EdisiViral.Com Search Guest Post Login
Loading...

Celik digital kekal relevan

0 month ago, 11-Jan-2020

BARISAN artis 1990-an yang mahu kekal relevan perlu sedar perkembangan industri seni kini seiring perubahan media digital.

Jika mereka mahu terus bertapak dalam industri ini, penyanyi yang kini berusia 45 hingga 60 tahun bukan saja perlu berjinak-jinak dengan media sosial malah mempelajari penggunaan teknologi digital.

Biarpun kaya dengan pengalaman lalu, ia ternyata tidak mencukupi tatkala dunia pada hari ini semuanya di hujung jari.

Cuit Sikit minggu ini membawakan beberapa artis 1990-an yang mengajak barisan artis berpengalaman untuk mengambil tahu perkembangan dunia digital.

Ezad Lazim

Saya mengakui industri hiburan pada hari ini jauh berbeza di era 1990-an. Namun, sebagai artis senior kita harus akur dengan perkembangan semasa apatah lagi tiada lagi istilah album penuh yang memuatkan 12 lagu.

Jika dahulu kita disajikan dengan royalti cakera padat, masa dihabiskan di studio rakaman dan dilamar syarikat rakaman, semuanya itu hanya tinggal kenangan.

Buat rakan seperjuangan, pelajarilah bagaimana untuk menggunakan teknologi digital yang membantu perkembangan karier. Saya seru rakan artis untuk berdaya saing walaupun kita mungkin tidak seperti artis muda yang kini menjadi trending.

Mus

Kebanyakan artis rock 1980-an dan 1990-an masih diberi tumpuan dan memiliki penyokong tersendiri. Kita sedar dunia pada masa ini sudah menjengah 2020 iaitu perubahan teknologi digital yang amat pesat.

Mahu tidak mahu, perkembangan ini perlu dilalui rakan seangkatan. Jika artis otai mahu kekal sebagai anak seni, mereka tidak boleh lari daripada menggunakan teknologi digital.

Walaupun artis lama sudah berusia, kita tidak boleh menafikan kewujudan dunia digital dan jika kita menjadi sebahagian daripadanya, banyak manfaat dapat diterima bahkan hubungan bersama peminat lebih dekat.

Saya harap artis lama ikuti perkembangan semasa, fikirkan sesuatu yang kreatif dalam persembahan dan terokai media sosial.

Ifa Raziah

Bagi saya, artis 1990-an sentiasa relevan, lagu lama masih diminati dan lakonan di televisyen terus mendapat sambutan. Dalam bahasa mudah, tiada yang lama tiada yang baharu dengan artis lama dijadikan bahan rujukan oleh artis baharu.

Walaupun jelas dilihat artis baharu dilihat lebih ke hadapan dan mendominasi dunia digital, tidak semua daripada mereka mampu menjadi seorang penghibur serba boleh.

Jika dibandingkan pengalaman artis 1990-an, lagu baharu pada masa ini sukar menjadi evergreen seperti era terdahulu.

Saya berpendapat kekuatan artis 1990-an sememangnya ada dan ia perlu ditambah baik dengan penerokaan teknologi digital.


SUMBER : hmetro.com.my

Loading...

Loading...

Live Website Traffic


loading...