EdisiViral.Com Search Guest Post Login

Beraninya monyet

0 month ago, 09-Oct-2019

BAPA bertindak melarikan diri sambil memeluk anak lelakinya yang berlumuran darah selepas dua beranak itu diserang monyet liar di Taman Bukit Emas, Sungai Petai, Alor Gajah, Ahad lalu.

Dalam kejadian 8 pagi itu, Mohd Zaki Abu Bakar, 35, dan anaknya, Muhammad Noah, 2, terpaksa meminta pertolongan jiran sebaik motosikal ditunggang terbabas ketika cuba menyelamatkan diri dikejar haiwan terbabit.

Dua beranak itu keluar rumah bersiar-siar sambil menunggang motosikal sebelum seekor daripada monyet dipercayai jantan meluru ke arah mereka.

Akibat ketakutan selain bimbang anaknya diserang, Mohd Zaki cuba memecut tetapi malangnya, motosikal ditunggang gagal dikawal dan hampir merempuh tiang elektrik lalu terbabas.

Berikutan itu, anaknya cedera muka akibat tersembam di jalan raya manakala Mohd Zaki tidak cedera.

Menceritakan kejadian itu, Mohd Zaki berkata, sebaik motosikalnya terbabas monyet itu terus meluru ke arah mereka berdua.

Saya segera memeluk anak dan melarikan diri ke rumah jiran untuk menyelamatkan diri.

Jiran kemudian membawa saya masuk ke dalam dan menutup pagar.

Ketika itu, saya panik melihat muka anak berlumuran darah lalu membawanya ke Hospital Alor Gajah untuk rawatan, katanya ketika dihubungi hari ini.

Monyet berkeliaran di sekitar Taman Bukit Emas. FOTO Ihsan Mohd Zaki Abu Bakar

Katanya, itu kejadian pertama penduduk taman diserang monyet liar walaupun haiwan itu sentiasa dilihat berkeliaran sekitar taman perumahan terbabit.

Sebelum ini, Mohd Zaki berkata, monyet itu bermain di kebun terbiar tidak jauh dari taman berkenaan dan kebelakangan ini, haiwan ini semakin menghampiri rumah penduduk.

Setiap hari, kami boleh melihat haiwan ini berkeliaran termasuk bermain atas bumbung rumah penduduk, katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Melaka, Mohd Hasdi Husin berkata, pihaknya sudah membuat tinjauan di lokasi sebaik menerima laporan penduduk.

Kami sudah memasang perangkap kira-kira satu kilometer dari rumah penduduk.

Setakat ini, 14 ekor monyet sudah memasuki perangkap dan pemantauan dilakukan dari semasa ke semasa, katanya.


SUMBER : hmetro.com.my



Live Website Traffic


loading...