EdisiViral.Com Search Guest Post Login
Loading...

Bajet 2020 : Ucapan Penuh Belanjawan 2020 'Membina Generasi Terengganu Sejahtera'

0 month ago, 01-Dec-2019



UCAPAN BELANJAWAN 2020

Oleh:YANG AMAT BERHORMAT
DATO' SERI DR. AHMAD SAMSURI BIN MOKHTAR MENTERI BESAR TERENGGANU

MUQADDIMAH

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

PENDAHULUAN

Dato' Yang Dipertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian,

1. Marilah kita merafakkan setinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT atas nikmat dan inayah yang telah dicurahkan kepada kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan mulia, Nabi Muhammad SAW. Seterusnya kepada para sahabat baginda, para tabi'in dan mereka yang telah berjuang untuk menegakkan Islam sehingga kita mengecapi kemanisannya pada hari ini.

2. Marilah kita menitipkan doa setulus keikhlasan kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah, Sultan dan Yang Di-Pertuan bagi Negeri Terengganu Darul Iman serta segala jajahan takluknya, dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Nur Zahirah, Sultanah Terengganu. Semoga Allah meluaskan kerahmatan, keberkatan dan petunjuk untuk terus menaungi Negeri Terengganu Darul Iman yang dikasihi ini.

3. Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada Ahli-ahli Yang Berhormat, para pegawai dan kakitangan kerajaan serta para tetamu yang berada di dalam Dewan Undangan Negeri yang mulia ini. Tidak dilupakan juga kepada seluruh rakyat yang turut menyaksikan secara langsung di atas talian untuk bersama-sama mengikuti pembentangan Belanjawan Negeri Terengganu Tahun 2020.

4. Sebagai pembuka bicara, marilah kita sama-sama menghayati tugas kita di bumi yang indah ini sebagai mana firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah ayat ke-30.

"Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi." Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): "Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji-Mu dan mensucikan-Mu?". Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya."Dato' Yang Dipertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian,
Menanam anggur di Daerah Marang,
Pemandangan indah udaranya nyaman,
Minta sabar dan minta bertenang,
Belanjawan 2020 saya bentangkan.

5. Sesungguhnya Negeri Terengganu Darul Iman ini telah dikurniakan oleh Allah SWT dengan pelbagai khazanah alam di daratan dan di lautan. Segenap pemberian yang dianugerahkan ini mesti digembleng selari dengan kehendak-Nya supaya seluruh manusia dan makhluk yang lain merasai kemakmurannya. Justeru, KERAJAAN dan RAKYAT mestilah menggalas tanggungjawab bersama.

6. MASA HADAPAN Negeri Terengganu yang mahu kita lakarkan di atas kanvas kehidupan adalah indah sekali. Rakyat yang menjiwai hidup bertuhan, menghayati amalan keagamaan. Rakyat yang merasa aman, bebas daripada kesengsaraan. Rakyat yang mengikat tali persaudaraan, benci kepada perpecahan. Rakyat yang mencintai ilmu dan pendidikan, menghindari kejahilan. Rakyat yang bersyukur dengan kecukupan, menjauhi kekufuran. Rakyat yang sihat tubuh badan, menghijaukan persekitaran.

7. Saya sentiasa berdoa kepada Allah SWT agar memberi taufik dan hidayah kepada kita semua, seluruh rakyat Negeri Terengganu untuk menjayakan peta perancangan ini. Insya-Allah.

Dato' Yang Dipertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian,

8. Saya mohon untuk membentangkan di dewan ini Enakmen Perbekalan Tahun 2020 bagi menggunakan sejumlah wang dari Kumpulan Wang Disatukan untuk membiayai Perbelanjaan Bekalan, Perkhidmatan dan Pembangunan Negeri pada tahun 2020. Pembentangan lengkap dan perincian peruntukan Belanjawan 2020 ini terkandung dalam Buku Belanjawan Terengganu Tahun 2020

9. Kerajaan Negeri akan meneruskan inisiatif sedia ada yang telah dan sedang dilaksanakan, dengan melakukan perubahan untuk disesuaikan dengan kekangan kewangan negeri yang memuncak pada tahun 2020. Manakala pembentangan pada hari ini memfokuskan kepada sebahagian perkara-perkara baharu dan tertentu yang ingin dilaksanakan pada tahun 2020.

10. Belanjawan Negeri Terengganu 2020 dirangka berasaskan kepada perancangan negeri dan kepentingan rakyat, di mana Kerajaan Negeri telah mengambil inisiatif menganjurkan bengkel Cadangan Belanjawan Rakyat Terengganu (CBRT) di setiap daerah dan melancarkan laman sesawang e-CBRT. Ini merupakan saluran penting bagi mengumpul cadangan daripada semua pemegang taruh (stakeholders) yang berkaitan.

11. Susulan itu, sebanyak 1,367 cadangan telah diperhalusi dalam Retreat Belanjawan 2020 Negeri Terengganu bersama dengan agensi-agensi kerajaan dan diterjemahkan mengikut keutamaan dalam belanjawan kali ini. Hasilnya, 132 cadangan telah dipilih untuk dilaksanakan dalam Belanjawan 2020 Negeri Terengganu.

PRESTASI DAN PROSPEK EKONOMI

Dato' Yang Dipertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian,

12. Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global berada pada tahap yang sederhana sekitar 3.2% pada Suku Kedua tahun 2019. Ia dipengaruhi oleh kelembapan ekonomi beberapa buah negara maju seperti Amerika Syarikat (2.3%), Jepun (1.2%), Kesatuan Eropah (1.1%) dan United Kingdom (1.2%). Perang perdagangan Amerika Syarikat yang menghadapi krisis bersama Iran dan China, ketidaktentuan gerakan Brexit yang masih berterusan dan krisis hutang Argentina dengan International Monetary Fund menyebabkan ekonomi global akan berhadapan dengan 'serious risk recession' yang pertama sejak 10 tahun yang lalu.

13. Namun, indikator ekonomi negara menunjukkan Malaysia masih berdaya tahan dan dijangka mencatatkan pertumbuhan sederhana sekitar 4.7% pada tahun 2019. Penggunaan swasta kekal menjadi pemacu utama pertumbuhan. Sementara itu, pertumbuhan ekonomi Terengganu juga berada pada kadar yang perlahan iaitu 2.5% pada tahun 2018. Walau bagaimanapun, KDNK per kapita bagi Negeri Terengganu telah meningkat daripada RM29,855 pada tahun 2018 kepada RM30,216 pada tahun 2019.

14. Kerajaan Negeri memikul bebanan kewangan yang agak besar setelah Jemaah Menteri membuat keputusan drastik dengan memotong 25% amaun Bayaran Tunai Petroleum (BTP) mulai tahun 2019 sebagai pembayaran semula hutang Kerajaan Negeri kepada Kerajaan Persekutuan. Walaupun tindakan secara paksa ini telah menyusutkan hutang Kerajaan Negeri Terengganu pada nilai RM425 juta, tetapi ianya telah memberikan tekanan terhadap kedudukan kewangan negeri. Tambahan pula, kaedah pembayaran paksa ini akan melibatkan baki hutang yang belum cukup tempoh matang pembayarannya oleh Kerajaan Negeri. Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri juga mempunyai komitmen wajib bagi pembayaran tertangguh dan berjadual berjumlah RM403.48 juta sepanjang tahun 2020. Insya-Allah, kesukaran yang akan kita semua hadapi tahun 2020 ini akan berkurang pada tahun 2021 nanti setelah semua bayaran hutang Kerajaan Negeri kepada Kerajaan Persekutuan sepenuhnya selesai pada tahun 2020 ini.

15. Komitmen wajib ini melibatkan dua (2) projek keutamaan daripada pembayaran tertangguh (deferred payment)iaitu Kerja-Kerja Membaik Pulih dan Menaik Taraf Loji Rawatan Air di Bukit Sah, Kemaman dan Skim Bekalan Air Kuala Terengganu Utara. Manakala, empat (4) projek keutamaan daripada pembayaran berjadual (scheduled payment) adalah Pembangunan Pusat Pentadbiran Daerah Kuala Nerus, Pembangunan Muara Sungai Terengganu, Asrama Atlet Majlis Sukan Negeri Terengganu dan Pembangunan Bandar Baru Kijal Fasa 2.

