Bakal ke mahkamah dalam masa terdekat, Diana dan Farid rujuk demi anak-anak
0 month ago, 17-Sep-2023
Pasangan pelakon popular, Farid Kamil dan Diana Danielle akhirnya mengesahkan khabar bahawa mereka bakal rujuk semula selepas sebulan bercerai.
Sah bercerai talak satu pada 10 Ogos lalu, Farid dan Diana membuat keputusan untuk kembali bersama sebagai sebuah keluarga demi anak-anak tercinta.
Untuk menyempurnakan proses rujuk tersebut, Diana memaklumkan bahawa dirinya dan bekas suami bakal ke Mahkamah Syariah dengan secepat mungkin.
Tiada niat untuk berselindung, Diana enggan tergesa-gesa untuk berkongsi khabar gembira tersebut kepada orang ramai kerana ia melibatkan proses mahkamah.
Memetik laporan Utusan Malaysia, perkara itu dimaklumkannya selepas membuat persembahan di Karnival Mega Suria di Padang Timur Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).
Kami rancang ke mahkamah untuk proses rujuk dalam masa terdekat ini. Tetapi tidaklah tergesa-gesa, cuma secepat mungkin.
Kami sebenarnya masih mencari jalan ke fasa yang lebih baik. Jadi ruang itu perlu ada. Setiap perhubungan dan rumah tangga itu perlu ada privasi untuk kami.
Saya bukan mahu berselindung, tetapi takut sebenarnya nak cakap lebih. Kami berdua mahu bina semula apa yang pernah dilalui sebelum ini, katanya.
Farid yang turut hadir di karnival tersebut tampil berpakaian sedondon rona biru bersama Diana dan berjalan berpimpin tangan serta mencium dahi bekas isterinya itu.
Diana memaklumkan bahawa proses turun naik mahkamah selama lima bulan yang dijalani sebelum ini sedikit sebanyak telah mengukuhkan semula hubungan mereka.
Banyak bermuhasabah diri selepas bercerai, Diana mengakui keputusannya untuk kembali ke pangkuan Farid itu dipengaruhi anaknya, Muhammad, 11, dan Nur Aurora, 8.
Proses mahkamah yang dilalui sebelum ini adalah proses untuk mendapatkan perkara lebih baik. Kami berdua tidak henti berdoa untuk mendapatkan jalan terbaik.
“Kami juga tidak tahu sebab ini adalah rahsia Allah. Bukan tak mahu umum dalam masa terdekat, tapi perlu rujuk kepada mahkamah terlebih dahulu.
“Saya membesar tak dapat kasih sayang ayah. Jadi, kalau ada peluang untuk anak-anak dapat kasih sayang ayah, maka itu adalah hadiah terbesar untuk mereka. Ulasnya.
Terdahulu, desas-desus mengenai khabar rujuk itu timbul selepas Diana dan Farid ditangkap berpegangan tangan ketika bersiar-siar di Mont Kiara, Kuala Lumpur pada hujung minggu lalu.
Untuk rekod, Farid dan Diana mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 sebelum sah bercerai talak satu pada 10 Ogos lalu.
Baca juga: Tawar servis teman lelaki upahan, pelajar IPT raih pendapatan RM30,000 sebulan