www.edisiviral.com

Berita dan informasi edisi viral di Malaysia.


Bahaya kekalahan jiwa: Timbalan Mufti Perak

0 month ago, 07-Dec-2018



MATLAMAT peperangan adalah untuk mengalahkan musuh. Kita tidak boleh menafikan bahawa agama Islam adalah agama yang paling suka dimusuhi walaupun Islam adalah agama yang menawarkan perdamaian dan keselamatan.

Ini berdasarkan ayat-ayat al-Quran dan hadith-hadith Rasulullah SAW serta dibuktikan dengan fenomena yang berlaku khususnya di mana umat Islam menjadi umat minoriti di dalam sesebuah negara. Bahkan sesetengah negara yang penduduknya majoriti adalah muslim pun, seringkali umat Islam dipaksa mengalah dengan suara-suara minoriti.

Kalah di dalam peperangan itu adakalanya digambarkan sebagai kekalahan dari sudut fizikal dengan kematian, kemusnahan infrastruktur negara dan diakhiri dengan penjajahan sesebuah negara.

Namun dalam bentuk peperangan yang tidak hanya tertumpu kepada peperangan ketenteraan secara konvensional, seperti peperangan ideologi, melaga-lagakan ketamadunan, serangan-serangan pemikiran dan serangan budaya, kekalahan berlaku bukan dengan tertumpahnya darah ataupun penjajahan oleh orang asing tetapi kekalahan berlaku dalam bentuk kekalahan jiwa (al-hazimah al-nafsiah).

Ini yang diisyaratkan oleh Allah SWT: Sesungguhnya (pembawa berita) yang demikian itu ialah syaitan yang (bertujuan) menakut-nakutkan (kamu terhadap) pengikut-pengikutnya (kaum kafir musyrik). Oleh itu, janganlah kamu takut kepada mereka, tetapi takutlah kepadaKu (jangan cuaikan perintahKu), jika betul kamu orang-orang yang beriman. (QS Ali Imran: 175)

Kekalahan jiwa (al-hazimah al-nafsiah) ini lebih bahaya dan kesannya berpanjangan dengan tidak menumpahkan darah atau merosakkan bangunan tetapi kekalahan jiwa akan memberi kesan kepada beberapa generasi sebelum sedar kembali dan sembuh semula.

Maka peperangan membunuh jiwa dengan dipelbagaikan sekarang ini mengiringi peperangan yang membunuh nyawa. Serangan pemikiran dilancarkan dalam bentuk-bentuk yang sangat licik dan terancang untuk membunuh dan menjarah jiwa-jiwa umat Islam dan akhirnya jiwa-jiwa pemuda-pemudinya tetap terjajah, lemah iman, tidak merasa izzah dengan Islam.

Usaha mengalahkan jiwa-jiwa umat Islam tanpa menumpahkan darah pernah dimulakan pada zaman Rasulullah SAW lagi iaitu bagaimana puak munafiqin telah menabur fitnah terhadap Aisyah RA yang dituduh melakukan kecurangan sehingga masyarakat Islam ketika disibukkan dengan persepsi yang berbagai-bagai terhadap keluarga Rasulullah SAW. Ini sudah tentu menggoncang perasaan segelintir umat Islam yang begitu sayang dan menghormati keluarga Nabi SAW.

Begitu juga dengan penarikan diri sepertiga daripada bilangan tentera Islam yang berjuang di dalam peperangan Uhud dari kalangan orang munafiq. Sedikit sebanyak ia memberi kesan kepada semangat para pejuang di kalangan tentera Islam yang lain.

Firman Allah SWT: Kalaulah mereka keluar bersama kamu, tidaklah mereka menambahkan kamu melainkan kerosakan, dan tentulah mereka segera menjalankan hasutan di antara kamu, (dengan tujuan) hendak menimbulkan fitnah (kekacauan) dalam kalangan kamu; sedang di antara kamu ada orang yang suka mendengar hasutan mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui akan orang-orang yang zalim. (QS al-Taubah: 47)

Allah meminta orang yang belum kalah jiwanya agar sentiasa mengingatkan orang Islam yang lain agar berhati-hati dengan tindakan licik ini. Firman Allah SWT : Mereka itulah musuh yang sebenar-benarnya maka berjaga-jagalah engkau terhadap mereka. (QS al-Munafiqun: 4)

Umat Islam janganlah patah semangat dengan perbuatan sebahagian umat Islam yang satu ketika dahulu begitu bersemangat memperjuangkan Islam tetapi mengundurkan diri dari medan sebenar lantas tunduk dan kalah dengan serangan-serangan versi baru yang mengibarkan dan berselindung di sebalik panji-panji dan berteriak dengan slogan-slogan yang menarik didengar tetapi mempunyai makna dan tujuan yang tidak memenangkan Islam.

Allah mengingatkan: Dan apabila engkau melihat mereka, engkau tertarik hati kepada tubuh badan mereka (dan kelalukannya); dan apabila mereka berkata-kata, engkaujuga (tertarik hati) mendengar tutur katanya (kerana manis dan fasih. Dalam pada itu) mereka adalah seperti batang-batang kayu yang tersandar (tidak terpakai kerana tidak ada padanya kekuatan yang dikehendaki). (QS al-Munafiqun: 4)

Pejuang-pejuang Islam di Malaysia tidak sepatutnya merasa putus asa dengan berpaling tadahnya rakan-rakan seperjuangan dalam dakwah, tidak merasa kerdil menghadapi serangan segenap penjuru untuk mengalahkan jiwa-jiwa umat Islam dan tidak terpancing dengan janji-janji mahupun slogan-slogan tertentu sehingga benar-benar Islam dapat didaulatkan di negara tercinta ini.

Sahibus Samahah Ustaz Zamri Hashim
Timbalan Mufti Perak

www.indahnyaislam.my

-

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)


SUMBER : indahnyaislam.my


Tags

Travel New York London IKEA NORWAY DIY Ideas Baby Family News Clothing Shopping Sports Games

Popular Posts


Related Posts