www.edisiviral.com

Berita dan informasi edisi viral di Malaysia.


Budaya bermasyarakat di kampung beri teladan kepada generasi muda

0 month ago, 11-Nov-2018


Budaya bermasyarakat di kampung beri teladan kepada generasi muda

Peserta program Pewaris Muda Peringkat Kebangsaan 2018 bergambar bersama Syed Saddiq di Kampung Parit Bugis, Muar, 10 Nov, 2018. –fotoBERNAMA

MUAR: Budaya bermasyarakat di kampung yang masih utuh dalam kalangan penduduk Kampung Parit Bugis di sini memperlihatkan teladan baik dan nilai murni kepada generasi muda menerusi program Pewaris Muda Peringkat Kebangsaan 2018.

Peserta program itu, Nur Fadzliani Ibrahim, 27, berkata pengalaman di kampung itu amat bermakna kerana banyak perkara yang dipelajari terutamanya jati diri masyarakat Jawa yang masih menebal dalam kalangan masyarakat kampung itu.

“Program ini mengeratkan silaturahim di samping banyak pengetahuan boleh kita dapati seperti cara untuk bergaul dalam suasana masyarakat yang harmoni, sopan santun dan berbudi bahasa dalam sebuah masyarakat kampung.

“Kebiasaannya orang muda malu untuk bercampur dengan masyarakat tetapi bila tinggal bermasyarakat di kampung ini kami dapat mendekati dan berkenalan satu sama lain,” katanya ketika ditemui Bernama di sini pada Sabtu.

Ibu angkat kepada pewaris muda Faridah Mahmud, 61, (dua, kiri) menyuapkan makanan tradisional masyarakat jawa iaitu nasi ambeng kepada anak angkatnya Mira Haris Hasim,19, (kanan) pada Program penutup Pewaris Muda Peringkat Kebangsaan 2018 Jabatan Penerangan Malaysia di Kampung Parit Bugis pada Sabtu. - Bernama

Terdahulu, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pada Sabtu menutup program anjuran Jabatan Penerangan itu melibatkan seramai 132 peserta dari institusi pengajian tinggi awam seluruh negara yang berkampung selama empat hari bersama 24 keluarga angkat.

S. Kiran, 19, berkata, program Pewaris Muda itu membolehkan ramai peserta yang datang dari kawasan bandar dapat mempelajari pelbagai perkara baharu apabila tinggal di kampung selain melihat keramahan dan keprihatinan masyarakat di situ.

“Bukan selalu kami dapat peluang seumpama ini dan kami berasa seronok dapat melakukan aktiviti bersama-sama sepanjang program berlangsung,” katanya.

Sementara itu, Zam Nur Aishah Zamzuri,19, berkata, ini merupakan kali pertama beliau menyertai program seumpama itu dan mengakui teruja dapat menikmati suasana desa selain merasai makanan tradisi Jawa seperti Nasi Ambeng dan menonton persembahan Barongan.

“Kampung ini sangat menarik, saya gembira sepanjang berada di sini bersama rakan-rakan lain, mereka semuanya peramah dan menerima kehadiran kami dengan baik,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah Penerangan, Datuk Ibrahim Abdul Rahman berkata program yang masuk tahun ke-16 penganjurannya itu dapat membentuk jati diri peserta di samping memberi peluang kepada mereka mendalami ilmu kepimpinan dan memperkasakan budaya rakyat melalui aktiviti khidmat masyarakat.

“Matlamat utama penganjuran program ini ialah untuk menyemai semangat patriotisme, perpaduan dan nilai murni melalui gaya hidup dan memupuk semangat jati serta cintakan negara dalam kalangan peserta di samping membentuk sahsiah pemimpin masa depan yang berkualiti dan berwibawa,” katanya.

Beliau berkata program seumpamanya dapat membentuk rangkaian generasi muda yang dapat membantu dalam penyebaran dasar kerajaan kepada rakyat pelbagai lapisan.

— BERNAMA

Budaya bermasyarakat di kampung beri teladan kepada generasi muda Berita Terkini.



Tags

Travel New York London IKEA NORWAY DIY Ideas Baby Family News Clothing Shopping Sports Games

Popular Posts


Related Posts