16. Ironinya, Kerajaan Persekutuan juga masih berhutang dengan Kerajaan Negeri sebanyak RM1.431 bilion sebagaimana yang dinyatakan di dalam surat Kementerian Kewangan pada Mac 2018 untuk pembinaan Lebuh Raya Pantai Timur 2. Kita berharap pembayaran hutang tersebut juga dapat dilangsaikan oleh Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Negeri dengan kadar yang segera.

17. Belanjawan Persekutuan 2020 yang diumumkan pada 11 Oktober 2019 di Dewan Rakyat lalu tidak memperuntukkan projek mega sebagai 'catalyst' untuk memangkin perkembangan ekonomi Terengganu. Namun, kita tidak akan kecewa, sebaliknya akan berusaha lebih kuat untuk memakmurkan negeri yang disayangi ini.

18. Kerajaan Negeri juga tetap optimis untuk menjalinkan hubungan yang baik dengan Kerajaan Persekutuan bahkan akan terus memperkukuhkannya demi kepentingan rakyat dan kemajuan negeri. Konsep Federalisme akan terus diperkasakan agar agihan kemajuan dan infrastruktur di Negeri Terengganu dapat dibangunkan seiring dengan negeri maju yang lain. Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri akan terus berusaha menerusi perbincangan dan perundingan dengan agensi-agensi Kerajaan Pusat, Kementerian dan Jabatan-Jabatan untuk memperolehi manfaat dari Rancangan Malaysia ke-12 dan matlamat daripada Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

PERUNTUKAN BELANJAWAN 2020

Dato' Yang Dipertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian,

Anggaran Belanjawan Kerajaan Negeri Terengganu 2020

19. Bagi tahun 2020, Kerajaan Negeri telah menyediakan dasar pengurusan bajet defisit 10% iaitu sebanyak RM166 juta. Anggaran Perbelanjaan Mengurus dianggarkan sebanyak RM1.832 bilion berbanding Anggaran Hasil yang bakal diperolehi sebanyak RM1.666 bilion. Daripada jumlah Anggaran Hasil tersebut, 85.41% adalah daripada Pemberian Kerajaan Persekutuan.

20. Bagi melaksanakan Belanjawan Tahun 2020, Kerajaan mencadangkan peruntukan sebanyak RM1.832 bilionuntuk Perbelanjaan Mengurus, RM700 jutauntuk Perbelanjaan Pembangunan dan RM1.63 juta untuk Kumpulan Wang Bekalan Air.

21. Pendapatan daripada Hasil Cukai adalah sebanyak RM66.93 juta, Hasil Bukan Cukai sebanyak RM170.37 juta dan Terimaan Bukan Hasil sebanyakRM1.43 bilion.

22. Bagi melaksanakan strategi Belanjawan Tahun 2020, Kerajaan Negeri mencadangkan peruntukan sejumlah RM1.832 bilion untuk Perbelanjaan Mengurus. Daripada jumlah ini, sebanyak RM86.83 juta diperuntukkan bagi Perbelanjaan Tanggungan sebagaimana yang diperuntukkan oleh undang-undang dan sejumlah RM1.745 bilion untuk Perbelanjaan Bekalan.

23. Di bawah Perbelanjaan Bekalanpula sebanyak RM277.59 juta untuk Emolumen, RM207.15 juta untuk Perkhidmatan dan Bekalan, RM28.52 juta untuk Aset, RM1.23 bilion diperuntukkan untuk Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap dan RM1.16 juta untuk Lain-Lain Perbelanjaan.

24. Di bawah komponen Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap, sejumlah RM500 juta akan dicarumkan kepada Kumpulan Wang Pembangunan bagi menampung baki semasa sehingga 31 Oktober 2019 iaitu berjumlah defisit RM671 juta. Peruntukan ini adalah bagi tujuan melaksanakan projek-projek pembangunan. Sebanyak RM215 juta juga diperuntukkan bagi pemberian kepada Pihak Berkuasa Tempatan, Badan Berkanun dan pelbagai Agensi, RM145 juta bagi pemberian kepada Jabatan-Jabatan Kerajaan danRM370 juta bagi pelbagai program di bawah kawalan Pejabat Setiausaha Kerajaan Vot B32 - Pelbagai Perkhidmatan.

25. Dari segi agihan di bawah Perbelanjaan Pembangunan, sebanyak RM618.49 juta (88%) diperuntukkan untuk Pembangunan Sosial merangkumi sektor Pendidikan, Infrastruktur & Kemudahan Awam, Pembangunan Bandar & Luar Bandar, Sukan dan Perumahan. Sebanyak RM40 juta (6%) pula diperuntukkan untuk Pentadbiran merangkumi Teknologi Maklumat, Pentadbiran Am, Projek Khas dan Projek Penting Luar Jangka dan sebanyak RM41.6 juta (6%) untuk Ekonomi merangkumi Pertanian, Pelancongan dan Industri termasuk IKS.

26. Setelah mengambil kira semua aspek di atas, izinkan saya membentangkan Belanjawan 2020 bagi Negeri Terengganu yang bertemakan "MEMBINA GENERASI TERENGGANU SEJAHTERA". Belanjawan ini akan didokong oleh lima (5) teras utama dan diperkukuhkan dengan 25 strategi dan 134 inisiatif. Lima (5) teras utama tersebut adalah:

Teras Pertama : Memartabatkan Pelaksanaan Islam
Teras Kedua : Menjana Pertumbuhan Ekonomi
Teras Ketiga : Membangun Modal Insan
Teras Keempat : Melestari Kehidupan Sejahtera
Teras Kelima : Memantapkan Penyampaian dan Tadbir Urus Negeri


TERAS 1 : MEMARTABATKAN PELAKSANAAN ISLAM

Utaranya Besut, selatannya Kemaman, Timurnya laut, baratnya hutan, al-Quran bukan sekadar bacaan, Suatu petunjuk panduan berkerajaan.

Dato' Yang Dipertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian,

Strategi 1 : Merancakkan Program Keagamaan dan Penghayatan Syariat Islam

27. Sejarah Batu Bersurat pada tahun 1303 Masihi dan penggubalan undang-undang tubuh Kerajaan Negeri,Itqan Al-Muluk bi Ta'dil As-Suluk pada tahun 1911 membuktikan bahawa Islam sudah terpahat erat dalam denyut nadi rakyat. Usaha penghayatan dan memartabatkan Islam ini diteruskan oleh Kerajaan Negeri Terengganu pada awal tahun 2000 dengan penggubalan dan pindaan Enakmen Undang-Undang Syariah Islam.

28. Lantaran itu, bagi meneruskan kesinambungan pelaksanaan syariah dalam segenap aspek kehidupan rakyat, Kerajaan Negeri dalam proses akhir menyediakan beberapa polisi dan garis panduan patuh syariah sepertiGaris Panduan Hiburan, Pelancongan, Sukan, Persembahan Kebudayaan dan Kerajaan Tempatan.

29. Selari dengan penggubalan undang-undang dan penguatkuasaan peraturan, Kerajaan Negeri juga berusaha menyemarakkan penghayatan syariat Islam dalam semua lapisan masyarakat di setiap DUN melalui pelbagai aktiviti dan program yang bersesuaian seperti Klinik Hukum Agama, Taman Syurga di Pasar, Tautan Mahabbah Wanita dan Aktiviti Pelaksanaan Syariat iaitu Skuad Amar Makruf Nahi Mungkar. Bagi menjayakan agenda ini sebanyak RM1.9 juta diperuntukkan.

30. Pada bulan Ramadan yang lalu, Kerajaan Negeri telah berjaya melaksanakan Program Madinah Ramadan selama sebulan di Padang Taman Awam Batu Buruk, Kuala Terengganu. Program ini telah memberi manfaat kepada ribuan pengunjung yang datang dan dihidangkan dengan pelbagai pengisian seperti iftar perdana, solat tarawih berjemaah, tazkirah, bicara ilmu dan fiqh wanita. Menyedari akan kepentingan program ini, Kerajaan Negeri telah bersetuju untuk meneruskan Program Madinah Ramadan pada tahun 2020. Selain itu, Kerajaan Negeri juga akan meneruskan Bantuan Berbuka Puasa kepada seluruh masjid dan surau di Negeri Terengganu. Justeru itu, bagi merealisasikan hasrat ini sebanyak RM2.05 juta diperuntukkan.

