EdisiViral.Com Search Guest Post Login
Loading...

Ayuh bersama tamatkan 'perang' ini

0 month ago, 26-Mar-2020

MEREKA inilah wira tak didendang yang kini berjuang dalam peperangan menentang wabak koronavirus baharu (Covid-19).

Setiap kali kematian berlaku, mereka inilah orang pertama yang akan menangis dan kecewa kerana berasakan kalah dengan virus itu.

Permintaan mereka hanya satu, untuk menang dalam misi perang ini.

Bagi barisan hadapan terdiri daripada kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) iaitu doktor, jururawat, pembantu perubatan dan apa saja gelaran, mereka adalah wira tak didendang buat rakyat Malaysia.

Tanpa mereka, pastinya negara ini sudah tewas dalam menentang perang alaf baru ini.

Beberapa jururawat dan doktor yang ditemu bual berharap wabak ini pergi segera supaya semua orang dapat menjalani kehidupan normal seperti hari sebelumnya.

Bagi jururawat di sebuah hospital di Terengganu ini, setiap kali bertugas timbul ketakutan dalam diri kerana bimbang virus itu menjangkiti dirinya walaupun sudah mengambil semua langkah pencegahan.

Sebagai manusia biasa, kita tidak boleh lari daripada ketakutan dijangkiti namun apa pilihan yang saya ada kerana ini adalah tuntutan kerja dan tanggungjawab.

Setiap kali berdepan pesakit Covid-19, kami begitu berhati-hati namun reda sekiranya dijangkiti.

Kami tiada pilihan lain, alangkah bagusnya sesetengah orang diberi cuti dua minggu ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan dan risiko untuk terdedah dengan virus itu mungkin sifar, katanya yang berusia 30-an.

Akuinya, walaupun penat kerana ada antara mereka yang bertugas lebih 14 jam sehari namun puas kerana dapat berkhidmat untuk masyarakat.

Sebelum pulang ke rumah, kami diarahkan untuk mandi dan menukar pakaian terlebih dulu sebagai langkah pencegahan.

Kami juga tidak dibenarkan keluar daripada wad bertugas, semua makanan dan keperluan ubat-ubatan juga dihantar ke wad kami, katanya yang sudah berkhidmat lebih tujuh tahun.

ADA jururawat terpaksa bertugas lebih 14 jam sehari.
ADA jururawat terpaksa bertugas lebih 14 jam sehari.

Seorang lagi jururawat berkongsi pengalaman yang sama dan merasakan kadang-kadang nyawa berada di hujung tanduk kerana bila-bila masa saja dia boleh dijangkiti virus itu selepas menguruskan pesakit yang positif.

Dia yang berusia awal 40-an bertugas di sebuah hospital di Lembah Klang berkata, pengorbanan terpaksa meninggalkan anak untuk dijaga ahli keluarga lain selepas taska ditutup begitu meruntun jiwa.

Mujur tiga anak saya faham tugas ibunya, walaupun kadang-kadang saya tidak dapat pulang ke rumah tepat pada masanya namun mereka faham.

Selepas negara digemparkan dengan Covid-19 ini, rasanya sudah lama saya tidak memeluk mesra anak kerana bimbang mereka akan dijangkiti.

Malah, saya akan mandi tiga kali selepas pulang daripada kerja kerana kadang-kadang timbul perasaan curiga bimbang virus itu masih melekat, katanya.

Seorang petugas kesihatan dalam status Facebooknya, Nadiya Ali berharap semua rakyat Malaysia dapat bersatu memberi kerjasama kepada kerajaan.

Kami yang jaga corona (koronavirus) ini sangat penat. Tak sempat solat (terpaksa solat jamak) dan makan. Balik lambat satu hingga dua jam itu semestinya sebab ada banyak benda untuk diselesaikan.

Balik rasa risau bila dapat pesakit positif. Air mata mengalir tidak tentu masa, tidak fikir pun pasal corona, tiba-tiba automatik keluar air mata, tidak tahu kenapa, katanya.


SUMBER : hmetro.com.my

Loading...

Loading...

Live Website Traffic


loading...