EdisiViral.Com Video Search Login
Loading...

Bursa Malaysia terus meningkat

0 month ago, 09-Jun-2021

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia meneruskan momentum menaik semasa pembukaan dagangan pada Rabu, sekali gus mengekalkan kenaikan yang dialami pada Selasa.

Ia didorong minat belian yang dicatatkan kaunter saham berwajaran tinggi terpilih seperti produk perindustrian, perkhidmatan dan penjagaan kesihatan.

Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) yang menjadi penanda aras meningkat 1.78 mata kepada 1,589.74 daripada penutupan Selasa pada 1,587.96.

Indeks itu dibuka 1.55 mata lebih baik kepada 1,589.51.

Lingkungan pasaran adalah positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 215 berbanding 150, manakala 291 kaunter tidak berubah, 1,492 kaunter tidak diniagakan dan 21 yang lain digantung.

Jumlah dagangan 280.64 juta saham bernilai RM114.77 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd berkata, kenaikan di FBM KLCI didorong oleh pengurangan penularan jangkitan COVID-19, ditambah dengan prestasi kukuh yang dicatatkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) apabila pendapatan pelaburan kasarnya meningkat 58.6 peratus tahun ke tahun kepada RM19.29 bilion pada suku pertama 2021.

Kami berpendapat kenaikan selepas ini sememangnya dijangkakan, berasaskan langkah progresif dalam usaha vaksinasi, di samping pelabur memantau data kadar pengangguran yang menunjukkan peningkatan berurutan sejak Januari 2021.

Sementara itu, harga minyak mentah meningkat kepada AS$72.38 setong, namun harga minyak sawit mentah mengalami penurunan, jelasnya menerusi nota penyelidikan pada Rabu.

Bagi saham berwajaran tinggi, Maybank tidak berubah pada RM8.20, Public Bank turun satu sen kepada RM4.26, PetChem naik 11 sen kepada RM8.17 dan TNB naik dua sen kepada RM9.97.

Dalam kalangan kaunter penjagaan kesihatan, Top Glove meningkat tujuh sen kepada RM4.85, IHH naik dua sen kepada RM5.39, Hartalega menambah empat sen kepada RM8.50 dan Supermax menokok tiga sen kepada RM3.85.

Sementara itu, dagangan sekuriti KL Kepong, IJM Corp dan IJM Plantations ditangguhkan pada pukul 2.30 petang Selasa sementara menunggu pengumuman susulan tawaran yang dibuat KL Kepong untuk mengambil alih IJM Plantations.

Pemegang saham IJM Plantations akan diberi pilihan sama ada tawaran tunai atau pertukaran saham.

Harga saham IJM Plantations mengalami kenaikan sejak 21 Mei selepas mencecah paras serendah RM1.55 pada 5 Okt, 2020, dan kali terakhir ia didagangkan pada RM2.46 sebelum digantung, menjadikan permodalan pasarannya berjumlah RM2.12 bilion.

Antara saham aktif, AHB naik tiga sen kepada 18.5 sen, Serba Dinamik naik 1.5 sen kepada 63.5 sen, dan Tanco tidak berubah pada 15 sen.

Saham paling untung antaranya Dutch Lady yang meningkat 44 sen kepada RM34.48, MPI menambah 40 sen kepada RM38.40, dan See Hup menokok 21 sen kepada RM1.69.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas menambah 16.18 mata kepada 11,598.45; Indeks FBMT 100 naik 12.90 mata kepada 11,284.45 manakala FBM ACE susut 11.41 mata kepada 7,700.99.

Indeks FBM Emas Syariah meningkat 24.91 mata kepada 12,754.62 dan FBM 70 naik 18.32 mata kepada 15,040.04.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 0.86 mata kepada 15,361.56, Indeks Barangan dan Perkhidmatan Perindustrian menokok 0.22 mata kepada 193.89 dan Indeks Perladangan menambah 7.80 mata kepada 6,824.83.

-BERNAMA





Live Website Traffic


loading...