31. Bagi memastikan semua kelompok masyarakat dapat meningkatkan kefahaman Islam, pihak Kerajaan Negeri akan membangunkan Modul Itqan Insaniyang menggabungkan aspek fizikal, intelektual dan spiritual yang melibatkan pelajar sekolah, belia, MPKK, penjawat awam dan kakitangan syarikat berkaitan kerajaan untuk memahami dasar-dasar Islam yang dibawa oleh Kerajaan Negeri.

Dato' Yang Dipertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian,

Strategi 2 : Menyemarakkan Kecintaan Terhadap al-Quran

32. Menyedari peri penting penghayatan al-Quran dalam sistem pendidikan, Kerajaan Negeri berhasrat untuk melahirkan lebih ramai lagi rakyat yang mencintai dan celik al-Quran. Justeru, bagi Program Skim Mus'ab Bin Umair, Kerajaan Negeri bercadang untuk menambahkan peruntukan pada tahun 2020 kepada RM7.85 juta. Peruntukan ini dijangka akan memberikan manfaat kepada 1,924 guru al-Quran di seluruh Negeri Terengganu.

33. Kerajaan Negeri juga akan menganjurkan Program Kembara Menghayati al-Quran bersama Dai di samping akan meneruskan pemberian sagu hati atau elaun khas kepada guru agama dan tokoh ulama.

Dato' Yang Dipertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian,

Strategi 3 : Mengembangkan Dakwah Islam

34. Memahami bahawa dakwah itu merupakan satu tuntutan, pada tahun 2019 Kerajaan Negeri telah menubuhkan Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT) sebagai agensi yang akan bertanggungjawab melatih para pendakwah dan merangka program-program pembangunan dakwah seiring dengan hasrat Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera.

35. Kerajaan Negeri juga akan menubuhkan Pusat Dakwah Ummah yang pertama di Pulau Redang yang akan dibangunkan bagi melahirkan pendakwah dan mewujudkan masyarakat yang cintakan ilmu dan celik agama di kalangan penduduk setempat. Sasaran utama pelatih Pusat Dakwah Ummah adalah anak-anak remaja Pulau Redang dan Pulau Perhentian yang berusia 13-18 tahun. Sekaligus, menjadikan kedua-dua pulau ini sebagai lokasi Pelancongan Islam.

36. Di samping itu, Kerajaan Negeri akan mewujudkan Program Smart Ukhuwwah sebagai platform menyantuni golongan bukan Islam. Program ini adalah bertujuan untuk merapatkan jurang antara kaum. Program ini juga akan menjadi wadah untuk menyampaikan mesej perpaduan sekaligus menjadikan bumi Terengganu sentosa sejahtera.

37. Bagi menambah nilai dan kualiti para pendakwah, Kerajaan Negeri bercadang untuk mengadakan Himpunan Pendakwah Nusantara dan Ijtima' Sukarelawan Dakwah yang melibatkan pendakwah dari dalam dan luar negara.

38. Media sosial telah menjadi sumber rujukan bagi kebanyakan rakyat. Menyedari perkembangan ini, Kerajaan Negeri berhasrat untuk memanfaatkan saluran ini demi kepentingan dakwah. Oleh itu, satu Program Dakwah Kreatif akan dilancarkan untuk melahirkan para pendakwah maya yang mampu untuk membangunkan kandungan dakwah kreatif. Program ini adalah kerjasama dengan Urus Setia Penerangan Darul Iman dan pihakTD1303. Demi menyokong usaha dakwah ini, sebanyak RM1.8 juta diperuntukkan.

Dato' Yang Dipertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian,

Strategi 4 : Mengimarahkan Institusi Masjid

39. Masjid bukan sekadar syiar bahkan jantung, hati dan nadi ummah. Sehubungan itu, Kerajaan Negeri akan memperuntukkan sebanyak RM17.5 jutauntuk membina empat (4) buah masjid baharu di beberapa lokasi terpilih seluruh Negeri Terengganu.

40. Selain itu, Kerajaan Negeri juga memperuntukkan sebanyak RM4 jutauntuk kerja-kerja membaik pulih dan menyelenggara masjid sedia ada. Manakala, kos sebanyak RM2 juta akan diperuntukkan untuk membaik pulih Masjid Pulau Perhentian di Besut bagi kemudahan rakyat di sana.

41. Di samping pembangunan fizikal masjid, KerajaanNegeri juga menyediakan Bantuan Pengurusan Jawatankuasa Masjid yang berjumlah RM1.01 juta melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT). Bantuan ini bertujuan untuk meningkatkan kecekapan pengurusan 514 buah masjid yang ada di seluruh Negeri Terengganu.

Dato' Yang Dipertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian,

Strategi 5 : Membangunkan Institusi Pendidikan Islam


42. Kerajaan Negeri akan menubuhkan Pusat Tafaqquh Fi Din Tok Syeikh Duyung yang berkonsepkan Edu-Tourism di Taman Tamadun Islam yang akan dibangunkan dengan seni bina kayu tradisional Terengganu. Pondok ini akan menjadi pusat bagi melahirkan ulama serta guru yang mampu menguasai Kitab Turath. Selain itu, pusat ini juga akan menjadi pusat pengajian lanjutan kepada pelajar lepasan madrasah moden, Pondok Darul Iman serta pusat pengajian pondok serata tanah air. Diharap penubuhan pusat ini dapat mengembalikan semula kegemilangan Terengganu sebagai pusat ilmu Serambi Madinah. Bagi tujuan ini, sebanyak RM6 juta diperuntukkan.

43. Bagi mengembangkan Pusat Pendidikan Islam dan meningkatkan kualiti pengurusannya, Kerajaan Negeri telah bersetuju menambah peruntukan daripada RM3 juta pada tahun 2019 kepada RM5 juta pada tahun 2020 bagi bantuan per kapita kepada sekolah pondok, tahfiz, sekolah agama rakyat dan pusat pendidikan yang berdaftar dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT).

44. Manakala, bagi institusi pendidikan di bawah Kerajaan Negeri, pada tahun 2019, Kerajaan Negeri telah menubuhkan enam (6) buah Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI) melibatkan 290 orang pelajar di Ajil, Pengkalan Berangan, Bukit Besi, Wakaf Mempelam, Kota Putera dan Buluh Gading. Bagi tahun 2020, sebanyak tiga (3) buah SRIDI yang baharu akan ditubuhkan di Kijal, Paka dan Permaisuri dengan anggaran kos keseluruhan RM3.52 juta.

45. Adapun di peringkat pendidikan menengah, Kerajaan Negeri telah menyasarkan penubuhan sebuah Sekolah Menengah Islam Darul Iman (SMIDI) yang pertama di Terengganu. SMIDI ini akan ditubuhkan di Daerah Hulu Terengganu dengan peruntukan sebanyak RM30 juta.

46. Lanjutan itu, bagi melengkapkan tahap pendidikan Islam di Negeri Terengganu bermula dari tahap pendidikan rendah sehingga tahap tertiari, maka Pihak Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM5 juta sebagai kerja-kerja awal dalam menubuhkan Kolej Universiti Quran Terengganu. Dalam masa yang sama, Kerajaan Negeri juga akan memperkenalkan konsep wakaf pendidikan bagi merealisasikan penubuhan kolej ini.

TERAS 2 : MENJANA PERTUMBUHAN EKONOMI

Dato' Yang Dipertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian,

Strategi 1 : Mengukuhkan Industri Agrikultur

47. Agrikultur merupakan sektor ekonomi yang diceburi oleh majoriti rakyat Terengganu. Sektor yang menjana sumber makanan ini menyumbang 8.2% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Meskipun kita berhadapan dengan gelombang Revolusi Industri 4.0 dan era transformasi ekonomi digital, namun Kerajaan Negeri tetap memberikan fokus utama kepada sektor pertanian dengan menyalurkan peruntukan berjumlah RM8 juta.

