EdisiViral.Com Video Search Login
Loading...

Bekas bintang bola sepak meninggal ketika beraksi di padang

0 month ago, 22-Nov-2020

RICKY Yacob cuba diberikan pertolongan cemas oleh rakan sepasukan di Padang ABC, Senayan, Jakarta.

Oleh Abdul Hafiz Ahmad

BEKAS penyerang handalan bola sepak Indonesia, Allahyarham Ricky Yacob atau Yacobi, meninggal dunia akibat serangan jantung selepas pengsan ketika beraksi dalam perlawanan persahabatan di Padang ABC, Senayan, Jakarta, semalam.

Pemenang pingat emas Sukan SEA Jakarta 1987 dilaporkan tiba-tiba rebah dan tidak sedarkan diri ketika mahu meraikan jaringannya buat Pilihan Trofeo Medan.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhirnya pada usia 57 tahun selepas dikejarkan ke Hospital Mintoharjo yang berdekatan Padang ABC, Senayan itu, lapor Media Indonesia.

RICKY (dua dari kanan) dan penyerang Malaysia, Dollah Salleh (kanan) pada penyampaian pingat Sukan SEA Jakarta 1987.

Balunya, Harly Ramayani dikatakan berlatih renang di kawasan berdekatan padang tersebut ketika kejadian.

Dilahirkan di Medan, Sumatera pada 12 Mac 1963, dia juga digelar Paul Breitner Indonesia kerana kehebatannya yang mirip bekas tonggak Jerman juara Piala Dunia 1974 itu.

Kariernya sebagai pemain meliputi kelab PSMS Medan hingga Arseto Solo manakala pasukan kebangsaan Indonesia dari 1985 hingga 1990 selain pernah merantau ke Jepun dengan menyarung jersi Matsushita FC (kini Gamba Osaka dalam Liga J).

Menurut sebuah media atas talian Indonesia, dia menambah huruf i pada nama bapanya, Yacob menjadi Yacobi sejak di Jepun kerana rakyat di sana sukar menyebutnya dengan huruf konsonan akhir.

Dia membantu Sang Garuda menjuarai Sukan SEA 1987 selepas menewaskan Malaysia 1-0 yang dibimbing Abdul Rahman Ibrahim dalam perlawanan akhir di depan lebih 90,000 hadirin Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta.

Antara tonggak Malaysia pada final 20 September 1987 yang berlanjutan ke masa tambahan itu ialah Dollah Salleh, Salim Mahmud Muhaidin, Hashim Mustapha, Radhi Mat Din, Nasir Yusuf dan Khalid Shahdan serta Ahmad Yusoff.

-BebasNews

Please follow and like us:



SUMBER : bebasnews.my



Live Website Traffic


loading...