EdisiViral.Com Video Search Login
Loading...

Bayaran Fasa 2 BKC bermula esok

0 month ago, 24-Nov-2021

Ini pula berita baik untuk penerima Bantuan Khas Covid-19 (BKC).

Pembayaran Fasa 2 BKC akan dibuat mulai esok, Khamis dengan peruntukan RM300 juta.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataan hari ini berkata, bayaran kedua itu membabitkan 700,000 penerima isi rumah, individu bujang dan warga emas yang tergolong dalam kategori miskin.

“Seperti semua sedia maklum, pembayaran Fasa 1 BKC telah selesai dibuat pada September lalu dengan peruntukan sebanyak RM3.1 bilion dan memanfaatkan hampir 10 juta penerima.

“Pembayaran seterusnya iaitu Fasa 3 BKC akan dilaksanakan mengikut jadual yang ditetapkan pada Disember melibatkan peruntukan sebanyak RM1.2 bilion untuk 3.8 juta penerima isi rumah kategori miskin dan B40,” katanya.

Bagi penerima isi rumah, warga emas dan individu bujang bayaran akan terus dikreditkan ke dalam akaun mereka.

Manakala penerima yang tidak mempunyai akaun bank termasuk di Sabah dan Sarawak, pembayaran melalui cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN).

Semakan status kelulusan BKC boleh dibuat melalui Portal BKChttps://bkc.hasil.gov.my.

Ismail Sabri menegaskan kerajaan sentiasa peka terhadap keluh-kesah rakyat dan berharap pembayaran BKC itu mampu meringankan beban rakyat yang masih terkesan akibat pandemik Covid-19.

“Bagi memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia, kerajaan juga akan terus komited memastikan bantuan yang disediakan dapat disalurkan secara berkesan,” katanya.

BKC adalah sebahagian daripada inisiatif Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih), selain bayaran tambahan kepada pakej rangsangan ekonomi.

Pada 28 Jun lalu, kerajaan mengumumkan pakej Pemulih sebagai antara inisiatif pemberian bantuan menyeluruh kepada rakyat dalam mengharungi kesan akibat pandemik Covid-19.

Di bawah BKC, kategori miskin tegar, isi rumah akan menerima RM1,300; warga emas sebatang kara (RM500) dan bujang (RM500).

Bagi kategori B40, isi rumah akan menerima RM800, warga emas sebatang kara (RM200) dan bujang (RM200).

Manakala kategori M40, isi rumah layak menerima RM250, warga emas sebatang kara (RM100) dan bujang (RM100).

–THE MALAYA POST

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

 

Bayaran Fasa 2 BKC bermula esok The Malaya Post.



SUMBER : themalayapost.my



Live Website Traffic


loading...