www.edisiviral.com

Berita dan informasi edisi viral di Malaysia.


Corbin-Ong, Rodney perkuat Harimau Malaya; Cheng Hoe singkir Zaquan, Hazwan, Apex

0 month ago, 16-May-2019


Tonggak pertahanan Johor Darul Ta'zim (JDT) berdarah campuran, La'Vere Corbin-Ong (JDT) dipanggil buat pertama kali untuk menyertai kem latihan pusat skuad Harimau Malaya.

Ia sebagai persiapan menjelang aksi persahabatan antarabangsa bertemu Nepal di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 2 Jun depan sebelum perlawanan timbal balik Pusingan 1 Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 menentang Timor-Leste di stadium sama pada 7 dan 11 Jun.

Selain Corbin-Ong, seorang lagi pemain berdarah campuran iaitu pemain pertahanan muda PKNS FC, Rodney Celvin Akwensivie turut mendapat panggilan kali pertama menyertai kem latihan skuad senior negara itu.

Menerusi siaran media rasmi yang dikeluarkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) semalam, Corbin-Ong dan Rodney merupakan antara 26 pemain yang akan menyertai kem latihan pusat skuad Harimau Malaya bermula Isnin, 27 Mei ini.

Berdasarkan senarai tersebut, Cheng Hoe hanya mengekalkan 14 pemain daripada skuad yang dipanggil pada kem latihan pusat sebelum ini bagi menghadapi Piala AIRMARINE 2019 yang menyaksikan Harimau Malaya tewas 0-1 kepada Singapura pada aksi pertama sebelum bangkit menewaskan Afghanistan 2-1 pada perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat.

Keputusan itu menyaksikan 11 pemain digugurkan termasuk kapten, Zaquan Adha Abd Radzak serta tiga lagi anggota skuad naib juara Piala Suzuki AFF 2018 iaitu penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat (Melaka United), Nazirul Naim Che Hashim (Perak) dan Ahmad Hazwan Bakri (JDT).

"Baki tujuh pemain lain yang turut digugurkan adalah Rizal Ghazali (Kedah), Abdul Latiff Suhaimi (Selangor), Hadin Azman (Felda United), S Kumaahran (JDT II), Hafiz Ramdan (PKNP FC), Firdaus Saiyadi (Perak) dan Nicholas Swirad (PKNS FC).

"Sebagai ganti, Cheng Hoe telah menyenaraikan enam pemain yang tidak dipanggil pada Mac lalu kerana bersama skuad B-22 kebangsaan kendalian Datuk Ong Kim Swee untuk Kelayakan Kejuaraan B-23 AFC 2020 iaitu empat pemain JDT Safawi Rasid, Akhyar Rasid, Syamer Kutty Abba dan Dominic Tan serta Syahmi Safari (Selangor) dan Faisal Abdul Halim (Pahang).

"Turut kembali tersenarai selepas nama mereka tiada dalam skuad Piala AIRMARINE 2019 adalah empat anggota skuad Piala Suzuki AFF 2018 iaitu penjaga gol, Farizal Marlias, Adam Nor Azlin dan Syafiq Ahmad (JDT) serta Shahrel Fikri Md Fauzi (Perak).

"Bagi melengkapkan senarai 26 pemain ke kem latihan pusat kali ini, dua pemain baharu telah mendapat panggilan iaitu pemain berdarah campuran, La'Vere Corbin-Ong dan Rodney Celvin Akwensivie," ujar kenyataan tersebut.

Selepas berlatih selama enam hari bermula 27 Mei ini, Harimau Malaya yang kini menduduki ranking ke-168 dunia akan bertemu Nepal, ranking ke-161 dunia di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Ahad, 2 Jun dengan sepak mula jam 10 malam.

Selepas aksi tersebut, tiga pemain akan digugurkan bagi melengkapkan senarai akhir 23 pemain untuk menghadapi perlawanan menentang Timor Leste. Jika berjaya mengatasi Timor-Leste, Harimau Malaya akan layak ke Pusingan 2 Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Ia membabitkan 40 pasukan terbaik Asia yang dibahagikan kepada lapan kumpulan (lima pasukan setiap kumpulan) dan akan berlangsung selama sembilan bulan untuk 10 hari perlawanan dari 5 September 2019 hingga 9 Jun 2020.

Corbin-Ong, Rodney perkuat Harimau Malaya; Cheng Hoe singkir Zaquan, Hazwan, Apex Sukan Sinar.




SUMBER : sukansinar.com


Tags

Travel New York London IKEA NORWAY DIY Ideas Baby Family News Clothing Shopping Sports Games

Popular Posts


Related Posts