EdisiViral.Com Video Search Login
Loading...

Anwar Hasut Ahli Parlimen Mohon Perkenan Agong Batal Darurat

0 month ago, 14-Jan-2021
save 2.0
KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan semua Ahli Parlimen menghantar surat kepada Yang di-Pertuan Agong bagi memohon perkenan baginda membatalkan proklamasi darurat dan menitahkan sidang Parlimen diadakan secepat mungkin.

Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) dan Presiden PKR berkata, beliau sudah menghantar surat kepada semua Ahli Parlimen supaya mereka berbuat demikian dalam kadar segera.
"Dalam surat terbabit, saya mencadangkan kepada semua Ahli Parlimen supaya mengemukakan rayuan dalam kadar segera. Warkah terbabit juga hendaklah disesuaikan menurut pertimbangan mereka atau parti," katanya dalam satu memo dari Pejabat Ketua Pembangkang yang dilihat BH, hari ini.

Anwar berharap, permohonan Ahli Parlimen nanti mendapat ihsan dan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong untuk menarik balik pengisytiharan Darurat dan seterusnya menitahkan agar sidang Parlimen diadakan dalam kadar segera.

"Semoga warkah ini nanti mendapat ihsan dan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong untuk menarik balik pengisytiharan darurat dan seterusnya menitahkan agar sidang Parlimen harus diadakan dalam kadar segera sebelum 31 Januari 2021 untuk membahaskan isu darurat, COVID-19 dan kemelut ekonomi yang melanda negara," katanya.

Bersama kenyataan berkenaan, Anwar turut menyertakan salinan surat yang dihantar beliau kepada semua Ahli Parlimen.

Beliau antara lain mendakwa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kerajaan tersasar dalam menyampaikan nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong apabila memohon proklamasi darurat yang disifatkannya tidak berkaitan dengan COVID-19, banjir atau kemelut ekonomi negara.

Ahli Parlimen Port Dickson itu juga percaya, perundangan dan peruntukan sedia, termasuk pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP), cukup untuk mengekang penularan COVID-19.

Pengisytiharan darurat bagi menangani ancaman COVID-19 yang berkuat kuasa 11 Januari lalu hingga 1 Ogos depan, sudah diwarta dan disiarkan di laman web rasmi Pejabat Peguam Negara, hari ini.

Warta Kerajaan Persekutuan bertarikh 12 Januari lalu itu dikeluarkan oleh Perdana Menteri dengan titah perintah Yang di-Pertuan Agong.

Selasa lalu, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memperkenankan tempoh pelaksanaan darurat hingga 1 Ogos 2021 atau suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif COVID-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

Seri Paduka turut berkenan terhadap cadangan kerajaan bagi pembentukan satu Jawatankuasa Khas Bebas yang akan dianggotai Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang serta pakar-pakar kesihatan dan yang berkaitan bagi mengendali perjalanan darurat negara.

Sehari sebelum itu, Perdana Menteri pada sesi menghadap Yang di-Pertuan Agong, menyembah maklum keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri mengenai cadangan pelaksanaan darurat sebagai langkah proaktif untuk membendung dan melandaikan kes positif COVID-19 harian yang mencecah empat angka secara berterusan sejak Disember lalu.

Darurat itu tidak membabitkan sebarang bentuk rampasan kuasa tentera atau pelaksanaan perintah berkurung, sebaliknya urusan pentadbiran kerajaan Persekutuan dan negeri terus berfungsi seperti biasa.


SUMBER : 1media.my



Live Website Traffic


loading...