EdisiViral.Com Video Search Login
Loading...

#Butterworth Wanita ditahan bersama lima lelaki dalam parti liar

0 month ago, 10-Jun-2021

 



Enam individu termasuk seorang wanita berusia 21 tahun yang sedang leka berhibur dalam parti liar di sebuah kondominium di Butterworth di sini terkejut dengan kehadiran polis yang melakukan serbuan awal pagi semalam.

Pada operasi kira-kira pukul 2.30 pagi itu, individu berusia di antara 21 hingga 38 tahun itu juga dipercayai sedang khayal dadah.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, kesemua mereka ditahan selepas didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan berkumpul bertujuan berhibur.

Polis merampas sebuah pembesar suara dan alat paparan laser yang digunakan bagi parti liar itu.

Hasil ujian saringan air kencing mendapati tiga lelaki positif dadah jenis syabu, manakala seorang lelaki dan wanita positif ketamin, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kesemua individu terbabit dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah SPU di Kepala Batas di sini bagi siasatan lanjut.

Dalam perkembangan berbeza, Noorzainy berkata, pihaknya telah mengeluarkan kompaun kepada 191 individu atas pelbagai kesalahan melanggar SOP membabitkan nilai RM725,500 sepanjang tempoh PKP penuh sejak 1 Jun lalu sehingga semalam.

Rentas daerah dan negeri merupakan kesalahan paling tinggi iaitu kompaun berjumlah RM330,000 yang dikeluarkan kepada 67 individu.

Kita berharap orang ramai untuk terus mematuhi SOP dan berada di rumah sepanjang pelaksanaan PKP penuh ini serta memaklumkan kepada polis sekiranya melihat sebarang aktiviti pelanggaran SOP, katanya lagi. K! ONLINE




SUMBER : penangkini.com



Live Website Traffic


loading...