EdisiViral.Com Search Guest Post Login
Loading...

Bursa Malaysia dibuka tinggi dengan saham sarung tangan meningkat semula

0 month ago, 17-Sep-2020

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia dibuka tinggi hari ini sekali gus meneruskan kenaikan bagi hari keempat berturut-turut apabila pembuat sarung tangan utama, termasuk Top Glove, mencatat peningkatan semula manakala Hartalega terus didagangkan dengan lebih kukuh.

Pada 9.05 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 3.16 mata kepada 1,534.44 daripada 1,531.28 ketika ditutup pada Selasa.

Indeks itu dibuka 9.86 mata lebih tinggi pada 1,541.14.

Keseluruhan pasaran adalah positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 343 berbanding 121, sementara 283 kaunter tidak berubah, 1,307 kaunter tidak diniagakan dan 20 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 567.07 juta saham bernilai RM317.6 juta.

Malacca Securities berkata laporan prestasi kewangan Top Glove dijangka dapat memberikan petunjuk baharu untuk kenaikan seterusnya.

Pengilang sarung tangan getah terbesar dunia itu dijadualkan mengumumkan prestasi kewangan tahun kewangan 2020 hari ini.

Kami juga cenderung kepada sektor perladangan dengan harga minyak sawit mentah naik melebihi RM2,900 satu tan, sementara itu sektor pembinaan akan kekal dalam fasa pemulihan, menurutnya dalam nota penyelidikan.

Selain itu, kenaikan ketara harga minyak mentah susulan penyusutan paras inventori Amerika Syarikat yang tidak dijangkakan serta penutupan sementara pengeluaran luar pesisir AS ekoran Taufan Sally mungkin mendorong minat dagangan terhadap sektor tenaga.

Firma pembrokeran itu juga menjangkakan sentimen positif kekal dalam jangka terdekat memandangkan pelabur kembali memburu saham yang mengalami penyusutan harga namun mengingatkan bahawa kenaikan besar mungkin tidak menentu.

Momentum positif terus didorong oleh data ekonomi di seluruh dunia yang lebih kukuh berbanding jangkaan, menurutnya.

Sementara itu, pasaran saham Amerika Syarikat ditutup dengan prestasi bercampur-campur setelah merekodkan paras tertinggi harian, dengan Dow Jones naik 0.1 peratus, sementara S&P 500 dan Nasdaq masing-masing merosot 0.5 peratus dan 1.3 peratus susulan kelemahan yang dicatatkan saham teknologi.

Ini berlaku walaupun pengumuman dasar monetari memihak kepada kadar faedah rendah oleh Rizab Persekutuan (Fed) yang menunjukkan bahawa kadar semalaman dapat dikekalkan hampir kepada sifar selama bertahun-tahun untuk mencapai sasaran inflasi sebanyak 2.0 peratus.

Fed juga telah menyemak turun unjuran pertumbuhan ekonominya pada 2021 dan 2022 masing-masing kepada 4.0 peratus dan 3.0 peratus.

Di pasaran tempatan, saham berwajaran tinggi Hartalega melonjak 82 sen kepada RM14.92, Top Glove naik 22 sen kepada RM8.65, TNB menambah enam sen kepada RM11.06 dan Dialog menokok tiga sen kepada RM3.79.

Kaunter perbankan pula mengalami penurunan, dengan Maybank turun 10 sen kepada RM7.40, Public Bank susut 28 sen kepada RM16.42 dan CIMB kurang satu sen kepada RM3.22.

Saham untung termasuk Kossan, yang meningkat 36 sen kepada RM12.06, Supermax naik 14 sen kepada RM8.51 dan Rubberex menokok 12 sen kepada RM5.46.

Kalangan saham aktif, Ekovest naik lima sen kepada 63 sen, Technodex meningkat tiga sen kepada 19 sen, sementara Bina Puri dan KNM masing-masing menambah satu sen kepada 11 sen dan 22 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas melonjak 38.66 mata kepada 11,017.86 dan Indeks FBM Emas Syariah meningkat 97.89 mata kepada 13,043.28.

FBM 70 menokok 94.90 mata kepada 14,177.79, Indeks FBMT 100 naik 34.83 mata kepada 10,826.67 dan FBM ACE menambah 110.64 mata kepada 11,489.13.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 87.26 mata kepada 12,739.14, Indeks Perladangan meningkat 7.03 mata kepada 7,121.27 serta Indeks Barangan dan Perkhidmatan Industri naik 0.38 mata kepada 137.95.

BERNAMA


Loading...

Loading...

Live Website Traffic


loading...