EdisiViral.Com Search Guest Post Login

Bangkit susun langkah - Bella Astillah

1 month ago, 11-Jul-2019

BERCERAI bukan bermakna dunia sudah berakhir buat pelakon dan penyanyi, Bella Astillah. Enggan diri terus diulit rasa hiba, Bella bangkit menyusun semula langkahnya.

Kehidupannya kini hanyalah berkisar anak, ibu bapa dan karier seni yang kembali bersinar. Bekas isteri kepada penyanyi dan pelakon, Aliff Aziz ini berkongsi rutin hidupnya sebagai ibu tunggal.

Saya dan Aliff masih berkawan dan mengikuti perkembangan diri masing-masing di Instagram. Sebelum ini memang ada rasa marah dalam hati saya selepas apa yang berlaku.

Namun, semakin hari kita semua sebagai manusia akan bertambah matang dan menjadikan setiap apa yang berlaku itu sebagai pengajaran dalam hidup, katanya.

Menurut Bella, walaupun tidak lagi tinggal sebumbung, dia masih menghubungi Aliff.

Saya masih menghubungi dia lebih-lebih lagi apabila anak kami, Mohamad Ayden Adrean bertanya mengenainya. Jadi, saya akan hubungi dia menerusi panggilan video dan beri ruang untuk dia berbual dengan Ayden.

Bagi saya, sekurang-kurangnya apabila menghubungi dia, mudah untuk saya sekiranya apa-apa berlaku kepada Ayden. Jadi, tidaklah saya perlu susah susah nak cari dia, katanya.

Bella yang tidak pernah menyimpan dendam terhadap bekas suaminya itu meminta netizen supaya berhenti mengecam Aliff.

BELLA di set pengambaran.

Saya mohon semua orang mendoakan dia. Kalau kalian mengecam setiap tindakannya, dia akan jadi tertekan dan tak mustahil boleh menyebabkan kemurungan.

Kalau murung, kita tak tahu apa yang boleh dia lakukan dan jika berlaku perkara buruk kepadanya takkan kalian nak bertepuk tangan?, katanya.

Ditanya sama ada dia rasa serik kembali mendekati lelaki sebagai dijadikan teman hidup, Bella mengakui belum terfikir untuk membuka pintu hatinya.

Nak kata serik, tak juga. Semua orang ada melalui fasa sebegini dalam perkahwinan dan buat masa sekarang, saya rasa semuanya baru saja berlaku. Belum terfikir untuk mencari pengganti.

Saya dedikasikan hidup saya untuk keluarga. Dengan adanya Ayden dan ibu bapa saya, itu sudah cukup membahagiakan, katanya.

KARIER MUZIK KIAN BERKEMBANG

Sedar tak sedar, dalam tempoh beberapa bulan Bella sudah ada dua single iaitu lagu raya berjudul Jom Raya bersama Datuk Aliff Syukri dan Zizi Kirana.

Kini, dia hadir dengan single pop berjudul Starlela, sekali lagi secara trio bersama Zizi Kirana dan Ifa Raziah. Menurut Bella, cintanya terhadap dunia muzik tak pernah pudar.

Saya pindah ke Kuala Lumpur pun untuk mengembangkan karier muzik. Ketika itu saya masih kanak-kanak dan bergandingan dengan adik, Didi Astillah.

Kemudian, saya menyambung pengajian dan kerjaya seni terhenti seketika. Apabila sudah berkeluarga, fokus saya kepada keluarga pula.

Alhamdulillah, sekarang saya dapat kembali aktif menyanyi, katanya.

Ditanya sama ada ada pihak tertentu sengaja mengambil kesempatan di atas situasi yang berlaku dalam rumah tangganya bagi melariskan karya muzik, Bella menafikan perkara itu.

Saya tak rasa diri dipergunakan sebaliknya apa yang ada depan mata dilihat secara positif. Saya anggap tawaran ini sebagai rezeki anak.

BERSAMA Nafiz dalam drama Cinta Belum Tamat Tempoh.

Sebelum ini saya berniaga di festival Star Vendor yang diuruskan Kak Ifa Raziah dan apabila dia ajar saya untuk berduet, kenapa perlu tolak?

Lagipun, lokasi Star Vendor seterusnya adalah di Sabah, negeri kelahiran saya. Jadi, saya rasa ia peluang yang baik untuk terbabit mempromosikan lagu, acara dan tempat lahir saya, katanya.

Ditanya mengenai lagu baharu ciptaan Hafiz Hamidun itu, Bella menyifatkan ia sebagai satu cabaran buat dirinya.

Seperti yang semua sedia maklum, saya pernah dimasukkan ke hospital baru-baru ini. Ketika merakamkan lagu ini, saya baru sahaja sembuh daripada sakit tekak yang teruk sehingga kehilangan suara.

Hafiz banyak membantu saya untuk menjayakan sesi rakaman lagu Starlela ini dan harap ia mendapat tempat di hati peminat, katanya.

Terkini, Bella terikat dengan penggambaran drama Cinta Belum Tamat Tempoh di samping pelakon Nafiz Muaz, Hun Haqeem dan Fendy Bakry.


SUMBER : hmetro.com.my



Live Website Traffic





www.edisiviral.com