48. Peruntukan ini bertujuan untuk mengembangkan industri berkaitan agrikultur, agroternak, akuakultur serta industri asas tani bagi menjamin sekuriti bekalan makanan, menghasilkan peluang pekerjaan, meningkatkan pendapatan rakyat dan mempelbagaikan sumber pertanian baharu dengan memanfaatkan teknologi terbaharu.

49. Terengganu mempunyai lebih kurang 12 ribu hektar kawasan tanaman padi dengan 5,323 hektar berada di dalam kawasan jelapang padi manakala bakinya berada di luar jelapang padi dengan kemampuan pengeluaran beras hanya 5,000 tan metrik setahun atau 53% daripada keperluan sebenar beras Terengganu. Pengeluaran hasil padi perlu mencapai 10,000 tan metrik setahun secara konsisten untuk mencukupkan kadar sara diri (self sufficient level) pengeluaran padi di Terengganu.

50. Oleh itu, Kerajaan Negeri akan menaik taraf sistem pengairan dan saliran sawah padi di luar jelapang agar penanaman padi dua (2) kali setahun dapat dilaksanakan serta masalah pengairan yang dihadapi pesawah padi di luar jelapang dapat diatasi.

51. Kerajaan Negeri juga akan meneruskan projek pembangunan Kompleks Pertanian Ajil dan Kompleks Pertanian Sekayu. Selain itu, Bantuan Mekanisasi Pertanian turut diberikan seperti blower, pam racun, pam air dan jentera pembajak. Semua perkara ini akan dilaksanakan dengan peruntukan sebanyak RM1.2 juta.

52. Bagi meningkatkan pengeluaran hasil pertanian, Kerajaan Negeri akan melaksanakan projek transformasi sistem tanaman tradisional kepada tanaman fertigasi. Projek-projek pembangunan penanaman seperti cendawan, sayur dan buah-buahan juga akan dilaksanakan. Bantuan tampungan harga untuk pembelian duku serta industri madu turut tidak diabaikan. Bagi menjayakan semua perkara di atas, maka Kerajaan Negeri akan memperuntukkan sebanyak RM1.05 juta. Sukacita dimaklumkan bahawa Kerajaan Negeri dengan kerjasama Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim telah menubuhkan Hab Pengembangan dan Pemprosesan Cendawan (HPPC) yang pertama di Malaysia bertempat di Kampung Tempinis, Jabi dalam rangka untuk memperkasakan lagi industri cendawan.

53. Sebagai rekod, sejak dilancarkan pada 29 Januari 2019 sehingga bulan September 2019, sebanyak 118 permohonan telah diluluskan melalui Skim Bantuan Modal Tani (SBMT) meliputi pelbagai bidang perusahaan dalam sektor pertanian, perikanan, penternakan dan industri asas tani dengan jumlah keseluruhan mencecah RM2.46 juta. Ekoran sambutan hangat dan menggalakkan daripada pelbagai lapisan rakyat, masih banyak lagi berbaki permohonan SBMT bagi tahun 2019 yang sedang diproses oleh Jawatankuasa Induk SBMT berjumlah kira-kira RM1.46 juta. Melihat keberkesanan SBMT dalam membantu rakyat menyelesaikan masalah modal untuk menceburi sektor pertanian, maka Kerajaan Negeri akan terus memperuntukkan skim pinjaman patuh syariah tanpa faedah ini dengan jumlah sebanyak RM5 juta pada tahun 2020.

54. Memahami akan bebanan dan ancaman yang dihadapi oleh para petani dan nelayan ketika musim tengkujuh, Kerajaan Negeri akan mewujudkan Tabung Bencana Petani bagi meringankan bebanan tersebut. Sebanyak RM500 ribu akan diperuntukkan untuk tabung ini.

Dato' Yang Dipertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian,

Strategi 2 : Mengembangkan Sektor Agroternak

55. Dua (2) fokus utama akan diberikan untuk mengembangkan sektor penternakan di Terengganu. Pertama, menaik taraf infrastruktur penternakanseperti Ladang Informasi Veterinar Terengganu, Ladang Integrasi Veterinar Dungun, Projek Homplot Rakyat, Pasar Ternakan, Padang Ragut Awam dan Pusat Pemprosesan Arnab. Sejumlah RM2.6 jutadiperuntukkan untuk menyiapkan semua infrastruktur tersebut.

56. Fokus yang kedua pula ialah membangunkan projek penternakan seperti projek hab penternakan lembu sado, lembu tenusu, projek kambing komersial, kambing tenusu, arnab pedaging dan unggas. Semua projek tersebut akan diperuntukkan sebanyak RM1.25 juta.

57. Selain itu, projek transformasi ternakan yang memfokuskan kepada menaik taraf projek penternakan skala kecil dan sederhana ke arah yang lebih berdaya saing akan turut dilaksanakan. Kerajaan Negeri mahu kesemua projek agroternak ini akan memberikan manfaat kepada rakyat Terengganu selaras dengan slogan 'Mu Buat Kami Bantu'.

Dato' Yang Dipertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian,

Strategi 3 : Memperkaya Sektor Akuakultur

58. Kerajaan Negeri akan memberi tumpuan untuk memperkaya sumber perikanan. Pada tahun 2019, sebanyak 50 unjam tiruan dan 23 unit tukun seberat 15 tan telah dilabuhkan di sekitar perairan Terengganu. Tukun tiruan yang dilabuhkan ini disamping menjadi 'rumah ikan' yang akan memperkayakan lagi sumber perikanan, ia juga mampu menjadi penampang kepada pencerobohan pukat tunda. Justeru, pada tahun 2020, lebih banyak unjam dan tukun tiruan akan dilabuhkan.

59. Manakala, bantuan benih ikan akan disalurkan kepada penternak kecil untuk meningkatkan tahap pengeluaran mereka. Sebagai tambahan, benih ikan juga akan terus dilepaskan ke perairan umum demi memperkayakan sumber perikanan yang menjadi rezeki kepada nelayan darat.

60. Kerajaan Negeri juga akan memberi bantuan kepada para nelayan untuk membeli pukat dan bubu. Di samping itu, bagi meningkatkan kemahiran kepada para pemain sektor akuakultur, maka program seperti kursus, seminar dan latihan kemahiran berterusan akan dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri. Semua aktiviti akuakultur ini akan diperuntukkan sebanyak RM1 juta.

Dato' Yang Dipertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian,

Strategi 4 : Menggalakkan Pelaburan, Memantapkan Perdagangan

61. Kerjasama erat antara East Coast Economic Region Development Council (ECERDC) dan Kerajaan Negeri Terengganu juga telah merealisasikan pelaburan swasta berjumlah RM3.59 bilion sepanjang 2019; iaitu 12 syarikat di sektor pembuatan, masing-masing satu (1) syarikat di sektor pertanian, pendidikan dan minyak & gas; tiga (3) syarikat di sektor perkhidmatan dan tujuh(7) syarikat di sektor pelancongan dan hartanah.

62. Kerajaan Negeri juga telah menawarkan insentif-insentif pelaburan yang menarik seperti diskaun ke atas premium tanah antara 10% hingga 50%, pembayaran premium tanah secara ansuran selama setahun dan rebat 30% ke atas premium tanah bagi pelabur yang melaksanakan projek dalam tempoh yang ditetapkan. Dengan ini, Kerajaan Negeri akan terus berusaha untuk meningkatkan lagi promosi pelaburan di Negeri Terengganu dengan kerjasama agensiagensi yang berkenaan.

63. Infrastruktur di kawasan perindustrian akan dinaik taraf dengan peruntukan sebanyak RM2 juta. Beberapa kawasan perindustrian akan mendapat manfaat antaranya Kawasan Perindustrian Perasing, Bukit Labohan, Kerteh, Kawasan Perindustrian Wakaf Tapai dan Kawasan Perindustrian Batu 7, Dungun.

64. Kerajaan Negeri juga ingin berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan yang akan meneruskan projek-projek ECERDC seperti Taman Biopolimer Kerteh Fasa 2 & 3, Pembangunan Pusat Bandar Kuala Terengganu (KTCC) dan Pembinaan Jalan dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud Kuala Terengganu ke KTCC.

