EdisiViral.Com Search Guest Post Login
Loading...

#BayanLepas Kanak-kanak perempuan hangus terbakar

0 month ago, 09-Jan-2020

Seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun rentung dalam sebuah bilik di tingkat atas selepas rumah teres dua tingkat didiami mangsa bersama keluarganya di Taman Lip Sin, Bayan Lepas, dekat sini, musnah dalam kebakaran, hari ini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong, berkata mayat kanak-kanak itu, Koey Siew Kim, ditemui rentung dalam keadaan terbaring berhampiran tingkap bilik itu, dipercayai cuba menyelamatkan diri dalam kejadian kira-kira jam 4.15 petang tadi.

Pihak bomba ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan dan sebaik tiba di lokasi, rumah teres dua tingkat itu sedang terbakar dengan api marak. Kami dimaklumkan terdapat seorang kanak-kanak perempuan ada di tingkat atas.

Bomba berusaha menyelamatkannya, namun api marak dan selepas usaha memadam api berjaya, mangsa ditemui rentung dalam keadaan terbaring, katanya.


Soffian berkata, berdasarkan siasatan awal, rumah itu didiami mangsa bersama ibu bapa, adik lelaki dan neneknya, malah ketika kejadian hanya mangsa berada di tingkat atas rumah itu.

Beliau berkata, adik lelaki mangsa berusia lima tahun dan ibu saudara berusia 40-an serta neneknya berusia 71 tahun berada di tingkat bawah rumah, berjaya menyelamatkan diri sebaik menyedari kebakaran di tingkat atas rumah mereka.

Mereka cuba menyelamat kanak-kanak perempuan itu, namun api sangat marak. Ketika kejadian, ibu bapa mangsa tiada di rumah kerana pergi ke pasar raya berhampiran untuk membeli barang keperluan, katanya.

Beliau berkata, siasatan awal bomba mendapati api marak di tingkat atas rumah, namun punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Katanya, mayat kanak-kanak itu dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak, Shamsol Alam Man, berkata pihaknya menerima panggilan kejadian pada jam 4.21 petang dan terus bergegas ke lokasi dengan dua jentera dari Balai Bomba Jalan Perak dan Balai Bomba Bayan Baru.

Ketika bomba tiba di lokasi, api sudah marak dan kami berjaya mengawal kebakaran pada jam 4.47 petang sebelum api berjaya dipadam sepenuhnya sejam kemudian.

Kami dimaklumkan ada kanak-kanak terperangkap di tingkat dua rumah itu sebelum mayatnya ditemui selepas api dipadamkan sepenuhnya katanya. BERNAMA

SUMBER : penangkini.com

Loading...

Loading...

Live Website Traffic


loading...