapatan kurang daripada RM3,000 berbelanja lebih daripada 40% pendapatan mereka untuk menyelesaikan hutang. Menurut laporan MEM itu lagi, hampir 50 peratus rakyat Malaysia yang berkerja adalah dalam kategori kewangan tidak kental (lack offinancial resilience) terutama sekali di kalangan generasi muda. Sebagai contoh, pada tahun 2018, AKPK mendapati 28% daripada rakyat yang bekerja terpaksa dibantu oleh rakan-rakan atau ahli keluarga untuk membeli barangan keperluan. Kes kemuflisan juga meningkat di kalangan remaja di mana 60% daripada kes adalah di kalangan mereka yang berumur di antara 25 hingga 44 tahun.

Dalam keadaan ekonomi jatuh merudum semua pihak akan merasai kesan pahit daripada tahap hutang yang tinggi. Besar kemungkinan kadar kemiskinan negara akan meningkat dengan mendadak dan ribuan rakyat Malaysia akan kehilangan tempat tinggal dan mungkin juga ramai akan menghadapi masalah kebuluran.


Penyelesaian jangka pendek kepada masalah ekonomi akan datang ialah tindakan kemanusian oleh pihak industri perbankan iaitu untuk tidak memberi tekanan kepada peminjam yang dalam keadaan tenat. Pihak bank seharusnya memaafkan hutang peminjam yang tersepit. Namun, kita juga harus sedar bahawa dalam sistem sedia ada, tindakan bank memaafkan hutang peminjam akan menyebabkan kategori aset utama mereka lesap, sekali gus meletakkan mereka dalam keadaan muflis. Jika banyak institusi bank jatuh muflis secara mendadak, dalam jangka pendek akan berlakulah krisis ekonomi dan sosial yang lebih teruk di dalam masyarakat.

Berdasarkan hujah di atas, jelaslah bahawa sebenarnya penyelesaian jangka panjang ialah perubahan di dalam sistem ekonomi kita supaya hutang bukan lagi menjadi satu industri tetapi hanyalah satu amalan untuk membantu orang susah semata-mata. Sistem alternatif yang paling penting yang perlu kita wujudkan bagi institusi kewangan ialah sistem Waqf dan bukan lagi industri perbankan.

Perubahan ini memerlukan perubahan nilai masyarakat di mana ahli-ahli masyarakat akan lebih gemar berbelanja di jalan Allah dan bukan berbelanja untuk keseronokan diri sendiri serta keluarga semata-mata, terutama sekali dengan cara berhutang. Nilai utama yang perlu dipupuk di dalam masyarakat ialah gemar menginfaq atau berderma dan bukan nilai konsumeris dan suka menunjuk-nunjuk. Usaha dakwah dan tarbiah oleh semua pihak, terutama sekali oleh NGO dakwah perlu digiatkan. Ini adalah supaya masyarakat mempunyai keyakinan yang tinggi bahawa wang yang didermakan sebenarnya tidak akan lesap begitu sahaja namun hakikatnya akan berlipat ganda dan menanti mereka di alam akhirat.

SUMBER : 1media.my

Loading...

Loading...

Live Website Traffic


loading...