Dato' Yang Dipertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian,

Strategi 5 : Merancakkan Pelancongan dan Kebudayaan


65. Negeri Terengganu sememangnya berpotensi dan terkenal dengan anugerah khazanah alam semulajadi, seni, budaya dan warisan yang mengandungi kepelbagaian produk dan destinasi pelancongan. Ini menjadikan Negeri Terengganu antara destinasi pelancongan utama negara yang menyaksikan peningkatan kehadiran pelancong sebanyak 9.8% dalam tempoh Januari hingga Ogos tahun 2019 berbanding tempoh yang sama pada tahun 2018.

66. Kerajaan Negeri juga akan mempromosikan pelancongan dengan lebih agresif dan berimpak tinggi menerusi pelbagai saluran domestik serta antarabangsa. Untuk tujuan itu, sejumlah RM4.5 jutaakan diperuntukkan.

67. Kerajaan Negeri juga optimis dengan potensi ekonomi sektor pelancongan dengan menganjurkan acara berprestij yang berkonsepkan keunikan Negeri Terengganu. Pelbagai 'signature events' akan dirangka dengan partisipasi masyarakat setempat. Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM4 juta bagi penganjuran acara sehingga ke taraf antarabangsa.

68. Pulau Bidong yang turut dikenali sebagai "The Little Saigon" merupakan khazanah warisan sejarah Negeri Terengganu. Peninggalan sejarah ini akan dimajukan dan dijadikan sebagai salah satu produk pelancongan budaya (Culture Tourism) dengan peruntukan RM1 juta.

69. Kita patut berbangga kerana Tasik Kenyir mendapat pengiktirafan tasik buatan manusia terbesar di Asia Tenggara yang mencatatkan kehadiran pelancong sebanyak 776 ribu orang pada tahun 2018. Dengan keluasan 260 kilometer persegi, Tasik Kenyir menempatkan lebih 380 buah pulau dan lebih 14 buah air terjun dan jeram. Tasik ini juga boleh diisytiharkan sebagai "Kenyir Hornbills Valley" kerana 10 daripada 12 spesies burung kenyalang telah ditemui. Lantas, bagi meningkatkan mutu pengurusan di tasik ini sebanyak RM3 juta telah diperuntukkan.

70. Selain daripada meneruskan Program Pekan Budaya, Kerajaan Negeri juga turut mengambil inisiatif baharu dengan mewujudkan sebuah Perkampungan Budayadi perkarangan Muzium Negeri sebagai salah satu pakej warisan (heritage trail) yang boleh dilawati oleh pelancong yang berkunjung ke Negeri Terengganu. Kerajaan Negeri yakin dengan inisiatif yang diperuntukkan sebanyak RM1 juta ini akan dapat terus mengekalkan identiti dan warisan serta budaya masyarakat Negeri Terengganu.

71. Sebagai insentif untuk memastikan segala perancangan aktiviti pelancongan dan kebudayaan berjalan dengan lancar, maka Kerajaan Negeri akan memperuntukkan sejumlah RM1 jutakepada badan pengurusan rasmi pelancongan dan kebudayaan. Insentif ini akan meningkatkan produktiviti secara optimum dan mampu mempotretkan Terengganu sebagaimana yang diungkapkan "negeri cantik, budaya menarik, orangnya baik-baik".

Dato' Yang Dipertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian

Strategi 6 : Menyediakan Latihan Keusahawanan dan Kemahiran Perniagaan


72. Menurut buku Tinjauan Ekonomi 2020 yang diterbitkan oleh Kementerian Kewangan Malaysia, antara punca pengangguran adalah disebabkan kekurangan kemahiran interpersonal dan ketidakpadanan antara kemahiran yang diperlukan oleh industri dengan kelayakan yang diperoleh oleh graduan.

73. Oleh itu, Kerajaan Negeri memperuntukkan sejumlah RM1.9 juta bagi meningkatkan kemahiran rakyat. Salah satu inisiatif yang ditawarkan oleh Kerajaan Negeri adalah Program Keusahawanan Digital (Zero to Hero) yang akan melatih rakyat Negeri Terengganu untuk menceburkan diri dalam bidang keusahawanan sebagai salah satu sumber pendapatan. Program ini akan dilaksanakan oleh pihak TD1303 dan Yayasan Pembangunan Usahawan.

74. Kerajaan Negeri juga akan menganjurkan pelbagai aktiviti bermanfaat untuk membantu usahawan seperti klinik usahawan, latihan start-up perniagaan dan latihan pengembangan perniagaan. Bagi tujuan mempromosikan produk usahawan pula, program Halal Fest, Minggu PKS, Malaysian Festival, Terengganu Showcase dan Ekspo Usahawan akan turut dianjurkan.

75. Bagi menjenamakan dan mempromosikan usahawan Food Truck di Negeri Terengganu, Kerajaan Negeri akan memperuntukkan sebanyak RM150 ribu untuk menyediakan Hot Spot Food Truck di kawasan yang terpilih.

76. Selari dengan manifesto PRU Ke-14 yang lalu, Kerajaan Negeri menyediakan dana yang berjumlah RM10 juta dalam Tabung Usahawan Sejahtera(TUGAS) pada tahun 2019. Tabung ini melibatkan Skim Pembiayaan Peningkatan Perniagaan Terengganu (SP3T), Tabung Siti Khadijah (TSK), Skim Pembiayaan Atas Talian Terengganu (SPINT), Dana Usahawan dan Industri Mikro Terengganu (DUIT), Dana Prihatin Terengganu OKU (D-HATI), Skim Pembiayaan Mobile Truck (SPMT), Terengganu Capacity Enhancement Programme (T'CAP), Skim Bantuan Usahawan Mualaf dan Skim Pembiayaan Khas Bazar Ramadan 2019. Bagi tahun 2020, Dana TUGAS ini akan diteruskan dengan penambahan satu lagi skim bantuan iaitu Dana Usahawan Industri Asas Tani (DUNIA). Semoga dana yang besar ini dapat dimanfaatkan secara optimum oleh seluruh rakyat Terengganu.

Dato' Yang Dipertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian,

Strategi 7 : Membangunkan Negeri Sejajar Revolusi Industri 4.0

77. Kerajaan Negeri akan mengambil inisiatif untuk menjayakan satu Pelan Pembangunan Industri Digital dengan peruntukan awal sebanyak RM500 ribu. Projek ini diutamakan supaya selari dengan penjajaran trendglobal Revolusi Industri 4.0.

78. Selain itu, dalam mentransformasikan Terengganu berkonsepkan Smart City, Kerajaan Negeri akan melaksanakan beberapa inisiatif secara berperingkat seperti smart traffic lights, automatic boom gate, face recognition, Artificial Intelligence Park dan AI-CCTV dengan peruntukan sebanyak RM3 juta.

79. Pelaksanaan inisiatif ePembayaran melalui penjenamaan Terengganu Pay adalah merupakan satu pendekatan kerajaan dalam mewujudkan persekitaran cashless society di kalangan rakyat Negeri Terengganu. Pada tahun 2020, gerbang pembayaran Terengganu Pay akan diperkenalkan dengan anggaran kos pembangunan sistem aplikasi sebanyak RM390 ribu.

80. Pada masa hadapan, Kerajaan Negeri juga berhasrat untuk mewujudkan banyak lagi cashless zone seperti di pulau-pulau peranginan, Pasar Payang, premis perniagaan, restoran dan sebagainya selain turut berhasrat memperkenalkan inisiatif Terengganu Digital eWallet (KOCEK).

Teras 3 : Membangun Modal Insan

Dato' Yang Dipertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian,

Strategi 1 : Menyediakan Bantuan Sokongan Pendidikan

81. Bagi mengekalkan kecemerlangan pendidikan di Negeri Terengganu, kerajaan telah merangka beberapa program sokongan pendidikan, antaranya adalah Tuisyen Rakyat Terengganu, Kursus Motivasi Peperiksaan Awam di setiap DUN, pemerkasaan Schoolwide Enrichment Model (SEM), bantuan pelajar sekolah premier, elit, imtiaz dan sekolah agama bantuan kerajaan. Kesemua program ini melibatkan peruntukan sebanyak RM1 juta.

