EdisiViral.Com Search Guest Post Login

Birthday prank, cikgu! [METROTV]

2 month ago, 13-Jul-2019

KAMI sudah menganggap Puan Nor seperti ibu sendiri, sikapnya yang penyayang, suka ambil berat dan melayan kami seperti anak sendiri membuatkan sambutan hari jadi yang dirancang menjadi kenyataan.

Demikian jawapan Ilhan Danish Zakaria, 17, orang yang bertanggungjawab merancang kejutan buat guru tersayang, Norhafizah Abdul Malek, 52, selepas video prank mereka menjadi tular di media sosial.

Video berdurasi satu minit 34 saat itu memaparkan aksi dua pelajar lelaki bergaduh di dalam kelas sebelum dileraikan seorang guru agak mencemaskan, namun diakhiri dengan nyanyian selamat hari jadi oleh semua pelajarnya.

Ia kemudian tular selepas dikongsi orang ramai yang nyata mengagumi usaha mereka menggembirakan guru berkenaan.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Ampuan Durah, Seremban, Negeri Sembilan itu berkata, mereka merancang prank itu sehari awal hasil bantuan semua rakan kelasnya berjumlah 32 orang.

Video itu dirakam Rabu lalu kira-kira 8 pagi, sebaik saja selesai perhimpunan, dua rakan saya memulakan lakonan mereka dibantu rakan sekelas yang lain.

Puan Nor agak terkejut pada mulanya dan menyangka hanya gurauan berikutan dua rakan saya itu adalah sahabat baik, namun sebaik melihat pergaduhan menjadi serius, Puan Nor agak cemas dan cuba meleraikan mereka.

Pergaduhan berkenaan mengheret Puan Nor ke luar kelas di mana kami sudah menunggu dengan kek yang dibeli hasil perkongsian wang semua rakan sekelas, katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

NORHAFIZAH bersama pelajarnya. FOTO Ihsan Ilhan Danish

Katanya, sepatutnya ulang tahun kelahiran guru Bahasa Inggeris itu pada Isnin ini, namun mereka mengambil keputusan untuk menyambutnya lebih awal berikutan kekangan masa berikutan semua perlu fokus pada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Oktober depan.

Kebetulan Puan Nor ada memberitahu mahu menjamu kami makan-makan pada Rabu, disebabkan kelas kami bersama Puan Nor selama tiga jam, jadi kami mengambil kesempatan itu meraikan terus ulang tahun berkenaan sebagai tanda penghargaan kerana menjadi seorang ibu yang baik di sekolah.

Kami turut sebak apabila Puan Nor menangis terharu dan mengucapkan terima kasih kerana menghargai dan menyambut ulang tahun kelahirannya, apalah sangat sumbangan kami berikan berbanding jasa Puan Nor dalam mendidik kami, katanya.

Katanya, sebagai tanda penghargaan kepada gurunya itu, dia ingin mengucapkan selamat ulang tahun kelahiran yang ke-52 dan semoga hubungan mereka satu kelas dengan Puan Nor berkekalan selamanya.


SUMBER : hmetro.com.my



Live Website Traffic





www.edisiviral.com