www.edisiviral.com

Berita dan informasi edisi viral di Malaysia.


PRK Cameron Highlands: Orang Asli di kubu kuat DAP, tidak yakin dengan PH

0 month ago, 14-Jan-2019



Rata-rata penduduk Orang Asli berkata, mereka masih terhutang budi dengan kerajaan BN walaupun Putrajaya kini dipimpin oleh PH. 

CAMERON HIGHLANDS: Masyarakat Orang Asli di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanah Rata yang diwakili DAP belum cukup yakin dengan Pakatan Harapan (PH) walaupun kawasan itu merupakan kubu kuat parti itu.

Tinjauan FMT mendapati rata-rata penduduk Orang Asli di kawasan berkenaan berpendapat, mereka masih terhutang budi dengan kerajaan Barisan Nasional (BN), walaupun kerajaan kini dipimpin PH, kerana terlalu banyak jasa yang ditinggalkan kerajaan sebelum ini.

Nasir Wahab, 58, dari Pos Mensun berkata, sejak DAP memenangi DUN Tanah Rata pada 2013, beliau tidak pernah bertemu secara bersemuka dengan wakil rakyat kawasan berkenan.

Malah katanya, kelibat wakil daripada PH hanya kelihatan pada musim pilihan raya sahaja.

"Pemimpin DAP, Pakatan Harapan, jarang masuk bertemu kami Orang Asli, kalau adapun bila musim pilihan raya, itupun kami tidak kenal nama. Kami hanya lihat pada baju yang mereka pakai ada logo 'Roket' dan Mata'.

"Tetapi kalau pemimpin BN, mereka selalu datang. Adakan program di kampung kami bukan hanya musim pilihan raya. Antara pemimpin kami kenal, Datuk Seri C Sivaraj, Datuk Seri G Palanivel, Datuk Seri S Devamany, bekas Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob juga ada datang," katanya.

Ayie: mengundi BN sejak berusia 23 tahun. 
Pandangan Nasir itu turut disokong leh Ayie, 80, yang memberitahu beliau mengundi BN sejak berusia 23 tahun.

"Kami mahu BN menang juga, mereka banyak bantu kami. Kalau PH ke PAS menang, kami tidak dapat apa-apa.

"Kalau BN masuk kampung kami, mereka akan bawa makanan, beri sumbangan wang, bukan masa pilihan raya sahaja, tetapi sebelum dan selepas pilihan raya mereka macam itu. Kalau anak cucu kami nak belajar mereka tolong, mereka juga beri pekerjaan," katanya.

Bagaimanapun, Azmin Pie, 48 dari kampung Orang Asli Sungai Relong mempunyai pandangan berbeza dengan berkata, tiada perbezaan antara PH dengan BN.

"Dulu masa BN menang tidak banyak pembangunan yang kami terima. Banyak lagi kemudahan kami ini tidak lengkap antaranya rumah, jalan raya dan paling penting kami mahu liputan internet dan akses telekomunikasi di sini sebab kami nak berhubung dengan saudara mara amat susah.

"Kali ini kami mungkin cuba pilih PH, kalau tidak ada apa-apa perubahan, pilihan raya akan datang kami tolak dua-dua, BN dan PH. Buang masa kami sokong," katanya.

Bagi Mariam Wok, 55 dari Pos Mensun, walaupun tampuk pemerintahan di Putrajaya sudah bertukar, namun beliau akan terus setia dengan BN.

"Kami tetap sokong BN sebab itulah yang dibuat nenek moyang kami. Dari dulu nenek moyang kami sokong BN, jadi kami juga sokong BN, kalau pemimpin PH datang kami lari tidak mahu jumpa," katanya.

Ah Kau berkata, tidak ada sebab beliau menolak Ramli kerana calon BN itu dari suku kaumnya. 
Seorang lagi penduduk, Ah Kau, 58 berkata, beliau lebih mengenali calon BN, Ramli Md Nor, berbanding PH, M Manogran dan 2 lagi calon Bebas, Sallehuddin Ab Talib dan Wong Seng Wee.

"Ramli itu anak buah saya, ramai orang kenal beliau sebab dia kaum kami dan berjaya menjadi pegawai polis.

"Macam mana kami nak kata kami tak suka dia, sebab dia suku kaum kami dan dia mudah dekat dengan orang kampung. Walaupun bekerja di Kuala Lumpur, dia selalu balik ke sini," katanya.

Semantara itu, Fatimah Ayau dari Kampung Orang Asli Sungai Ruil berkata, beliau belum membuat keputusan sama ada mahu menyokong Ramli atau Manogaran.

"Kalau kami sokong Ramli, kami tidak dapat apa-apa sebab BN bukan kerajaan pusat. Tapi kalau kami sokong PH, Ramli itu dari suku kaum kami. jadi apa-apa masalah kami dia boleh bawa terus ke Parlimen," katanya.

PRK Cameron Highlands pada 26 Jan ini menyaksikan pertandingan 4 penjuru melibatkan calon PH, M Manogaran; calon BN,Ramli Mohd Nor dan 2 calon Bebas, Sallehuddin Ab Talib dan Wong Seng Wee.

Ramli merupakan calon anak tempatan dari suku Semai, sementara Manogaran berasal dari Teluk Intan, Perak. Difahamkan 2 calon Bebas yang bertanding juga merupakan anak tempatan, tetapi kurang dikenali.

Sebanyak 32,009 pengundi berdaftar, termasuk 247 pemilih awal dan 12 pengundi tidak hadir layak mengundi. Terdapat 385 pengundi kurang upaya.

Daripada jumlah itu, 22% pengundi merupakan Orang Asli.

Parlimen Cameron Highlands mempunyai 2 DUN di bawahnya, iaitu Tanah Rata yang merupakan kubu DAP sejak 2013 dan DUN Jelai yang kekal sebagai kubu BN dan diwakili oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.


https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2019/01/14/prk-cameron-highlands-orang-asli-di-kubu-kuat-dap-tidak-yakin-dengan-ph/



SUMBER : 1media.my


Tags

Travel New York London IKEA NORWAY DIY Ideas Baby Family News Clothing Shopping Sports Games

Popular Posts


Related Posts