82. Sokongan secara langsung juga telah dilakukan oleh kerajaan untuk pihak sekolah mencetak bahan kecemerlangan melalui Program Kecemerlangan Pendidikan. Bahkan program ini juga menekankan kepada aktiviti penguasaan Bahasa Inggeris sekaligus meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris para pelajar terutamanya apabila di alam pekerjaan nanti. Sejumlah RM5.3 juta akan diperuntukkan untuk program ini.

83. Bagi menambah baik kaedah pembelajaran kanak-kanak, Kerajaan Negeri mewujudkan TS Brilliant Kids dengan kerjasama Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) yang melibatkan 70 buah taska. Selain itu, Kerajaan Negeri juga berhasrat menganjurkan Kids Coding Programme bagi tujuan menarik minat dan mencari bakat muda di kalangan kanak-kanak berusia 7 hingga 12 tahun dengan kerjasama pihak TD1303. Kedua-dua program ini akan diperuntukkan sebanyak RM1 juta.

84. Kerajaan Negeri sangat prihatin dan menitikberatkan pendidikan anak-anak Terengganu. Oleh itu, Kerajaan Negeri akan mewujudkan Tabung Siswa Pelajar dengan peruntukan sebanyak RM10 juta. Tabung ini bertujuan untuk menyediakan pinjaman pembiayaan yuran pengajian untuk ijazah pertama dalam dan luar negara.

85. Pada tahun 2019, seramai 123 orang pelajar peringkat sarjana muda telah mendapat manfaat melalui program Biasiswa Pelajar Cemerlang untuk melanjutkan pelajaran di dalam dan luar negara. Peruntukan pada tahun 2020 dinaikkan kepada RM10 juta untuk membiayai seramai 250 orang mahasiswa.

86. Manakala, bagi Biasiswa Skim Pelajar Cemerlang Peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah, Kerajaan akan memperuntukkan sebanyak RM2.6 juta untuk 125 orang siswazah dalam negara. Untuk rekod pada tahun ini, seramai 38 siswazah telah mendapat manfaat melalui skim ini.

87. Bagi meringankan bebanan persiapan pengajian anak-anak, Bantuan Persediaan IPT akan diteruskan sebagai pemberian one-off persediaan kepada anak Terengganu yang melanjutkan pelajaran di pelbagai peringkat pendidikan dengan peruntukan sebanyak RM20 juta.Bagi tahun 2019, seramai 16,471 orang pelajar telah menerima manfaat.

88. Biasiswa Program ACCA (Association of Chartered Certified Accountants) juga akan diteruskan pada tahun 2020 dengan penambahan peruntukan sebanyak RM1.26 juta yang akan melibatkan pembiayaan kepada 30 orang anak Negeri Terengganu dalam bidang ini.

Dato' Yang Dipertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian,

Strategi 2 : Memperkasakan Pengetahuan dan Kemahiran Rakyat

89. Marcapada ini, dunia berkembang pesat dengan pelbagai teknologi yang mengubah kehidupan harian. Namun, untuk memastikan kita tidak ketinggalan dengan perkembangan semasa, kerajaan mengambil pendekatan mempersiap rakyat dengan kursus, latihan dan program pembangunan sumber manusia.

90. Bagi tujuan tersebut, sebanyak RM1.2 juta diperuntukkan untuk Program Kelas Maya dan Pelbagai Latihan Pendigitalan bagi memastikan rakyat Negeri Terengganu bersedia dalam menghadapi Ekonomi Digital dan Revolusi Industri 4.0.

91. Manakala, bagi tujuan pengurusan dan juga program-program pembangunan sumber manusia negeri, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM2 juta kepada Pusat Pembangunan ManusiaTerengganu (T-HRDC). Dalam masa yang sama, satu sistem data perangkaan maklumat sumber manusia akan disediakan bagi mengenal pasti program pembangunan yang bersesuaian dengan sumber yang ada di Negeri Terengganu.

92. Selain itu, latihan dalam bidang kemahiran yang lain juga turut menjadi fokus Kerajaan Negeri. Pada tahun 2019, Terengganu Skills Enhancement Program forSchool Leavers, (TSEP-S) telah dilaksanakan dengan penyertaan daripada 26 orang peserta siri pertama dan 13 orang siri kedua. Bagi tahun 2020, Kerajaan Negeri akan meneruskan program ini dengan peruntukan sebanyak RM1 juta.

93. Kerajaan Negeri juga akan melaksanakan kursus penternakan bagi golongan belia Terengganu, latihan kemahiran berkaitan ECRL dan program Train &Place Scaffolder yang akan melibatkan kos sebanyak RM1.6 juta.

Dato' Yang Dipertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian,

Strategi 3 : Membangunkan Institusi Insani

94. Bagi melunaskan janji manifesto PRU-14, Kerajaan Negeri akan menubuhkan Pusat Pemulihan Penagih Dadah bagi merawat penagih dadah di NegeriTerengganu. Bagi memastikan pusat ini dibina dengan jayanya, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM4 juta untuk tujuan kajian, kerja-kerja infrastrukturdan pengurusan pusat pemulihan.

95. Selangkah ke hadapan, Kerajaan Negeri bercadang untuk mewujudkan Pengajian Tahfiz Mandarin supaya dapat melahirkan para pelajar yang bukan hanya mampu menguasai pengajian Islam, tetapi juga kemahiran kepelbagaian bahasa yang menjadi kekuatan sebagaimana dimiliki oleh ulama-ulama terdahulu.

Dato' Yang Dipertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian,

Strategi 4 : Meneruskan Kecemerlangan Sukan


96. Sekolah Sukan Bukit Nenas, Setiu telah melahirkan ramai atlet negeri yang mampu bersaing di peringkat negara dan antarabangsa. Bagi memastikan lebih ramai atlet dilahirkan dari semasa ke semasa, Kerajaan Negeri bersetuju menyediakan sejumlah RM300 ribu untuk menguruskan keperluan serta kemudahan sukan berkaitan.

97. Kerajaan Negeri turut mendokong seruan Kerajaan Persekutuan ke arah negara sihat dengan menjadikan sukan sebahagian gaya hidup. Oleh itu, RM4.5 juta diperuntukkan bagi mengadakan kembali pertandingan liga sukan utama dan memajukan sukan massa serta akar umbi seperti bola sepak, sepak takraw dan badminton di antara daerah, termasuklah pelaksanaan Liga Darul Iman serta kejohanan sukan-sukan teras yang lain.

98. Penubuhan Urus Setia Belia, Sukan dan NGO Terengganu (UBSNT) telah berjaya direalisasikan menerusi ucapan Belanjawan 2019. Bagi memastikan urus setia ini terus bergerak seiring dengan perkembangan semasa, peruntukan sebanyak RM4.2 juta akan disediakan merangkumi peruntukan untuk pengurusan dan program-program sukan, pembangunan belia dan NGO. Antara aktiviti yang dijalankan adalah seperti Fit is Sunnah (FITS), Bengkel Garis Panduan Sukan dan Kejohanan Badminton Belia.

99. Kerajaan Negeri sentiasa prihatin dan mengambil cakna terhadap fasiliti dan kemudahan sukan. Dalam memastikan fasiliti ini dapat digunakan secara optimum, Kerajaan Negeri bersetuju memperuntukkan sejumlah RM13.2 juta bagi tujuan membaik pulih dan menaik taraf gelanggang-gelanggang futsal dan pembangunan Kompleks Sukan Menembak Terengganu serta membina sebuah bangunan skuasy tertutup di Kompleks Sukan Negeri Terengganu.

Dato' Yang Dipertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian,

Strategi 5 : Mempersiap Generasi Belia Masa Hadapan

Sesungguhnya bangsa itu akan kekal selagi mana akhlak yang baik ada, dan apabila hilangnya akhlak itu bangsa itu akan hilang.(Ahmed Shawqi, Penyair Arab)

100. Dalam merangka pembangunan belia yang mapan dan mampu bersaing di peringkat negara dan antarabangsa, Kerajaan Negeri akan memperuntukkan sebanyak RM3 juta kepada Persatuan dan Aktiviti Belia Negeri Terengganu.

