EdisiViral.Com Search Guest Post Login

Peta Luka Umat Basilan

0 month ago, 27-Nov-2019

Oleh: Dr Riduan Mohamad Nor.

Hidup ini seperti pentas opera dengan para pelakon rencam watak dan tampang, kadang seperti warna pelangi yang membias warna indah yang seru. Ada manusia yang kamus kehidupannya sangat sederhana dan secukup hidup, namun keperitan hidup disembunyikan dengan wajah ceria dan tawa. Ada segelintir insan, punya segalanya namun berpenyakit tangkai jering dan tak pernah peduli nasib manusia lain yang tak beruntung. Sebaik manusia ialah manusia yang memberikan manafaat kepada insan lain seperti yang diungkapkan oleh ar Rasul SAW yang mulia.

Antara peta luka ummat Islam yang agak hampir dengan tanah leluhur kita ialah Mindanao, dengan sejarah panjang Kesultanan Islam Sulu sehingga menjangkau bumi Borneo. Dizaman moden ini, Mindanao menjadi sebahagian negara Filipina yang juga dijajah oleh Sepanyol, Amerika Syarikat dan Jepun. Ditanah Sulu ini bangkit gerakan perlawanan yang digalang oleh MILF, selama puluhan tahun menuntut hak untuk berkerajaan sendiri.

Paralel dengan bumi konflik yang menyaksikan pertumpahan darah dan sejarah sengketa yang panjang maka menyudutkan Mindanao menjadi ketinggalan dan keterpurukan . Aku mendengar nama Mindanao semenjak zaman sekolah menengah kerana beritanya sering menghiasi ruang berita akhbar, maka kesempatan untuk menginjak tanah luka ini menjadi satu pengalaman yang sangat berharga. Misi Muslim Care Malaysia telah melebihi empat kali ke Basilan termasuk misi korban dan akikah dan antara projek pendidikan untuk penduduk di Basilan ialah membina asrama tahfiz Darul Ansar.

Rombongan seramai 24 orang diketuai oleh Safuan Ujar turut disertai wakil Badan NGO Kebajikan Brunei. Turut membawa dan disertai tim medis Muslim Care Malaysia dengan ubat-ubatan, seribu helai telekong solat, tudung,makanan untuk agihan kepada asnaf. Perjalanan panjang daripada KLIA2 ke Manila, seterusnya ke Zamboanga telah disambut oleh wakil MILF dilapangan terbang Zamboanga.

Melalui tapisan keselamatan yang sangat ketat termasuk setiap anggota misi menurunkan cop tandatangan sepuluh jari sebelum berlepas dengan feri ke Pulau Basilan yang terletak paling hujung di Mindanao. Feri tiga tingkat yang padat itu mengambil masa lebih sejam untuk tiba di jeti Lamitan City. Kami disambut oleh tentera Filipina dengan jumlah yang ramai dan sekali lagi mengisi borang dokumentasi diri yang menyita masa kami.

Lebih lima jam berada di pengkalan Lamitan, akhirnya pihak tentera menerima arahan untuk menghantar kami pulang ke Zamboanga dengan alasan keselamatan walhal pihak MILF telah memberi jaminan keselamatan untuk kami di Basilan. Malam yang gelita dengan perut yang lapar, kami diangkut dengan trak tiga tan dan van berdesut membelah aspal berdebu ke pengkalan jeti tentera yang mengambil masa sejam lebih. Adrenalin bergetar laju, menampar sukma yang paling dalam apabila melalui daerah gelap yang sering menjadi tajuk berita akhbar. Pertempuran tentera Filipina dengan gerakan Abu Sayyaf, Daiesh sering terjadi di Pulau Basilan. Dalam pekat malam berselimut debu, doa dipanjatkan agar semuanya selamat walaupun semua jadual yang dirancang terbabas akibat halangan birokrasi pihak tentera.

Dua buah bot tentera dalam kegelapan malam mengapungkan kami dengan pantas kembali ke Zamboanga. Langit malam menyamarkan bintang, deburan dan gelombang ombak agak liar tak bersahabat dan mencemaskan ,apatah lagi tanpa jaket keselamatan. Tiba di Zamboanga, pihak tentera mengawasi kami sehingga ke tempat penginapan. Bandar kumuh Zamboanga tak selamat sepenuhnya, bulan lepas seorang warga Britain diculik oleh puak Abu Sayyaf. Tak terbayang pula nilai perkepala anggota misi Muslim Care Malaysia yang kebanyakannya doktor perubatan.

Akur dengan larangan walaupun kami terus berbincang untuk menabur bakti di Basilan, tim kami akhirnya berkhidmat di Kampong Malandih Patalon Zamboanga. Sebahagian besar barang sumbangan yang kami bawa daripada Malaysia seperti cermin mata bernilai 20k , telekong solat bernilai 30k telah diserahkan kepada penduduk Basilan melalui wakil penduduk manakala alatan perubatan dibawa oleh MILF ke Zamboanga semula. Ratusan penduduk dengan guratan penuh keceriaan menyambut kami, masjid utama kampong menjadi pusat khidmat. Kaunter perubatan dan pergigian diserbu oleh lebih 200 penduduk kampong, mereka mengambil peluang daripada khidmat kesihatan yang diadakan. Rata-rata mereka rakyat jembel berpendapatan rendah, terutama nelayan pantai yang kehidupan sangat dhaif.

Agihan keperluan dapur seperti beras, gula, pakaian ibadah seperti telekong solat begitu meriah. Kecil bagi kita namun besar bagi mereka yang hidup di wilayah konflik ini. Muslim Care juga menyumbangkan sejumlah wang yang besar untuk membaiki bumbung masjid tersebut dan kejayaan yang besar dalam misi ini ialah mampu menyiapkan asrama tahfiz Darul Ansar di Pulau Basilan dibawah kerajaan autonomi MILF. Tiada yang dapat mengundurkan langkah kita berbakti jika azam dipasak setegar karang dilautan. Terimakasih rakyat Malaysia yang sentiasa menyokong misi bantuan yang kami galang keseluruh peta ummat Islam.

(Penulis ialah anggota misi bantuan tanpa sempadan Muslim Care Malaysia, Pengerusi LESTARI)




Live Website Traffic


loading...