101. Bagi mengatasi masalah akhlak dalam kalangan pelajar sekolah dan mengikat hati remaja kepada Institusi Masjid melalui pelbagai aktiviti patuh syariah, satu Program Sahabat Remaja Rabbani (Sahabat) akan dilaksanakan dengan peruntukan sebanyak RM290 ribu.

102. Dalam masa yang sama, bagi melahirkan kepimpinan pelajar di peringkat sekolah, Kerajaan Negeri merintis sebuah platform baharu yang disebut sebagai Protg. Program ini dianggarkan melibatkan kos sebanyak RM500 ribu untuk dilaksanakan di pelbagai institusi pendidikan khususnya sekolah menengah di Negeri Terengganu. Golongan pelapis ini akan diberikan latihan secukupnya bagi meningkatkan kualiti kepimpinan setiap peserta.

TERAS 4 : MELESTARI KEHIDUPAN SEJAHTERA


Dato' Yang Dipertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian,

Strategi 1 : Menyediakan Sistem Sokongan Keluarga


103. Keluarga yang bahagia datangnya dari jiwa yang sejahtera. Kerajaan Negeri melihat kepentingan untuk mengurangkan bebanan dan tekanan kepada ibu bapa dalam menguruskan keperluan anak-anak. Oleh itu, Kerajaan Negeri akan meneruskan pemberian bantuan pakaian dan alatan kepada pelajar sekolah dengan memperuntukkan sebanyak RM10 juta. Bantuan ini dijangka akan memberi manfaat kepada 89,000 pelajar.

104. Selain itu, empat (4) buah taska baharu akan diwujudkan di pejabat-pejabat jabatan dan agensi kerajaan serta syarikat berkaitan kerajaan demi manfaat rakyat Negeri Terengganu. Inisiatif ini diharap dapat memudahkan ibu bapa yang bekerja untuk menguruskan anak-anak.

Dato' Yang Dipertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian,

Strategi 2 : Menitikberatkan Penjagaan Kebersihan dan Kesihatan


105. Kerajaan Negeri akan terus merancakkan Kempen Terengganu Bersih dengan sokongan penuh semua pihak supaya menjadi nilai tambah yang akan menarik kedatangan pelancong ke negeri ini. Justeru, pada tahun hadapan Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM70 juta berbanding RM50 juta pada tahun 2019, bagi menjalankan kerja-kerja dan aktiviti berkaitan kebersihan di seluruh Negeri Terengganu termasuk pulau-pulau peranginan.

106. Bagi meningkatkan kecekapan pelupusan sisa buangan pula, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM3 juta untuk menjalankan kerja-kerja fasa pertama pembinaan Pusat Pelupusan Sampah Sungai Ikan 2. Kos keseluruhan projek berkeluasan 34.863 hektar ini dianggarkan berjumlah RM43 juta.

107. Program Saringan Pap Smear dan Mamogram secara percuma yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri telah mendapat sambutan oleh hampir 4,400 orang wanita. Oleh yang demikian, Kerajaan Negeri akan memperuntukkan sebanyak RM300 ribubagi meneruskan program ini sebagai salah satu kaedah pencegahan terhadap kanser payudara dan kanser pangkal rahim.

108. Selain itu, Kerajaan Negeri juga memperuntukkan sebanyak RM3 jutauntuk menubuhkan satu lagi pusat dialisis bagi meringankan beban kewangan penduduk negeri ini yang mempunyai masalah buah pinggang untuk menjalani rawatan hemodialisis.

Dato' Yang Dipertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian,

Strategi 3 : Menyediakan Kediaman Mampu Milik untuk Rakyat


Nabi Muhammad SAW bersabda mafhumnya, "Antara perkara yang membahagiakan anak Adam itu ialah jiran yang baik, kenderaan yang baik dan tempat tinggal yang selesa."(Riwayat Ahmad)


109. Berdasarkan petunjuk Nabi Muhammad SAW ini, Kerajaan Negeri komited bagi memenuhi keperluan dan permintaan terhadap rumah dalam kalangan rakyat terutamanya untuk golongan berpendapatan rendah dan sederhana. Rumah adalah salah satu aspek penting yang menjamin kesejahteraan hidup seseorang.

110. Oleh itu, projek pembinaan Rumah Mampu Milik (RMM) di Tajin, Hulu Terengganu dan Tok Jembal,Kuala Nerus yang dilancarkan pada bulan Julai 2019 melibatkan 410 unit rumah diteruskan pada tahun 2020 dengan peruntukan sebanyak RM14 juta.

111. Projek perumahan ini juga diteruskan di Tempinis, Besut yang dibangunkan oleh Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) melibatkan 100 unit rumah. Manakala projek perumahan di Gong Chengal, Kemaman melibatkan 200 unit rumah. Kedua-dua projek perumahan ini akan mendapat peruntukan sebanyak RM15.5 juta dan dijangka siap dalam tempoh dua tahun.

112. Dasar Perumahan Baharu yang mesra pelabur dan patuh syariah telah kita lancarkan demi mewujudkan lebih banyak rumah mampu milik untuk rakyat Terengganu melalui peranan syarikat dan swasta. Bagi tahun 2020, Kerajaan Negeri menyasarkan 4,000 unit Rumah Mampu Milik akan dibina melalui kerjasama kerajaandan swasta.

113. Dasar Perumahan Baharu ini sudah pun berjalan di mana sebanyak 348 buah rumah mampu milik yang sedang dibina di Pasir Akar, Besut dan yang akan dibina di Mak Lagam, Kemaman melibatkan 1,959 unit rumah.

Dato' Yang Dipertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian,

Strategi 4 : Menjamin Kebahagiaan Keluarga

114. Bagi memudahkan pengurusan keluarga Islam, Kerajaan Negeri akan membangunkan Sistem Pengurusan Perkahwinan Islam Malaysia (SPPIM) dengan peruntukan sebanyak RM450 ribu.

115. Program Walimatulurus Perdana yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri melalui Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) diteruskan dengan peruntukan sebanyak RM1.5 juta.Kerajaan Negeri juga menjemput dan menggalakkan bapa dan ibu tunggal untuk turut sama menyertai program ini.

116. Sebagai sagu hati atas setiap kelahiran anak Terengganu, Kerajaan Negeri akan meneruskan Skim Permata Sejahtera yang akan disumbangkan ke akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) dengan peruntukan berjumlah RM1 juta.

117. Bagi menjayakan penubuhan Raudhatul Jannah yang merupakan pusat transit untuk melindungi golongan wanita dan kanak-kanak daripada pengabaian, penderaan, keganasan dan eksploitasi, Kerajaan Negeri akan mengorak langkah bersama-sama dengan pelbagai NGO berkaitan untuk menjayakan penubuhan pusat transit ini.

118. Kerajaan Negeri juga memperuntukkan sebanyak RM100 ribu dengan kerjasama Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) bagi mengadakan Program Pendidikan Keselamatan Keluarga dan Anak (PEKA) di semua taska milik kerajaan dan swasta yang akan memberikan manfaat kepada 30,000 kanak-kanak di seluruh negeri ini.

119. Bagi menjamin kualiti hidup dan kesejahteraan warga emas agar lebih terurus dan berdikari, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM320 ribuuntuk menjalankan aktiviti peringkat komuniti kepada golongan ini.

Dato' Yang Dipertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian,

Strategi 5 : Mengupayakan Pelbagai Segmen Masyarakat


120. Dalam memastikan keberkesanan fungsi NGO kepada masyarakat di Negeri Terengganu, Kerajaan Negeri memperuntukkan sejumlah RM200 ribubagi menyokong pengurusan dan aktiviti NGO termasuk persatuan pesara.

121. Di Negeri Terengganu, terdapat lebih daripada 800 orang pemandu teksi yang merupakan duta pelancongan yang penting dalam sektor pengangkutan awam di negeri ini. Oleh itu, bagi melindungi dan menjaga kebajikan pemandu teksi, Kerajaan Negeri bersetuju untuk memperuntukkan sebanyak RM200 ribusebagai bantuan Skim Keselamatan Sosial Pemandu Teksi.

122. Mengambil kira sambutan yang sangat baik daripada para remaja dan belia terhadap Program Lesen Motosikal Terengganu Sejahtera yang memberi manfaat kepada 25,000 orang pada tahun 2019, Kerajaan Negeri akan meneruskan program ini pada tahun 2020.Semoga inisiatif ini dapat membantu urusan kehidupan seharian mereka.

123. Penubuhan Tabung Darul Iman menjadikan penyelarasan bantuan-bantuan berkaitan penyakit kronik dan kebajikan sosial lebih sistematik dan efisien. Setakat hari ini, seramai hampir 6,000 penerima telah mendapat manfaat setiap tahun. Pada tahun 2020, tabung ini akan diteruskan dengan peruntukan berjumlah RM5 juta.

124. Demi memperkasakan perpaduan rakyat masa kini yang kian terhakis, pelbagai program akan dirangka bagi memastikan perpaduan rakyat berbilang kaum. Sementara itu, aktiviti berbentuk komuniti bersama masyarakat orang asli juga akan dilaksanakan. Oleh itu, Kerajaan Negeri akan memperuntukkan RM500 ribu bagi memastikan perpaduan masyarakat di negeri kita terjamin

Dato' Yang Dipertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian,

Strategi 6 : Menambah Baik Infrastruktur & Projek Pembangunan Awam

125. Untuk menghadapi masalah banjir yang berlaku saban tahun akibat limpahan air sungai dan sistem saliran yang berkeupayaan rendah, Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan sebanyak RM1 juta bagi melaksanakan Projek Menambah Baik Sistem Perparitan di Chendering, Kuala Terengganu.

126. Perkhidmatan bekalan air bersih juga akan ditambah baik dengan penggantian paip-paip agihan yang baharu di kawasan-kawasan yang telah dikenal pasti di seluruh negeri. Sejumlah RM14.8 juta di bawah peruntukan Bekalan Air Negeri disediakan bagi tujuan ini.

127. Sejumlah RM65 juta akan disalurkan menerusi Projek Pembangunan Kerajaan Tempatan dan Projek Pembangunan skala kecil di peringkat DUN. Ini bagi memastikan projek pembangunan yang dirancang dapat dilaksanakan dengan baik ke arah kelestarian kehidupan sejahtera.

128. Memahami keperluan masyarakat di Hulu Terengganu yang memerlukan satu dewan serbaguna untuk melakukan pelbagai aktiviti, maka kerajaan bersetuju untuk memperuntukkan sebanyak RM4.5 juta bagi membina Dewan Serbaguna Hulu Terengganu yang mampu menampung kapasiti 3,000 orang.

TERAS 5 : MEMANTAPKAN PENYAMPAIAN DAN TADBIR URUS NEGERI

Dato' Yang Dipertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian,

Strategi 1 : Meningkatkan Kecekapan Penyampaian Maklumat

129. Pada era kepantasan maklumat tanpa sempadan dan ditambah dengan kecanggihan pelbagai peralatan serta aplikasi, penyampaian maklumat berkenaan dasar dan inisiatif Kerajaan Negeri secara tepat, pantas dan komprehensif adalah amat penting. Justeru, bagi merealisasikan hasrat ini, Kerajaan Negeri akan membangunkan studio dan bilik berita TV Darul Iman (TVDI) serta Radio ManisFM dengan peruntukan berjumlah RM500 ribu.

130. Bagi mengembangkan fungsi dan peranan UPDI ke arah menjadikan ia lebih berwibawa sebagai lidah rasmi Kerajaan Negeri, penubuhan dan pengoperasian UPDI di setiap daerah akan dijayakan dengan peruntukan sebanyak RM1 juta.

131. Selain itu, diperuntukkan juga sebanyak RM300 ribu bagi memastikan berita-berita mengenai Negeri Terengganu mendapat perhatian di akhbar dan portal berita arus perdana serta di media sosial supaya capaian penerimanya lebih luas.

132. MPKK pula selaku nadi jentera Kerajaan Negeri di peringkat komuniti perlu diperkasakan dalam aspek komunikasi massa, kemahiran tadbir urus dan kemampuan daya kepimpinan. Justeru, Kerajaan Negeri akan mengadakan kursus komunikasi berkesan dan pembangunan jati diri untuk semua anggota MPKK diseluruh negeri dengan peruntukan berjumlah RM240 ribu.

133. Selain itu juga, Dasar Integriti Darul Iman (DIDI) yang telah dilancarkan pada Ogos 2019 akan digerakkan secara berperingkat di kalangan kakitangan dan pentadbir negeri dengan peruntukan RM2.1 juta. Ini bagi menjadikan Terengganu sebuah negeri yang mencapai standard integriti terbaik dan membentuk"good governance" melalui konsep Amalan Tadbir Urus Rabbani (ATUR), sekaligus mengukuhkan kepercayaan dan keyakinan kepada Kerajaan Negeri.

Dato' Yang Dipertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian,

Strategi 2 : Menaik Taraf Prasarana Teknologi

134. Bagi memastikan rakyat Negeri Terengganu mendapat manfaat sepenuhnya daripada kewujudan Internet of Things (IoT) dan kehadiran teknologi 5G ini, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM3.85 juta bagi menaik taraf Projek Terengganu Wi-Fi dan meluaskan lagi lokasi jalur lebar percuma.

135. Pusat Internet Akses Rakyat (PINTAR) merupakan usaha untuk membantu masyarakat memperoleh capaian internet dan mampu memanfaatkan peluang yang tersedia dalam dunia tanpa sempadan. Pada April 2019 yang lalu, PINTAR Alor Limbat telah selesai dijenamakan semula dan kembali beroperasi. Seterusnya, Kerajaan Negeri juga akan menaik taraf 15 buah PINTAR dengan peruntukan sebanyakRM5.6 juta.

PENUTUP

Dato' Yang Dipertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian,

136. Cabaran sedang menunggu kita di gerbang tahun 2020. Namun, saya yakin dengan semangat muafakat yang ada dalam diri rakyat Terengganu, kita akan bersama-sama membangunkan negeri ini ke arah mencapai Negeri yang Maju, Berkat dan Sejahtera.

137. Setelah pengamalan Budaya Politik Matang dan Sejahtera dalam pentadbiran Kerajaan Negeri, kini kita sedang menyaksikan kuntuman bunga sedang harum mekar dalam taman yang dinamakan Muafakat Nasional.

Daratan menghijau langit membiru,
Indahnya alam ciptaan tuhan,
PAS UMNO dahulunya seteru,
Kini kita saling bergandingan

138. Alhamdulillah, PAS dan UMNO sudah menjalin kerjasama menerusi Muafakat Nasional untuk membangunkan negara dan Negeri Terengganu yang kita cintai ini atas dasar Islam. Oleh yang demikian, pihak Kerajaan Negeri berbesar hati mengumumkan penyaluran bantuan am sebanyak RM250 ribu yang akan diberikan kepada setiap ADUN bukan kerajaan.

139. Inilah komitmen dan keseriusan pihak Kerajaan Negeri yang mahu melihat suasana politik di Negeri Terengganu dan Malaysia berlangsung dalam keadaan aman dan harmoni. Insya-Allah.

140. Sebagai mengakhiri ucapan pembentangan Belanjawan 2020, Kerajaan Negeri ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada penjawat awam yang berdedikasi dan komited sehingga meletakkan Negeri Terengganu antara negeri yang terbaik di Malaysia. Sebagai menghargai kerja keras dan kesetiaan penjawat awam, Kerajaan Negeri telah bersetuju memberikan sumbangan sejahtera kepada penjawat awam negeri yang berjumlah RM500.

141. Marilah kita sama-sama berdoa agar Allah SWT melimpahkan lagi rahmat dan keberkatan-Nya ke atas Negeri Terengganu Darul Iman:

Allahuakbar!


Allahuakbar!


Allahuakbar!


Walillahil Hamd


Yang Berhormat Dato' Yang Dipertua,

Saya mohon mencadangkan.

SUMBER : 1media.my

Loading...

Loading...

Live Website Traffic


loading...